Wajah baru PAP Foo Cexiang aktif turun padang dekati, fahami keperluan penduduk Punggol
Wajah baru PAP Foo Cexiang aktif turun padang dekati, fahami keperluan penduduk Punggol
Wajah baru PAP Foo Cexiang aktif turun padang dekati, fahami keperluan penduduk Punggol
Mantan pengarah Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Foo Cexiang, yang aktif turun padang bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Punggol berkata beliau mengambil pendekatan memberi tumpuan kepada usaha mendengar, belajar dan membina rasa saling percaya dengan penduduk.
Sejak menyertai pasukan PAP di Punggol, Encik Foo, 40 tahun, giat menyertai pelbagai acara masyarakat dan mengadakan lawatan di kawasan undi itu.
Beliau juga menghadiri sesi dialog untuk memahami lebih mendalam keperluan dan aspirasi penduduk.
Encik Foo diperkenal kepada penduduk oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Cik Yeo Wan Ling, semasa acara pelancaran rasmi taman atas bumbung yang diubah suai, di tempat letak kereta bertingkat (MSCP) Blok 101 Punggol Field pada 13 April.
Bercakap kepada media semasa acara itu, Encik Foo berkata:
“Saya telah menghadiri pelbagai aktiviti bersama Dr Janil Puthucheary dan Cik Yeo, bertemu seramai mungkin penduduk, dan mendengar pengalaman mereka tinggal di Punggol, apa yang mereka suka tentang kawasan ini dan apakah penambahbaikan yang mereka inginkan.”
Selain Cik Yeo, AP yang kini bertanggungjawab bagi kawasan Punggol di bawah GRC Pasir Ris-Punggol ialah Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil; dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.
Hubungan Encik Foo dengan kawasan Punggol bermula sejak lebih sedekad lalu, apabila beliau terlibat dalam perancangan awal Daerah Digital Punggol semasa bertugas di JTC.
Beliau kemudiannya bekerja di Kementerian Pendidikan (MOE), menyelia dasar prasekolah dan mengenal pasti Punggol sebagai sebuah estet muda yang mempunyai keperluan unik.
Menjawab pertanyaan media mengenai sumbangan yang dibawa Encik Foo, Cik Yeo berkata:
“Encik Foo sendiri sebenarnya adalah seorang bapa muda dan mempunyai tiga anak kecil.
“Saya rasa beliau akan dapat benar-benar memahami aspirasi penduduk kami, khususnya keluarga muda di Punggol.”
Encik Foo turut menyatakan hasratnya untuk melakukan lebih banyak usaha bagi warga emas di Punggol, tambah Cik Yeo.

