Dalam setiap krisis, cabaran atau ketidakpastian yang dihadapi Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) ada bersama-sama warga untuk saling berganding bahu dan mengorak langkah menuju hari esok yang lebih bersinar.
Dalam ucapan yang disampaikan di rapat tengah hari Fullerton di UOB Plaza pada 28 April, calon PAP yang bertanding di GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, memberi jaminan PAP akan terus bersama warga Singapura pada hari-hari mendatang.
“Walau betapa mencabarnya hari esok, anda boleh yakin bahawa PAP ada bersama anda,” kata Konsultan Psikiatri dan Pengarah Perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness itu.
Dr Syed Harun berkata PAP berada bersama warga Singapura pada hari-hari awal apabila negara ini diselubungi ketidakpastian tentang masa depan sebagai negara yang baru mencapai kemerdekaan.
Parti itu ada di sisi warga setempat pada waktu negara ini menghadapi tempoh ketegangan kaum dan agama.
PAP juga berada bersama-sama warganya dalam mengharungi krisis seperti Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003 dan Covid-19 pada 2020.
Kini, dunia semakin bergelora dan penuh dengan ketidakpastian, kata Dr Syed Harun.
“Ombak dugaan dunia datang bertalu-talu, semakin mengganas setiap kali. Dalam lima tahun yang lalu ini, dunia hanya menyaksikan semakin banyak pergolakan, gangguan, ketegangan dan perpecahan. Dalam setiap detik sukar dan getir ini, kami tetap bersama anda. PAP tetap bersama anda,” kata Dr Syed Harun.
“Sama ada menanggung kos sara hidup, mengharungi krisis ekonomi, mengejar impian memiliki rumah, mendaki tangga pendidikan, mengejar impian kejayaan bersama, dan membina kehidupan yang harmoni, yakinlah – PAP tetap bersama anda,” tambahnya.
Dr Syed Harun berkata PAP berpegang teguh kepada janji membina sebuah masyarakat yang adil, saksama, bergerak maju dan penuh harapan, dengan setiap lapisan rakyat dapat menikmati hasil kemajuan bersama seiring iltizam memperkasa rakyat, demi keamanan, kemajuan dan kemakmuran berkekalan di Singapura.
“Dalam setiap liku cabaran, kami tetap teguh berdiri di sisi anda, di sisi anak-anak anda dan keluarga anda – dengan penuh keikhlasan, ketulusan dan kebenaran hati.
“Kami ingin berganding bahu bersama anda, mengorak langkah menuju hari esok yang lebih bersinar untuk kita bersama,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg