Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Portal SkillsFuture kembali operasi selepas gangguan akses jelang tarikh luput kredit 31 Dis

Dec 31, 2025 | 1:19 PM
skillsfuture, kredit $500, luput, 31 Dis, gangguan sistem
Tambah nilai kredit sekali sahaja sebanyak $500 luput pada 31 Disember, diberikan kepada semua rakyat Singapura berusia 25 tahun dan ke atas pada 2020 bagi menyokong latihan dan pembangunan kemahiran mereka semasa pandemik. - Foto fail

Akses ke portal MySkillsFuture telah dipulihkan selepas berlaku gangguan sistem pada 30 Disember, sehari sebelum tokokan kredit sekali sahaja yang dilakukan pada 2020, iaitu sebanyak $500, luput.

Sistem Kredit SkillsFuture yang terjejas boleh diakses semula dalam talian pada pagi 31 Disember, menurut kemas kini di laman webnya.

Dalam satu kenyataan pada 31 Disember, SkillsFuture Singapura (SSG) berkata isu teknikal itu telah diselesaikan setakat 7 pagi dan portal MySkillsFuture kini beroperasi sepenuhnya.

“SSG sedang bekerjasama dengan penyedia latihan untuk menghubungi individu yang tuntutan mereka terjejas semasa tempoh gangguan,” kata SSG.

Kredit $500 SkillsFuture itu akan luput pada 31 Disember.

Ia diberikan kepada semua rakyat Singapura berusia 25 tahun dan ke atas pada 2020 bagi menyokong latihan dan pembangunan kemahiran mereka semasa pandemik, lapor The Straits Times (ST).

Untuk menggunakan kredit itu, kursus yang didaftar mesti bermula selewat-lewatnya 31 Disember dan tuntutan mesti dikemukakan sebelum tarikh tersebut.

Rakyat Singapura juga boleh membeli langganan platform pembelajaran dalam talian Coursera selama setahun dan membayar yuran tersebut menggunakan kredit mereka sebelum ia luput.

Langganan ini boleh digunakan untuk kursus-kursus akan datang.

Pendaftaran dan pembelian langganan Coursera boleh dilakukan melalui laman web pihak ketiga ReallyLesson.com, yang merupakan rakan Coursera bagi tuntutan kredit SkillsFuture.

Menurut laman web ReallyLesson, langganan setahun berharga $499, iaitu harga promosi daripada harga asal $536.29. 

Sebelum ini pada 30 Disember, SSG, sebagai respons kepada pertanyaan, berkata pasukan teknikalnya “sedang memantau keadaan dengan teliti dan berusaha memulihkan sistem secepat mungkin”.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan penyedia latihan terjejas untuk memberi panduan kepada pengguna yang terkesan,” katanya.

Masih tidak jelas berapa ramai pengguna yang terjejas oleh gangguan sistem itu, atau aspek portal yang terlibat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg