Singapura memerlukan kepimpinan boleh dipercayai yang boleh membantu rakyat mengharungi cabaran masa hadapan tidak menentu, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Malah, dengan pergolakan dunia yang kian bergelora dek tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat baru-baru ini, adalah lebih penting untuk masyarakat Singapura kekal bersatu dan membantu satu sama lain bagi mengharungi masalah yang akan timbul, katanya.
“Apa yang penting adalah kepimpinan yang boleh dipercayai dan tahu bagaimana untuk keluar daripada masalah sangat kompleks yang akan timbul...
“Kedua, walaupun ada kepimpinan yang terbaik pun, kalau tidak ada penyatuan masyarakat dan rakyat, kita akan roboh kerana tak boleh bergerak keluar daripada krisis.
“Justeru, perlu ada penyatuan dalam masyarakat dan juga antara masyarakat lain,” katanya.
Encik Masagos berkata demikian semasa bercakap dalam siri podcast baru Berita Harian (BH), BHerbual No Tapis, yang dihoskan bersama oleh Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin, dan Koresponden, Cik Nur Fathin Awalludin.
Semasa perbincangan yang diadakan pada 9 April di studio BH, Encik Masagos menyentuh tentang langkah Presiden Amerika, Encik Donald Trump, untuk mengenakan tarif sejagat dan kesannya terhadap Singapura.
Encik Trump mengumumkan keputusannya untuk mengenakan tarif 10 peratus pada 2 April ke atas kebanyakan barangan yang masuk ke negaranya dari Singapura serta rakan utama, dengan cukai lebih tinggi bagi kebanyakan negara lain.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa berucap di Parlimen pada 8 April, berkata Singapura kecewa dengan langkah Amerika mengenakan tarif meskipun kededua negara mempunyai persahabatan yang mendalam dan lama, dan walaupun Singapura mempunyai defisit perdagangan dengan negara tersebut.
Meskipun Amerika bertindak sedemikian, Encik Wong berkata Singapura memutuskan untuk tidak mengenakan tarif timbal balik kerana tindakan itu hanya akan menyebabkan kos meningkat bagi rakyat Singapura.
Beliau berkata tarif yang dikenakan oleh Amerika akan menjejas ekonomi, perniagaan dan pekerja Singapura.
Bercakap di podcast BHerbual pada 9 April, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata, kesan daripada tarif itu bukan sahaja menjejas ekonomi Amerika, malah ekonomi Singapura.
Namun, beliau berkata Singapura boleh bersyukur kerana pemerintah telah bersedia menghadapi krisis sebegini sejak dahulu.
“Alhamdulillah, kita telah lama bersedia untuk umpamanya menabung kepada rizab kita dan setiap kali krisis berlaku, kita dapat mengandalkan rizab kita,” kata Encik Masagos.
Encik Wong berkata pada 8 April bahawa Singapura akan menubuhkan sebuah pasukan petugas baru bagi membantu perniagaan dan pekerja menangani ketidaktentuan, mengukuhkan daya tahan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi baru dengan lebih baik.
Dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pasukan petugas itu akan merangkumi perwakilan daripada Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Meskipun tarif yang dikenakan oleh Amerika akan menjejas ekonomi, perniagaan dan pekerja Singapura, Encik Wong memberi jaminan langkah daripada Belanjawan 2025 akan terus memberikan sokongan jangka pendek.
Beliau turut menekankan bahawa pemerintah akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi jika perlu.
“
“Apa yang penting adalah kepimpinan yang boleh dipercayai dan tahu bagaimana untuk keluar daripada masalah sangat kompleks yang akan timbul... Kedua, walaupun ada kepimpinan yang terbaik pun, kalau tidak ada penyatuan masyarakat dan rakyat, kita akan roboh kerana tak boleh bergerak keluar daripada krisis.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg