Satu kebakaran berlaku di bangunan perindustrian di Sungei Kadut pada pagi 2 Januari.
Sekitar 7.45 pagi, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengumumkan melalui Facebook anggotanya sedang memadamkan api di 8 Sungei Kadut Crescent.
Kira-kira sejam kemudian, SCDF berkata api berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan di dilaporkan.
Setelah menerima panggilan sekitar 7 pagi, pegawai SCDF mendapati kebakaran berlaku di sebuah unit di tingkat dua.
Seluruh tingkat dua diselubungi asap tebal, ujar SCDF.
Kebakaran itu, yang melibatkan tin cat warna dan palet kayu di dalam unit berkenaan, dipadamkan dengan pantas menggunakan tiga jet air.
Tiada sesiapa berada di unit tersebut. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Kejadian itu merupakan kebakaran ketiga yang dilaporkan pada 2026.
Kebakaran pertama berlaku pada awal pagi tahun baru di bumbung Our Tampines Hub (OTH) pada 1 Januari semasa pertunjukan bunga api Tahun Baru 2026. Tiada kecederaan dilaporkan.
Video di akaun Instagram @Sgfollowsall memaparkan api menjulang di atas bumbung bangunan itu, berlatarbelakangkan pancaran bunga api.
Video lain di Facebook pula menunjukkan orang ramai berada beberapa tingkat di bawah lokasi kebakaran.
SCDF berkata mereka menerima panggilan mengenai kebakaran di 1 Tampines Walk, pada 12.05 tengah malam.
Namun, empat individu terpaksa dikejarkan ke hospital dalam kebakaran kedua yang berlaku di 462 Sembawang Drive pada petang 1 Januari.
Kebakaran itu berlaku di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di tingkat 11.
Anggota bomba berjaya memadamkan api menggunakan jet air.
Seorang penghuni dari unit yang terjejas telah meninggalkan tempat kejadian sebelum SCDF tiba.
Kira-kira 90 penduduk dari blok tersebut turut diminta keluar sebagai langkah berjaga-jaga.
Empat mangsa yang dibawa ke hospital telah terhidu asap.
Tiga daripada mereka dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH), manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg