Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggesa masyarakat agar memberikan sokongan kepada kepimpinan Melayu/Islam yang diterajui Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Menyatakan demikian dalam ucapan bahasa Melayu semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 23 Ogos, Encik Wong berkata beliau akan terus memperbaharui dan mengukuhkan pemegang jawatan politik Melayu/Islam lebih muda, yang telah tampil menggalas pelbagai tanggungjawab sejak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Antara mereka ialah Cik Rahayu Mahzam, yang menggalas tugas sebagai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan); Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, selaku Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar); dan Dr Syed Harun Alhabsyi, sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara).

“Berilah mereka sokongan padu anda agar kita dapat sama-sama membantu setiap rakyat Melayu/Islam Singapura mencapai potensi masing-masing kerana apabila masyarakat Melayu/Islam berjaya, Singapura juga berjaya.

“Bersama-sama, marilah kita membina masyarakat Melayu/Islam yang lebih yakin dan Singapura yang bersatu padu dan terus bersinar,” kata Encik Wong.

Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan), telah mengambil alih tugas sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam daripada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 20 Julai.

Sebelum melepaskan semua jawatan politik pada 20 Julai berikutan satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksinya dalam talian dengan seorang wanita, Dr Faishal telah menggalas peranan itu dari 21 Mei 2025 setelah dilantik sebagai sebahagian Kabinet baharu Encik Wong.

Kepimpinan Melayu/Islam akan terus menerajui pelbagai inisiatif, tambah Encik Wong, termasuk dalam Jawatankuasa Daya Ekonomi (CER) yang dipimpin bersama oleh Anggota Parlimen (AP) Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) dan AP gerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar).

Sehubungan itu, Encik Wong berkata: “Mereka menerima banyak idea bernas daripada masyarakat.

“Satu fokus utama ialah membantu belia Melayu/Islam membangun kemahiran, mendapat lebih banyak pengalaman dan merebut peluang dalam sektor-sektor baharu yang sedang berkembang.”

Beliau menambah ini cuma satu daripada pelbagai usaha Encik Zaqy dan pasukannya, dan “mereka akan umumkan usaha-usaha lain kelak”.

Dalam pada itu, Encik Zaqy juga telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk menyokong belia Melayu/Islam di Festival Belia M Kuasa Tiga+ (M³+) di Taman Warisan Melayu pada 22 Ogos.

Empat inisiatif yang dibentuk – Let’s Sembang, Youth Launchpad, Youth Meets Career Playbook dan Discover – menyediakan ruang dipercayai untuk berkongsi pandangan, memadankan belia dengan pendamping dalam industri, mengadakan panduan berhubung identiti di tempat kerja, serta wadah dalam talian yang menyatukan sumber bagi belia melibatkan diri dalam kegiatan sukarelawan dan pementoran.

Inisiatif tersebut dibentuk berdasarkan dapatan tinjauan Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam yang diketuai bersama Cik Rahayu dan Dr Syed Harun.

Pasukan petugas yang telah dilancarkan pada Oktober 2025 itu bermatlamat untuk menyediakan peluang kerjaya dan kemahiran masa depan termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk belia, memupuk identiti budaya melalui seni, agama dan sukan, serta memperkasakan perpaduan sosial menerusi penglibatan merentasi masyarakat.