Mantan penjawat awam kanan, Cik Jasmin Lau, dan tokoh veteran Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Victor Lye, dilihat menyertai lawatan turun padang di GRC Ang Mo Kio bersama Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Kededua mereka kelihatan menemani Encik Lee semasa kunjungan beliau ke Hougang Village pada 13 April.
Turut bersama mereka ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Encik Darryl David dan Cik Nadia Samdin.
Encik Gan Thiam Poh dan Cik Ng Ling Ling, yang juga AP GRC tersebut, tidak hadir bersama mereka.
Bercakap kepada media, Encik Lee tidak mengesahkan bakal calon PAP di GRC Ang Mo Kio bagi pilihan raya akan datang, tetapi menyatakan beliau gembira jika Cik Lau dan Encik Lye berada dalam pasukannya.
Cik Lau, 42 tahun, sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan setiausaha (dasar) di Kementerian Kesihatan (MOH), di mana beliau bertanggungjawab terhadap aspek tenaga kerja, pembiayaan dan langkah kawal selia dalam sistem penjagaan kesihatan negara.
Beliau merupakan antara lapan muka baru yang diperkenal oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 12 April sebagai bakal calon PAP yang dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Cik Lau berkata:
“Ini adalah lawatan pertama saya... saya gembira berada di sini bersama pasukan Ang Mo Kio.”
Beliau berbesar hati dapat belajar daripada Encik Lee, pasukan di situ dan pemimpin yang telah banyak berkhidmat bagi rakyat di kawasan tersebut.
Sementara itu, Encik Lye, 63 tahun, pernah menyertai pasukan PAP yang bertanding di GRC Aljunied semasa GE2015 dan GE2020, namun tewas kepada Parti Pekerja (WP).
Beliau memainkan peranan sebagai pengerusi Cawangan PAP di Bedok Reservoir-Punggol selama 13 tahun, tetapi meletak jawatan pada Februari untuk menyerahkan tugas kepada timbalannya, Dr Adrian Ang.
Menerusi media sosialnya ketika itu, Encik Lye berkata walaupun tempohnya di Aljunied telah berakhir, beliau mengalu-alukan peluang baru untuk berbakti dan menyumbang kepada visi bersama mewujudkan Singapura yang lebih baik bagi rakyat.
Encik Lee berkata kededua Cik Lau dan Encik Lye membawa pengalaman yang berbeza.
Encik Lye merupakan pengasas dan ketua eksekutif syarikat teknologi kewangan (fintech) berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan memiliki pengalaman luas dalam sektor swasta serta di Aljunied, selain menyumbang sebagai relawan di pelbagai cawangan PAP sebelum itu.
Cik Lau pula mempunyai pengalaman berkhidmat di pelbagai jabatan pemerintah dan badan berkanun, termasuk Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), selain menyumbang kepada pelbagai lembaga badan bukan pemerintah (NGO).
Encik Lee berkata beliau yakin Cik Lau dapat antara lain menyumbang kepada usaha mempertingkat kehidupan rakyat.
Pasukan PAP di GRC Ang Mo Kio meraih 71.9 peratus undian semasa GE2020, mengalahkan pasukan Parti Pembaharuan (RP).
Ang Mo Kio merupakan GRC terbesar, dengan 161,235 pengundi walaupun selepas SMC Jalan Kayu baru dibentuk daripada GRC tersebut.
SMC baru ini merangkumi daerah di kawasan Jalan Kayu yang kini dijaga Cik Ng serta sebahagian daripada kawasan Fernvale yang dijaga Encik Gan.
Pertandingan tiga penjuru dijangkakan di GRC ini bagi GE2025, dengan Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng, sebelum ini menyatakan hasrat partinya untuk bertanding di snaa.
Parti Singapura Bersatu (SUP) juga berkata mereka akan bertanding di GRC Ang Mo Kio.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg