Keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan menentukan keberkesanan pemerintah Singapura dalam berkhidmat kepada rakyat, dan kesediaan untuk merintis jalan baru bersama dalam menghadapi masa yang tidak menentu kini.
Justeru, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), dalam siaran politik parti pada 25 April, menyeru kepada warga Singapura agar melengkapi diri mereka dengan pasukan terbaik untuk dunia yang berubah.
“Undilah pasukan yang anda yakin akan berkhidmat kepada anda, keluarga anda, kawasan undi anda, dan negara ini dengan sebaik-baiknya. Undilah calon yang akan mengutamakan Singapura dan warga Singapura lebih daripada segalanya,” kata Encik Wong.
“Yang penting, pilih pemimpin yang lurus, jujur dan berakhlak baik. Hakikatnya, perwatakan seseorang itu yang penting, lebih daripada dasar dan janji,” tambahnya.
Encik Wong berkata pilihan raya kali ini diadakan di ambang situasi genting dan perubahan global yang bakal melanda.
Langkah Amerika Syarikat mengenakan tarif baru-baru ini menimbulkan ketidaktentuan yang telah menjejas ekonomi global.
Syarikat besar dan kecil di sini telah menyuarakan kebimbangan mereka. Pekerja juga bimbang tentang pendapatan dan pekerjaan.
“Kami sedang memantau keadaan dengan teliti. Sekiranya keadaan bertambah buruk, kami akan melakukan lebih banyak untuk perniagaan, pekerja dan keluarga. Ini adalah jaminan kami kepada anda; kami akan terus menyokong anda selagi bantuan diperlukan. Kami sentiasa di pihak anda,” katanya.
Menurut Encik Wong, beliau sedar ada warga Singapura yang mahu PAP terus memerintah tetapi juga mengharapkan suara alternatif di Parlimen.
Beliau memahami sentimen itu.
Bilangan Anggota Parlimen (AP) pembangkang telah bertambah, malah dalam GE2020, bilangannya naik hampir dua kali ganda.
Encik Wong berkata kehadiran pihak pembangkang akan terus kekal dan beliau akur ada peranan bagi pembangkang yang membina dan bertanggungjawab dalam sistem demokrasi Singapura.
Namun, beliau menambah selepas kempen pilihan raya umum berakhir, persaingannya bukan di antara PAP dengan pembangkang, tetapi antara Singapura dengan dunia yang sedang bergolak dengan pelbagai cabaran dan ancaman luar.
“Saya telah diberi penghormatan untuk berkhidmat sepanjang setahun lalu. Ia adalah tugas yang saya pikul dengan komitmen yang mendalam – untuk melakukan yang terbaik untuk anda, keluarga anda dan negara kita,” kata Encik Wong.
“Jika PAP memenangi mandat anda, tanggungjawab utama saya adalah untuk bekerjasama dengan pasukan saya untuk menyatupadukan warga Singapura, melindungi mata pencarian kita dan menjamin masa depan kita. Saya tidak akan mempertaruhkan kehidupan, pekerjaan dan kesejahteraan anda,” tambahnya.
Encik Wong memberi jaminan warga Singapura boleh sekali lagi bergantung kepada pemerintah PAP untuk memimpin Singapura dengan selamat mengharungi masa penuh ketidaktentuan kini, sepertimana yang ia lakukan ketika mengharungi Krisis Kewangan Global pada 2008 dan menangani pandemik Covid-19 pada penggal sebelumnya.
“Dengan sokongan anda, kami akan melakukannya lagi, walau apa pun ketidaktentuan yang melanda,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg