Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Rakyat mahu lihat pertandingan idea yang baik dari PAP, WP

Gesa WP kemuka idea jangka panjang, visi alternatif yang jelas
Sep 23, 2025 | 8:02 PM
Parlimen, Ye Kung, PAP, WP
Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, berkata pengundi telah memberi isyarat bahawa mereka mempunyai jangkaan jelas tentang peranan yang perlu dimainkan oleh parti pemerintah dan pembangkang. - Foto fail

Pengundi telah memberi isyarat bahawa mereka mempunyai jangkaan yang jelas tentang peranan yang perlu dimainkan oleh parti pemerintah dan pembangkang, kata Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung.

Bercakap di Parlimen pada 23 September sebagai respons kepada Amanat Presiden, Encik Ong berkata rakyat Singapura ingin melihat “pertandingan idea yang baik”, di mana idea yang terbaik dapat mengemudi negara ke hadapan.

Encik Ong berkata visi dan laluan alternatif adalah penting, dan menyeru Parti Pekerja (WP) supaya mengemukakan idea jangka panjang mereka, visi alternatif yang jelas untuk tadbir urus, dan menggariskan laluan dan dasar mereka untuk membawa Singapura ke hadapan.

“Untuk idea alternatif menjadi bermakna, (parti pembangkang) mesti melangkaui perubahan pada margin cadangan pemerintah, atau sekadar bersuara setiap kali isu menjadi tular.

“Rakyat Singapura mahu melihat visi yang jelas dan yang telah dipertimbangkan dengan baik yang membolehkan mereka menimbang pilihan sebenar tentang masa depan negara kita,” kata Encik Ong.

Dalam ucapannya, Encik Ong memetik contoh demokrasi negara matang lain – United Kingdom, Amerika Syarikat dan Jerman – di mana parti-parti politik mempunyai pandangan berbeza yang membawa kepada “set dasar yang sangat berbeza”.

Beliau menambah: “Jika WP ingin meletakkan dirinya sebagai ‘0.5’ dalam ‘sistem parti 1.5’, saya fikir ia perlu mengemukakan pendekatan yang berprinsip, konsisten dan jelas terhadap cabaran utama yang dihadapi Singapura.”

Dalam responsnya, Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, berkata “sistem Singapura sangat berbeza” kerana parti politik di sini “berurusan dengan asimetri maklumat yang ketara”.

“Berbeza dengan pemerintah, kita tidak mempunyai kapasiti untuk menjalankan tinjauan demi tinjauan untuk memahami di mana penduduk berada dalam isu tertentu, jadi realitinya agak berbeza.

“Kami melakukan yang terbaik, mengumpulkan beberapa bahan untuk disemak oleh orang ramai, menyusun manifesto di mana kami berbeza daripada PAP, dan menyusun idea kami untuk dipertimbangkan oleh pengundi,” kata Encik Pritam, yang juga Setiausaha Agung WP.

Akur terdapat skop alternatif daripada pembangkang, Encik Pritam berkata terdapat juga skop untuk PAP memainkan peranan dalam membina Singapura yang lebih bersatu dengan melibatkan pandangan pembangkang.

Semasa ucapannya, Encik Ong turut menyentuh mengenai bilangan calon WP yang diketengahkan semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), di mana beliau berkata WP telah “sengaja memilih” untuk bertanding kurang daripada satu pertiga daripada kerusi.

Ini, katanya, bukan kerana kekurangan calon yang sesuai, tetapi sebagai “keputusan strategik yang dipertimbangkan, membaca mood pengundi”.

Dalam responsnya, Encik Pritam berkata parti pembangkang, terutama WP, “bukan peramal” dan mengaitkan keputusan WP untuk bertanding kurang daripada satu pertiga daripada kerusi atas sebab “tempoh masa yang singkat” untuk membuat persiapan.

“Jika saya ingat, terdapat tempoh satu setengah bulan antara tarikh Laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dikeluarkan dengan Hari Penamaan Calon, WP terpaksa mengatur anggota yang kita ada, dan memujuk mereka untuk bertanding dalam GE2025.

“Ia adalah tempoh masa yang singkat, dan dalam tempoh masa itu, kita juga perlu berhadapan dengan realiti terdapatnya SMC dan GRC baru,” kata Encik Pritam.

Encik Pritam juga berkata beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Encik Ong, yang berkata “peluang penyingkiran parti pembangkang adalah sifar”, memandangkan keadaan PAP dan pembangkang di Singapura.

Dalam responsnya, Encik Ong mengulangi pendirian PAP bahawa tidak ada peluang untuk “penyingkiran pembangkang” memandangkan sentimen yang diberi oleh rakyat Singapura.

“Hasrat untuk menyemak PAP sangat kuat kerana (PAP) mempunyai majoriti yang besar (di Parlimen).

“Pembangkang mempunyai peranan dalam tadbir urus Singapura, dan kita perlu memandang serius perkara itu dan menerima bahawa tiada peluang untuk pembangkang dihapuskan.

“Kita mesti menerima bahawa orang ramai mahukan pemerintah PAP buat masa ini, tetapi mereka juga mahukan kehadiran pembangkang,” kata Encik Ong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg