Politik Singapura mesti mengutamakan kebaikan negara dan parti politik tidak boleh membenarkan pelaku asing mempengaruhi apa yang perlu diputuskan oleh rakyat Singapura, kata Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung.
Bercakap di Parlimen pada 23 September, Encik Ong berkata Anggota Parlimen (AP) tidak boleh mengeksploitasi kontroversi asing untuk kepentingan politik, atau membenarkan orang asing mengeksploitasi politik dalam negeri untuk memacu perpecahan dalam masyarakat.
“Kita mesti melindungi ruang bersama (yang kita ada). Tolak populisme,” kata Encik Ong.
“Jangan sekali-kali melaga-lagakan satu kumpulan dengan kumpulan yang lain dan jangan korbankan kebaikan bersama untuk kepentingan sempit atau keuntungan politik jangka pendek.”
Encik Ong juga menyeru semua parti politik agar menegakkan integriti dalam politik, dan menyeru Ketua Pembangkang supaya menegakkan “piawaian tinggi kejujuran dan kebertanggungjawapan” yang telah diharapkan oleh rakyat Singapura.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan harapan pemerintah sebagai respons kepada Amanat Presiden, yang mana beliau menyeru semua AP agar mengutamakan kebaikan yang lebih luas untuk negara sedang mereka berkhidmat dan berhujah demi kepentingan rakyat.
Encik Ong menambah, Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) juga telah menunjukkan bahawa rakyat Singapura telah memberikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) “mandat jelas untuk mentadbir” dan mahu melihat lebih banyak perwakilan Parti Pekerja (WP) di Parlimen.
Beliau turut menggariskan empat pengajaran yang boleh diraih daripada GE2025, yang akan “menetapkan nada” untuk politik Singapura dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengajaran pertama daripada GE2025, kata Encik Ong, ialah rakyat Singapura menghargai pemerintah yang stabil dan berkesan yang akan menjaga kesejahteraan Singapura.
Namun, beliau turut mengingatkan agar tidak berpuas hati, walaupun pengundi cenderung kepada kestabilan dan telah memilih pemerintah yang mempunyai “rekod prestasi yang terbukti dalam mengemudi negara melalui krisis”.
“Kami akan terus meningkatkan usaha kami untuk melibatkan rakyat Singapura, memahami kebimbangan rakyat dan menangani kebimbangan mereka,” kata Encik Ong.
“Kami akan mempertahankan etos PAP dan sentiasa berfikir serta merancang jangka panjang, untuk berkhidmat kepada generasi semasa dan generasi akan datang.”
Pengajaran kedua yang diraih daripada GE2025, kata Encik Ong, ialah sistem politik Singapura masih berkembang.
Menurutnya, rakyat Singapura secara bijaksana mengimbangi antara menginginkan PAP sebagai pemerintah dengan kehadiran pembangkang sebagai semak dan imbang.
Beliau menekankan bahawa komposisi Parlimen adalah “dinamik” dan “tidak tetap” dan bahawa “agak mungkin” parti politik pembangkang lain selain WP akan tampil pada pilihan raya umum akan datang.
Pelajaran ketiga menunjukkan bahawa rakyat Singapura terus bersikap sederhana dan pragmatik dalam falsafah politik mereka – dengan menyatakan bahawa GE2025 tidak melihat secara ketara lonjakan populisme yang telah berlaku di banyak negara.
Menyedari bahawa penglibatan yang lebih membina telah membantu membina pertahanan Singapura terhadap populisme, beliau menambah bahawa pertahanan terbaik terhadap populisme adalah untuk rakyat menolaknya.
“Kami sangat lega, itulah yang berlaku semasa GE2025,” kata Encik Ong.
“Tiada parti atau calon memenangi mana-mana kerusi dengan mencadangkan program kebajikan sosial yang tidak mampan, meruntuhkan institusi, atau dengan mencetuskan sentimen antiorang asing.”
Pengajaran keempat, kata Encik Ong, ialah rakyat Singapura memegang parti politik dengan piawaian yang lebih tinggi, termasuk menuntut maklumat dan hujah yang lebih substantif semasa pilihan raya.
Walaupun video dalam talian yang pendek tersebar dengan cepat semasa GE2025, Encik Ong berkata rata-rata pengundi tidak bersikap remeh dan sebaliknya, semakin menjadi lebih berpengetahuan dan menuntut maklumat bermutu tentang dasar-dasar yang dikemukakan pelbagai pihak.
“Pengundi menunjukkan bahawa mereka tidak mudah dipujuk dengan slogan atau frasa yang menarik sahaja,” kata Encik Ong.
“Mereka dengan teliti menimbang pendapat yang mendalam dan penjelasan substantif mengenai cadangan dasar, dan menolak cadangan populis dan terlalu mudah.”
“
“Kita mesti melindungi ruang bersama (yang kita ada). Tolak populisme. Jangan sekali-kali melaga-lagakan satu kumpulan dengan kumpulan yang lain dan jangan korbankan kebaikan bersama untuk kepentingan sempit atau keuntungan politik jangka pendek.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg