Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sumbangan bermakna SM Teo dalam bidang pertahanan, pendidikan, diplomasi negara

May 6, 2025 | 9:16 PM
Teo Chee Hean, Menteri Kanan
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, telah berkhidmat selama hampir 33 tahun dalam arena politik dan telah membuat sumbangan yang besar kepada Singapura dan rakyatnya. - Foto ST

“Ke hadapan Chee Hean,

Sedang anda mengundurkan diri daripada Kabinet dan politik, saya mengucapkan terima kasih atas khidmat sepanjang hayat anda kepada Singapura.

Sumbangan anda, terutama dalam bidang pertahanan, tindakan iklim, diplomasi dan keselamatan, telah meninggalkan kesan yang tidak dapat disangkal kepada negara kita.

Anda telah mengabdikan seluruh kerjaya anda selama 53 tahun untuk menjaga dan memajukan kepentingan Singapura dan rakyatnya.

Anda bermula sebagai seorang pegawai tentera laut pada 1972 dan kemudian dinaikkan pangkat, akhirnya meninggalkan angkatan tentera sebagai Panglima Tentera Laut pada 1992 untuk menceburi politik dan berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya dalam kapasiti berbeza.

Dedikasi anda kepada negara ini berterusan sepanjang kerjaya politik anda, yang menyaksikan anda berkhidmat selama 16 tahun di Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam pelbagai jawatan.

Sebagai Menteri Pertahanan dari 2003 hingga 2011, kepimpinan berwawasan anda adalah penting kepada transformasi Generasi ke-3 Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Pemerolehan peralatan canggih untuk pertempuran darat, laut dan udara, serta visi anda dalam mewujudkan pasukan bersepadu dan berangkaian, membolehkan anggota Perkhidmatan Negara kita berjuang dengan lebih berkesan.

Oleh kerana usaha ini, SAF kini dilengkapi dengan keupayaan canggih yang diperlukan untuk menghadapi cabaran keselamatan yang kian berubah.

Anda juga telah memimpin SAF untuk melaksanakan kerahan perkhidmatan operasi yang bermanfaat bagi keselamatan Singapura.

Selepas bencana tsunami pada Boxing Day (sehari selepas Krismas) 2004, SAF melancarkan Operation Flying Eagle untuk memberi bantuan yang amat diperlukan kepada Indonesia dan Thailand. Ini kekal sebagai operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana terbesar yang dijalankan oleh SAF.

Di bawah pengawasan anda, SAF turut menyumbang kepada operasi sokongan keamanan di Iraq, Afghanistan dan Teluk Aden; inilah cara kami menyokong keamanan dan keselamatan di rantau dunia yang mempunyai kesan ke atas Singapura.

Selain mengukuhkan keupayaan tentera, anda telah memupuk hubungan kukuh dengan rakan-rakan pertahanan kami.

Anda telah bekerjasama dengan rakan sejawat untuk menubuhkan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean-Plus (ADMM-Plus) pada 2010, yang telah menjadi wadah utama bagi kerjasama keselamatan dan dialog antara negara anggota Asean dan lapan negara rakan kongsi.

Anda juga telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Dialog Shangri-La menjadi forum pertahanan perdana bagi Asia-Pasifik.

Apabila anda menyertai Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 2011, anda memulakan transformasi Pasukan Home Team, dengan mempercepat penyepaduan teknologi sekali gus meningkatkan kecekapan dan keberkesanan tindak balas polis dan pertahanan awam.

Anda juga telah mempertingkat keupayaan Pasukan Home Team kita melalui kerjasama masyarakat, memanfaatkan rakyat Singapura sebagai ‘mata dan telinga’ untuk membantu memerangi jenayah, menentang radikalisasi dan pengganasan dan menjadi respons pertama dalam kecemasan dalam kebakaran dan perubatan.

Anda mengikuti perkembangan serangan dan jenayah siber dengan menubuhkan Komand Jenayah Siber Pasukan Polis Singapura (SPF).

Pada 2011, anda juga telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional, mengambil tugas yang kritikal untuk memastikan strategi keselamatan luaran dan dalaman Singapura bersepadu dan berpandangan jauh.

Anda telah menerajui usaha menubuhkan Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura, yang menyediakan kita dengan keupayaan penting untuk menangani ancaman siber.

Anda menetapkan hala tuju bagi MHA dan Mindef, serta agensi perisikan kita untuk bekerjasama dengan lebih rapat.

Selain pertahanan dan keselamatan, anda telah memberi kesan berpanjangan ke atas generasi muda Singapura.

Sebagai Menteri Pendidikan, anda telah menerajui pembaharuan yang berani dan perlu untuk mempersiapkan Singapura bagi ekonomi yang berasaskan pengetahuan.

Satu anjakan utama adalah untuk mengemas kini kurikulum sekolah rendah, menengah dan maktab rendah bagi membangunkan kemahiran berfikir, berkomunikasi dan proses dengan lebih baik.

Anda memimpin semakan pada kurikulum bahasa ibunda, yang membawa kepada pengenalan sukatan pelajaran baru bagi memenuhi keperluan para pelajar kita dengan lebih baik.

Anda juga memulakan pelaksanaan sekolah rendah satu sesi dan membebaskan ruang dan masa bagi para pelajar untuk menyertai pelbagai kegiatan kokurikulum dan pengayaan – meningkatkan bukan sahaja hasil akademik, bahkan juga pembangunan afektif, sosial dan fizikal pelajar.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian Menteri Kanan, anda membawa pengalaman dan pemikiran strategik yang tajam untuk menangani isu nasional yang kritikal.

Anda tidak pernah teragak-agak menyuarakan pandangan anda dalam Kabinet, menjadikan perbincangan kita lebih rancak. Anda mempengerusikan beberapa jawatankuasa berkaitan isu rumit dan merentasi agensi, termasuk hal ehwal penduduk dan isu kewujudan perubahan iklim.

Dalam isu perubahan iklim, anda telah menetapkan hala tuju agensi kita untuk mengambil pendekatan pemerintah secara menyeluruh, mendapatkan keseimbangan yang sukar untuk merumuskan penyahkarbonan praktikal dan matlamat sifar bersih.

Anda mewakili Singapura dengan cemerlang di pentas sejagat, melanjutkan hubungan Singapura dengan rakan-rakan kongsi utama.

Sebagai Pengerusi-Bersama Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) dengan China, anda telah menyelia penubuhan projek antara pemerintah yang ketiga, Inisiatif Demonstrasi China-Singapura (Chongqing) mengenai Kesalinghubungan Strategik (CCI).

Anda memainkan peranan amat penting dalam penubuhan Forum Kepimpinan Singapura-China dan Forum Tadbir Urus Sosial (SGF) Singapura-China, yang telah meluaskan kerjasama dua hala dan menyediakan platform untuk generasi pemimpin muda di kedua-dua pihak menjalin hubungan yang kukuh.

Dengan Indonesia, anda telah membimbing rundingan sensitif yang telah berjaya menyelesaikan tiga perjanjian penting – Perjanjian Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR), Perjanjian Ekstradisi dan Perjanjian Kerjasama Pertahanan – menyelesaikan tiga isu dua hala yang rumit dan telah lama tertangguh.

Anda telah membantu Singapura berdiri sama tinggi di dunia, dan mewujudkan ruang dan peluang untuk negara kita di peringkat antarabangsa.

Anda juga menerajui usaha menangani isu penting dan sukar dengan ketelitian dan keprihatinan. Ini termasuk melaksanakan saranan Suruhanjaya Perlembagaan untuk mengkaji semula aspek Presiden Dipilih, dan mengambil pindaan perlembagaan berkaitan di Parlimen.

Baru-baru ini, anda telah menyelia semakan ke atas pendedahan nombor kad pengenalan (IC) penuh dalam perkhidmatan BizFile oleh Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), yang menyampaikan akaun menyeluruh dan muktamad di Parlimen tentang apa yang salah dan bagaimana kita boleh melakukan yang lebih baik.

Anda mendekati setiap tugasan yang mencabar ini dengan tekun dan jelas, tidak pernah teragak-agak memastikan individu bertanggungjawab apabila perlu, dan memastikan pemerintah akan sentiasa mempunyai keberanian moral dan keyakinan melakukan perkara yang betul, demi Singapura.

Kepimpinan anda semasa pandemik Covid-19 tidak ternilai dan menjadi contoh.

Di peringkat nasional, anda telah menerajui usaha menangani wabak di dormitori pekerja migran – bertindak pantas dan mantap terhadap krisis yang mendesak dan berpotensi berbahaya.

Anda tetap tenang menghadapi tekanan dan anda telah memberi inspirasi kepada kakitangan awam dan pegawai SAF yang bekerja dengan anda semasa hari-hari sukar.

Dalam masyarakat, anda memastikan penduduk tetap terhubung melalui dewan bandaran dalam talian dan forum masyarakat, walaupun terdapat sekatan ke atas perhimpunan fizikal.

Usaha anda mengekalkan rasa kemasyarakatan semasa masa-masa yang mencabar ini amat dirasai dan dihargai oleh para penduduk.

Di peringkat akar umbi, anda telah berkhidmat tanpa mengenal penat lelah kepada penduduk anda selama lebih tiga dekad.

Anda pertama kali dipilih semasa Pilihan Raya Kecil di GRC Marine Parade pada 1992 sebagai anggota pasukan Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong, sebelum berpindah untuk bertanding di GRC Pasir Ris pada Pilihan Raya Umum 1997.

Anda telah dipilih semula di sana sebanyak lima kali sejak itu, satu bukti yang jelas tentang kepercayaan penduduk terhadap anda.

Sebagai tonggak pasukan Pasir Ris-Punggol yang teguh, anda telah menunjukkan kestabilan dan kepimpinan yang tidak berbelah bagi.

Penduduk anda menghargai pendekatan proaktif, praktikal dan bertimbang rasa anda terhadap isu yang menjadi asas – menangani keprihatinan mereka, memperbaiki kehidupan mereka, dan mewujudkan semangat kemasyarakatan.

Mereka melihat manfaat daripada pembangunan yang memberi kesan, seperti pembukaan kemudahan seperti Pasir Ris Mall dan Poliklinik Pasir Ris, serta skim sosial yang menunjukkan mereka tidak bersendirian, seperti Pasaran Kerjaya Pasir Ris-Punggol yang dilakukan dengan kerjasama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Anda telah menjadi pembimbing yang dipercayai kepada para Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang baru, memupuk semangat anda untuk berkhidmat dan berkhidmat kepada mereka.

Dedikasi anda untuk memupuk pemimpin masa hadapan, baik dalam pasukan GRC anda mahupun dalam parti secara luasnya, mencerminkan kepercayaan anda terhadap pembaharuan kepimpinan jangka panjang.

Sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama PAP pada 2015, anda memainkan peranan penting dalam peralihan kepimpinan parti dan merangka arah tuju masa depannya.

Apabila saya menyertai politik pada 2011, anda sudah menjadi pemimpin yang berpengalaman. Saya telah banyak mendapat manfaat daripada bimbingan dan nasihat anda yang penuh kebijaksanaan.

Jika saya boleh membawa Singapura maju dari sini, ia hanya kerana generasi pemimpin terdahulu seperti anda telah bekerja keras untuk melindungi masa depan kita.

Saya dan pasukan saya akan melakukan yang terbaik untuk meneruskan etos anda – melindungi apa yang telah kami bina, dan membawa Singapura ke hadapan dan ke mercu yang lebih tinggi.

Sekali lagi, setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan atas khidmat bakti dan dedikasi anda yang tidak berbelah bagi kepada negara dan rakyat kita.

Saya doakan anda dan seisi keluarga sentiasa dikurniakan kebahagiaan dan kepuasan dalam fasa kehidupan yang seterusnya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg