Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Portal papar sumbangan lebih 100 tokoh Melayu S’pura dilancar

Rakam kehidupan tokoh Melayu yang bentuk sejarah, warisan S’pura sepanjang enam dekad lalu
Oct 11, 2025 | 7:00 PM
PMOS, Prominent Malays of Singapore, FAISHAL IBRAHIM, NLB
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri), melancarkan Portal Tokoh-Tokoh Melayu Singapura atau ‘Prominent Malays of Singapore’ (PMoS) di Galeri Nasional Singapura pada 11 Oktober. Beliau disertai (dari kiri) Pengerusi Panel Penasihat Melayu Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Dr Azhar Ibrahim; mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob; Ketua Eksekutif NLB, Encik Ng Cher Pong; dan salah seorang individu yang dipaparkan di PMoS, Cik June Rusdon. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Satu portal memaparkan tokoh Melayu Singapura yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara telah dilancarkan pada 11 Oktober.

Portal tersebut, yang boleh dibaca dalam bahasa Inggeris dan Melayu, merakam kehidupan lebih 100 tokoh Melayu yang membentuk sejarah dan warisan negara ini sepanjang enam dekad lalu.

Antaranya termasuk Presiden wanita pertama Singapura, Puan Halimah Yacob; Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak; legenda bola sepak, Fandi Ahmad; serta ikon seni seperti Allahyarhamha Nona Asiah dan Allahyarham Sarkasi Said.

Portal Tokoh-Tokoh Melayu Singapura atau ‘Prominent Malays of Singapore’ (PMoS), yang kini boleh dilungsuri dalam talian, dibangunkan bersama Lembaga Perpustakaan Negara Singapura (NLB) dan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), serta disokong rakan kerja utama termasuk Majlis Bahasa Melayu Singapura dan akhbar Berita Harian (BH).

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang melancarkan portal itu di Galeri Nasional Singapura berkata laman panduan itu merakam sumbangan tokoh yang membentuk sejarah kemakmuran Singapura, sekali gus menyuntik inspirasi dalam kalangan generasi muda.

“Kisah mereka mencerminkan masyarakat majmuk Singapura dan komitmen kita kepada meritokrasi.

“Warisan mereka pula mengingatkan kita bahawa kemajuan mesti berlandaskan nilai-nilai murni, dan ia terkait dengan kejayaan Singapura,” ujarnya kepada lebih 200 hadirin untuk meraikan pencapaian tersebut.

Menurut NLB, tokoh Melayu yang ditampilkan dipilih merentas 10 kategori iaitu seni, masyarakat, pendidikan, politik, agama, sukan, perundangan, penjagaan kesihatan, pemerintah dan perniagaan.

Menyentuh tentang proses penghasilan portal tersebut, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu NUS, Dr Azhar Ibrahim, berkata ia cerminan “pembelajaran masyarakat” dan sikap gotong-royong memandangkan ia menggembleng usaha pelbagai golongan termasuk penyelidik, pustakawan, aktivis sastera, penasihat profesional, editor dan pendidik.

Dr Azhar turut menekankan pentingnya portal tersebut dalam memelihara kisah pencapaian tokoh Melayu agar ia tidak pupus ditelan zaman.

“Generasi masa akan datang perlu mendapat inspirasi daripada suri teladan, pemimpin masyarakat dan tokoh kebangsaan.

“Ini merupakan aspek penting dalam pembinaan masyarakat dan pembangunan negara,” ujarnya, yang juga Pengerusi Panel Penasihat Melayu NLB.

Antara individu yang dipaparkan di PMoS ialah Cik Aidli Alin Mosbit, 52 tahun, bagi sumbangannya kepada dunia seni teater Melayu di Singapura.

Cik Aidli, yang merupakan penulis drama, pelakon dan pengarah yang memenangi pelbagai anugerah, berkata:

“Usaha murni ini sesuatu yang saya harap dapat memberi inspirasi kepada anak muda yang berasakan ‘oh saya tak pasti apa yang boleh saya capai’ atau sama ada mereka boleh mengikuti pencapaian suri teladan mereka.

“Lakukannya mengikut rentak anda sendiri dan catat pembangunan dan pencapaian dengan cara anda yang tersendiri.”

Seorang lagi yang diiktiraf ialah Allahyarham Ustaz Syed Ahmad Semait, seorang penerbit, penulis, editor dan penterjemah berpengaruh yang telah mengasaskan Pustaka Nasional, sebuah syarikat penerbitan berbahasa Melayu.

Allahyarham diwakili anaknya, Syed Ali Semait, 58 tahun, di acara pelancaran PMoS.

“Beliau tidak terkenal sangat di Singapura tetapi lebih terkenal di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

“Usaha ini dapat memperkenal karya beliau kepada khalayak Singapura supaya mereka lebih mengenali dan barangkali akan membaca karyanya pada masa akan datang,” ujar Syed Ali, yang juga pengarah Pustaka Nasional.

Catatan yang dipamerkan di portal tersebut terdiri daripada imej, bahan audiovisual dan rujukan silang, lantas membolehkan pengguna meneroka sumber NLB dengan lebih lanjut.

Memandangkan projek PMoS diterajui masyarakat dan bersifat kolaboratif, orang ramai diundang agar menyumbang maklumat tambahan atau kemas kini yang boleh dikirim menerusi borang maklum balas bagi semakan editorial, sebelum ia ditambah ke portal tersebut.

PMoS merupakan tambahan kepada sumber Melayu sedia ada di NLB, lantas melengkapi koleksi khas ‘Dunia Melayu’ yang menampilkan buku Inggeris, Cina dan Tamil mengenai topik berkaitan seni dan kebudayaan, di samping karya kesusasteraan penulis Melayu Singapura.

Sempena pelancaran portal itu, pameran bergerak akan diadakan di enam perpustakaan serata Singapura sepanjang 18 bulan akan datang mulai pertengahan Oktober hingga Mac 2027.

Demikian jadual pameran bergerak itu:

  1. Perpustakaan Awam Bedok (Oktober 2025 hingga Januari 2026)
  2. Perpustakaan Daerah Woodlands (Januari 2026 hingga Mac 2026)
  3. Perpustakaan Daerah Tampines (April 2026 hingga Mei 2026)
  4. Perpustakaan Daerah Jurong (Jun 2026 hingga Ogos 2026)
  5. Perpustakaan Negara, Tingkat 9 Promenade (September 2026 hingga Oktober 2026)
  6. Perpustakaan Awam Central (November 2026)
  7. Perpustakaan Daerah Punggol (Disember 2026 hingga Mac 2027)
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg