Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Portal sehenti baru mudahkan usaha cari, sertai ujian perubatan S’pura

Jul 30, 2024 | 8:32 PM
Portal berpusat itu bertujuan menjadikan ujian klinikal lebih mudah diakses oleh lebih ramai orang.
Portal berpusat itu bertujuan menjadikan ujian klinikal lebih mudah diakses oleh lebih ramai orang. - Foto ZAOBAO

Satu portal baru telah dilancarkan untuk menyepadukan maklumat mengenai kajian penyelidikan yang menguji keselamatan dan keberkesanan ubat, peranti atau rawatan kepada orang ramai.

Portal tersebut juga memaklumkan perkara yang orang ramai perlu tahu untuk menyertai sesuatu kajian, selain maklumat penting untuk membimbing penyiasat klinikal dan penaja ujian.

Portal Ujian Klinikal Singapura (CTSG) itu diuruskan oleh Institut Penyelidikan Klinikal Singapura (Scri), badan penyelaras nasional dan pejabat penyelidikan akademik bagi ujian klinikal di sini, lapor The Straits Times (ST).

Dilancarkan pada 30 Julai oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, portal berpusat itu bertujuan menjadikan ujian klinikal lebih mudah diakses oleh lebih ramai orang.

Ia membolehkan orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai sesuatu ujian, dan memberi maklumat ujian itu kepada doktor mereka untuk menentukan sama ada mereka sesuai menjalani ujian itu, kata pengarah eksekutif SCRI, Profesor Madya Danny Soon.

Apabila ujian ubat-ubatan dijalankan di sini, penyelidik dapat menentukan sama ada ia selamat untuk pesakit di sini, kata Profesor Soon.

Ujian klinikal juga memberi sumbangan penting kepada perkembangan terapi dan rawatan baru.

Khususnya, ia akan membolehkan pesakit, yang mungkin sudah kehabisan pilihan rawatan bagi penyakit mereka, untuk mencari terapi baru, tambahnya.

Encik Heng, yang merupakan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), menyatakan sukarelawan yang sihat juga boleh menyertai ujian ubat-ubatan pada fasa awal, yang membantu penyelidik di sini menyiasat tahap toleransi terapeutik baru.

Pada masa ini, portal tersebut menyenarai 338 “ujian perekrutan”, melibatkan kedua-dua kajian intervensi untuk menguji rawatan bagi penyakit, dan kajian pemerhatian yang membolehkan penyelidik mengumpul data mengenai kesihatan dan tingkah laku peserta dalam persekitaran semula jadi mereka.

Senarai itu – yang boleh dilayari di https://clinicaltrials.sg/patient-or-caregiver/trials-listing – membolehkan carian berdasarkan jenis penyakit, menjadikannya lebih mesra pengguna bagi mereka yang menghidap masalah kesihatan atau penyakit tertentu untuk mencari ujian berkaitan.

Carian juga boleh dikecilkan mengikut fasa ujian atau peringkat percubaan.

Setiap ujian yang tersenarai memberi penerangan ringkas tentang kajian berkenaan dan kriteria peserta. Nama penyiasat utama turut disertakan.

Mereka yang berminat menjadi peserta kajian boleh menulis ke alamat e-mel yang tertera dalam senarai tersebut untuk mendaftarkan minat mereka dan menyemak sama ada mereka layak menyertai.

Mereka juga boleh mengisi satu borang untuk dimaklumkan apabila ujian baru diadakan yang menjalankan perekrutan di Singapura. Senarai ujian akan diperkemas dengan maklumat terkini setiap bulan.

Sebelum ini, maklumat mengenai ujian klinikal di Singapura pada umumnya disesuaikan dengan karyawan penyelidikan klinikal dan penyiasat utama, dengan orang ramai biasanya mengetahui tentang ujian tersebut melalui doktor mereka.

Bercakap semasa pelancaran portal itu di simposium ujian klinikal SCRI di Pusat Konvensyen Raffles City, Encik Heng berkata, Singapura mesti melabur lebih banyak dalam ujian yang tertumpu pada pencegahan huluan bagi penyakit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg