Sebuah pos bomba marin baru akan dibina di Punggol untuk mempercepatkan masa respons kecemasan di Selat Johor Timur dan kawasan Punggol Northshore.
Dirancang siap pada akhir 2027, Pos Bomba Marin Punggol ini akan melengkapi Balai Bomba Punggol yang sedia ada dan Pos Bomba Marin Loyang.
Pos bomba ini adalah sebuah pos kecil yang terletak secara strategik dengan sumber terhad, direka untuk memberikan bantuan lebih cepat dan sokongan semasa kecemasan.
Pos bomba ini juga akan dilengkapi dengan Kapal Kebakaran Respons Pantas, yang dibina untuk menghulur tindak balas segera terhadap kecemasan maritim termasuk kebakaran, tumpahan bahan kimia dan operasi menyelamat.
Kemudahan ini juga akan membolehkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memberi tindak respons kecemasan di seluruh kawasan selat dalam masa 45 minit.
Sebelumnya, hanya beberapa bahagian kawasan tersebut yang dapat diliputi dalam tempoh masa ini.
Selat itu merangkumi pulau-pulau luar pesisir seperti Pulau Ubin, Pulau Tekong dan Pulau Seletar. Terdapat lebih 30 ladang ikan di kawasan tersebut, dengan lebih banyak dijangka dibangunkan pada 2026.
Dalam dua tahun kebelakangan ini, dua kebakaran telah dilaporkan di ladang ikan.
Pada Januari 2024, 13 orang telah dipindahkan apabila sebuah ladang ikan berhampiran Pulau Tekong terbakar. SCDF menggunakan Kapal Kebakaran Respons Pantas untuk memadamkan api.
Pada 23 September 2025 pula, kebakaran berlaku di sebuah gudang simpanan barangan di ladang ikan yang terletak di Sungei Tengah.
Bagi menangani kecemasan darat, pos bomba baru itu akan dilengkapi dengan Kenderaan Melawan Api Ringan (LFAV), basikal untuk tangani kebakaran, dan ambulans.
Ini akan mengurangkan masa respons kecemasan penduduk Northshore sebanyak 30 peratus, dari 11 minit kepada 8 minit.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, hadir pada majlis pecah tanah pada 16 Januari sebagai tetamu terhormat.
Mengulas perkembangan Punggol, beliau berkata: “Dengan Punggol Northshore dan Daerah Digital yang berdekatan, lebih ramai orang tinggal (di kediaman mereka), bekerja dan beriadah di sepanjang tepian air indah kami ini.
“Di luar pesisir, lebih banyak kapal dan industri berpangkalan laut seperti ladang ikan kini menggunakan laluan perairannya.
“Pos bomba baru ini akan membantu SCDF menjadi lebih berkesan dalam menyelamatkan nyawa dan harta benda apabila kecemasan berlaku.”
Selain berfungsi sebagai kemudahan respons kecemasan, pos bomba itu juga disepadukan dengan North Eastern Riverine Loop dan Penghubung Taman Punggol, yang menghubungkan Punggol Waterway, Pulau Coney dan Taman Sengkang Riverside.
Kemudahan tersebut akan dilengkapi dengan panel suria fotovola bagi mengurangkan penggunaan tenaga, serta peralatan dan sistem cekap air untuk penggunaan air yang minimum.
Ia juga akan mempunyai jeti yang akan dibangunkan bersama oleh SCDF, Outward Bound Singapore (OBS) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC).
Komander Bahagian Marin SCDF, Penolong Pesuruhjaya (AC) Ryan Ong, berkata ini dilakukan supaya kemudahan, serta ruang darat dan laut, dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Jeti tersebut akan digunakan oleh Kapal Kebakaran Respons Pantas, manakala OBS akan menggunakan jeti untuk kapal mereka yang membawa penumpang dan kargo ke kampus mereka di Pulau Ubin.
Kata AC Ong: “Pos bomba ini direka dengan teliti untuk disesuaikan dengan persekitaran Punggol Northshore. Ini dapat meningkatkan pengalaman penduduk yang menggunakan laluan taman dan koridor hijau untuk kegiatan harian mereka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg