Topik diikuti
Pergi ke BHkuTambahan sokongan kewangan, perumahan, cuti jaga anak bagi ibu bapa
PM Wong turut beri jaminan sokong pekerja warga S’pura dalam ekonomi baru; bentang pelan bangun gugusan pulau bagi perusahaan, riadah
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan penetapan semula, atau ‘reset’, berhubung cara Singapura menyokong keluarga pada 23 Ogos, menekankan komitmen pemerintah untuk menyediakan ibu bapa sokongan tambahan di setiap peringkat kehidupan anak mereka.
Berucap di Rapat Hari Kebangsaan 2026 di ITE Kolej Central, Encik Wong mengumumkan Pakej Bantuan Anak SG yang memperuntukkan hampir $70,000 bagi setiap kanak-kanak warga Singapura sehingga usia 17 tahun.
Ibu bapa yang bekerja juga boleh mendapat cuti penjagaan anak antara lapan dengan 12 hari bergantung pada jumlah anak berusia 12 tahun dan ke bawah dalam keluarga.
Ini selepas skim Cuti Penjagaan Anak (CCL) disemak untuk mengambil kira bilangan anak dalam sesebuah keluarga.
Sebelum ini, ibu bapa yang mempunyai anak berusia tujuh hingga 12 tahun masing-masing layak mengambil cuti penjagaan anak sebanyak dua hari.
Tarikh mula CCL diperbaharui ini akan diumumkan pada masa depan, kata Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) dalam kenyataannya pada 23 Ogos.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata pemerintah akan menanggung kos semua cuti berkanun berkaitan anak, sehingga had yang ditetapkan, dan menggesa semua majikan menyokong pekerja yang merupakan ibu bapa.
“Sokonglah ibu bapa dalam organisasi anda dan berikan mereka keyakinan untuk mengambil cuti yang menjadi hak mereka.
“Bantu mereka untuk membiasakan diri dengan tugas selepas bercuti. Pastikan apabila seseorang pekerja bergelar ibu bapa, ia tidak sesekali menjadi satu kerugian kepada kerjaya seseorang,” ujar Encik Wong.
Selain itu, yuran di pusat jagaan kanak-kanak dan bayi yang disokong pemerintah juga akan dikurangkan, masing-masing sehingga $150 dan $300 sebulan.
Pengurangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2030, dengan keluarga berpendapatan lebih rendah terus membayar yuran lebih rendah.
Subsidi penuh bagi jagaan kanak-kanak dan bayi akan dilanjutkan kepada keluarga yang memiliki kanak-kanak warga Singapura, tanpa mengambil kira status bekerja, dengan butiran lanjut diumumkan pada awal 2027.
Selain memperluas rangkaian pengendali prasekolah yang disokong pemerintah, pemerintah juga akan memperluas kapasiti, mutu jagaan dan mengekalkan yuran yang dimampui di pusat jagaan pelajar di sekolah rendah, kata NPTD.
Pemerintah juga akan terus memastikan pasangan rakyat Singapura terus mendapat akses kepada perumahan bersubsidi, kata Encik Wong.
Had pendapatan untuk membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dinaikkan daripada $14,000 kepada $16,000; dan daripada $16,000 kepada $18,000 untuk kondominium eksekutif (EC).
Mulai Februari 2027, keluarga pembeli kali pertama yang memohon rumah baru akan menerima satu peluang undian tambahan – bagi setiap anak yang mereka miliki atau yang sedang dikandung.
Selain itu, sokongan tambahan sedang ditinjau buat keluarga lebih besar, termasuk dalam bentuk geran MediSave, menguruskan perbelanjaan pengangkutan dan perumahan.
Menambah, Encik Wong berkata keputusan untuk mempunyai anak merupakan pilihan yang amat peribadi dan dasar semata-mata tidak mampu membuahkan hasil.
“Tetapi apa yang boleh kita lakukan adalah memudahkan rakyat Singapura yang mahukan anak-anak untuk memulakan dan membesarkan keluarga,” kata beliau.
Sementara itu, Encik Wong turut memberi jaminan kepada pekerja warga Singapura bahawa mereka tidak akan dipinggirkan, sedang Singapura menstruktur semula ekonomi, termasuk mendakap teknologi baru.
“Kita tidak menahan teknologi baru hanya kerana ia bersifat mengganggu. Namun kami juga tidak membiarkan sahaja pekerja yang terjejas. Kami menyokong pekerja kita menerusi tempoh peralihan.
“Kami akan memastikan setiap pekerja menikmati hasil kemajuan Singapura,” tekan Encik Wong.
Dalam pada itu, Encik Wong turut membentangkan pelan jangka panjang untuk membangun gugusan pulau di beberapa kawasan perairan Singapura.
Pulau Semakau, Pulau Bukom dan Pulau Sudong akan digabungkan untuk menjadi pulau besar bagi tujuan perusahaan, sementara Pulau Brani dan Sentosa akan dihubungkan dengan tambakan tanah untuk tujuan riadah.
Pemerintah juga sedang mengkaji pembinaan terowong dasar laut untuk menghubungkan tanah besar Singapura dengan Pulau Tekong.
