Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Teo: Perpaduan negara kunci kekuatan S’pura

Isu politik identiti berhubung kaum dan agama lebih menonjol dalam GE2025, S’pura perlu berhati-hati
May 20, 2025 | 6:30 PM
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, menekankan bahawa perpaduan adalah faktor utama yang menyatukan Singapura, dan adalah bahagian penting yang membantu masyarakat negara bekerjasama untuk tangani cabaran bersama, termasuk isu-isu sensitif yang berkait dengan kaum dan agama
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, menekankan bahawa perpaduan adalah faktor utama yang menyatukan Singapura, dan adalah bahagian penting yang membantu masyarakat negara bekerjasama untuk tangani cabaran bersama, termasuk isu-isu sensitif yang berkait dengan kaum dan agama - Foto ST

Perpaduan adalah faktor utama yang menyatukan Singapura, dan memainkan peranan penting yang membantu masyarakat negara untuk berganding bahu dalam menangani dan mengatasi cabaran bersama, termasuk isu-isu sensitif yang berkait dengan kaum dan agama, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.

“Kita tiada sumber dan kita perlu menonjolkan diri kita. Dan cara utama untuk melakukan demikian adalah perpaduan negara.

“Jika kita boleh satukan semua kekuatan kita bersama, maka kita boleh menjadi kuat dan kita boleh menghadapi dunia dengan yakin,” kata beliau.

Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata demikian kepada media dalam wawancara terakhirnya selaku penjawat politik di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 20 Mei.

Ini menyusuli pengumuman bahawa beliau tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 dan akan bersara selepas 33 tahun dalam dunia politik.

Sepanjang kerjaya politiknya, Encik Teo, 70 tahun, telah menerajui pelbagai portfolio, termasuk di Kementerian Sekitaran, Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pertahanan (Mindef), dan MHA. Beliau juga Timbalan Perdana Menteri selama sedekad dari 2009 hingga 2019, dan telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol dari 2001 hingga 2025.

Memberi contoh perpaduan yang dipaparkan masyarakat Singapura, Encik Teo berkata tatkala berlakunya penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang pertama pada 2001, bukan masyarakat Melayu/Islam dan asatizah Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sahaja yang telah tampil ke hadapan menangani isu pengganasan dan radikalisasi.

Bahkan, semua masyarakat Singapura juga menyedari bahawa “ini adalah masalah kita semua” dan semua orang perlu bekerjasama mengatasinya.

Ancaman radikalisasi telah berubah sejak penangkapan JI yang pertama itu – kumpulan seperti ISIS yang menyebarkan fahaman agama yang radikal dan melampau muncul, dengan Internet serta media sosial menjadikan ia lebih mudah bagi mereka menyebarkan ajaran dan merekrut pengikut dari seluruh dunia.

Kemudian, baru-baru ini pula timbul trend seperti ideologi kebencian dan fahaman sayap kanan. Bahkan, beberapa remaja telah ditahan di Singapura kerana memiliki fahaman sayap kanan, termasuk seorang remaja berusia 17 tahun pada April 2025 yang merancang membunuh sekurang-kurangnya 100 orang Islam di lima masjid.

Namun begitu, Encik Teo berkata masyarakat Singapura tidak berpecah belah dan terus bekerjasama menangani masalah itu bersama.

“Apabila muncul jenis individu dengan fahaman sayap kanan itu, mereka belajar daripada RRG tentang pendekatan yang boleh diambil untuk mengubah fahaman radikal individu sedemikian.

“Bahkan, bagi salah seorang tahanan muda yang ingin melakukan serangan terhadap orang Islam di Singapura itu, beberapa individu yang membantu dalam pendidikannya adalah guru yang beragama Islam, dan ini membantu mengubah pemikirannya.

“Sebab itulah kita unik di Singapura kerana kita dapat bekerjasama,” kata beliau.

Walaupun Singapura telah melangkah jauh dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, Encik Teo berkata adalah amat mudah mewujudkan perpecahan berdasarkan kaum dan agama dan “itu sebabnya mengapa kita perlu menanganinya dengan sensitif”.

Beliau melahirkan keprihatinan tentang isu politik identiti berhubung kaum dan agama yang menurutnya lebih menonjol dalam GE2025 kali ini jika dibandingkan dengan pilihan raya masa lalu.

Selain itu, beliau berkata konflik dan isu luaran juga telah diimport ke dalam politik domestik Singapura dan bahkan, menjadi sebahagian daripada agenda beberapa parti politik dalam pilihan raya baru-baru ini.

GE2025 juga menyaksikan pemerintah bertindak menyekat akses kepada siaran Facebook oleh dua ahli politik Malaysia dan seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana cuba campur tangan dalam pilihan raya.

Mujur, isu-isu tersebut telah ditangani awal dan rakyat Singapura dapat melihat dan memahami kepentingan perpaduan dan keharmonian yang perlu dikekalkan dalam negara, kata Encik Teo.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara ini harus dilihat dengan teliti, dan “semua parti politik harus melihat pada agenda mereka dengan teliti untuk memastikan ia tidak menjadi sesuatu yang mencirikan politik Singapura”.

“Adalah sangat mudah untuk mewujudkan perpecahan berdasarkan kaum dan agama, dan itulah sebabnya kami menanganinya dengan begitu sensitif. Adalah lebih sukar untuk membina perpaduan, keharmonian dan konsensus dalam isu-isu sebegini.

“Dan adalah lebih sukar untuk membina semula keharmonian itu apabila satu masyarakat itu berpecah belah. Oleh itu, kita harus berhati-hati,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg