Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Potter’s Garden’ di Jurong buka ruang dekati alam sambil amati seni tembikar

Kerja seni artis tembikar, Suriani Suratman, dipapar sepanjang laluan taman
Nov 16, 2025 | 7:12 PM
Potter’s Garden, Jurong
Cik Noraziyah Ahmad Effendi (kiri) menganggap perubahan di Potter’s Garden (dahulu dikenali sebagai Taman Eko Jurong), yang terletak di Kawasan Inovasi Jurong (JID), sebagai satu langkah penting menghubungkan generasi muda dengan warisan tempatan dan alam sekitaran. Beliau ditemani suami, Encik Dzulkiflee Zainal Abidin (dua dari kiri), dan anak-anaknya (dari kanan) Nur Adelia, Nur Hidayah dan Aqif Aqil pada hari perasmian Potter’s Garden. - Foto JTC

Bagi Cik Noraziyah Ahmad Effendi, 51 tahun, perubahan pesat di kejiranan perusahaan Jurong merupakan satu perjalanan yang beliau saksikan sendiri sejak menetap di kawasan itu pada 1986.

Malah, beliau sering mendengar tanggapan sebilangan orang betapa kawasan itu sering dianggap sunyi dan terpencil pada zaman dahulu.

Namun, gambaran itu kini telah berubah, dengan Jurong menjadi kawasan yang menggabungkan alam semula jadi, riadah dan warisan setempat.

Bagaikan disuntik satu kesegaran yang dinanti-nanti apabila taman seluas tujuh padang bola di Kawasan Inovasi Jurong (JID) dibuka semula pada 16 November.

Taman tersebut, yang dahulunya dikenali sebagai Taman Eko Jurong, kini diberi nafas baru dengan nama baru, Potter’s Garden, sebagai satu penghormatan kepada sejarah pembuatan tembikar di lokasi itu.

Menteri Pendidikan, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast, Encik Desmond Lee, berkata penamaan semula taman itu membawa makna lebih mendalam kerana ia meraikan warisan kehidupan kawasan tersebut.

Merujuk kepada dua tanur naga terakhir di Singapura yang terletak bersebelahan taman itu, beliau berkata:

“Ini adalah sebahagian warisan dan sejarah Singapura. Malah, ia adalah budaya hidup, warisan hidup.”

Tanur naga itu merujuk pada ruang panjang dan tipis yang dibina di cerun lereng dan digunakan bagi mengeringkan, membakar atau mengapi bahan seperti seramik.

Meskipun begitu, Encik Lee menegaskan peranan taman itu adalah mengekalkan unsur ekologi asalnya.

“Unsur alam sekitaran yang ada di Taman Eko Jurong itu masih dikekalkan. Ini tetap kawasan perlindungan untuk alam semula jadi,” katanya sambil menegaskan peranan kejiranan Jurong dalam aspirasi Singapura sebagai sebuah bandar yang terbina di dalam alam semula jadi.

Potter’s Garden kini dibuka secara rasmi kepada orang ramai sejak 16 November 2025.
Potter’s Garden kini dibuka secara rasmi kepada orang ramai sejak 16 November 2025. - Foto JTC

Menurut Perbadanan Bandar Jurong (JTC), sebanyak 400 pokok baru telah ditanam, menjadikan lebih 1,500 pokok kini menghiasi Potter’s Garden.

Kepelbagaian biodiversiti taman itu turut dipertingkat melalui peluasan Taman Rama-Rama. Terdapat sekurang-kurangnya 26 spesies rama-rama di keseluruhan Potter’s Garden.

Ini termasuk spesies Harlequin yang dikategorikan sebagai amat terancam.

Penambahan ini dibuat hasil maklum balas masyarakat menerusi tinjauan yang dijalankan pada 2021.

Dengan itu, beberapa kemudahan baru turut diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan pengunjung, termasuk dua taman permainan, sudut kecergasan dan laluan pejalan kaki yang dinaik taraf.

Ini diharapkan dapat membangun sebuah sekitaran kerja yang lebih selesa bagi mereka yang bekerja di JID, tambah Encik Lee.

Ini termasuk penggiat seni seperti Dr Suriani Suratman, seorang seniman seramik, yang telah berkarya di studio seni tembikar, Jalan Bahar Clay Studios, sejak 2005.

Acara pembukaan rasmi Potter’s Garden turut merangkumi lawatan berpandu yang dikendalikan oleh penggiat seni tembikar, Dr Suriani Suratman (dua dari kanan). Dalam ucapannya, Menteri Pendidikan dan Anggota Parlimen (MP) GRC West Coast (Boon Lay), Encik Desmond Lee (berbaju putih di tengah), menjelaskan tentang peranan kawasan itu sebagai ruang yang mengekalkan warisan seni tembikar yang telah lama bertapak di Jurong.
Acara pembukaan rasmi Potter’s Garden turut merangkumi lawatan berpandu yang dikendalikan oleh penggiat seni tembikar, Dr Suriani Suratman (dua dari kanan). Dalam ucapannya, Menteri Pendidikan dan Anggota Parlimen (MP) GRC West Coast (Boon Lay), Encik Desmond Lee (berbaju putih di tengah), menjelaskan tentang peranan kawasan itu sebagai ruang yang mengekalkan warisan seni tembikar yang telah lama bertapak di Jurong. - Foto JTC

Dengan adanya Potter’s Garden, Dr Suriani berharap ia dapat membuka peluang untuk hubungan dua hala antara artis dengan jurutera dari syarikat perkilangan maju berdekatan.

“Taman ini menjadi langkah permulaan yang penting untuk menghubungkan masyarakat seni seramik dengan pemain industri di Kawasan Inovasi Jurong, sekali gus menggalakkan kerjasama dalam bentuk bengkel, pameran atau projek bersama yang memanfaatkan kepakaran kedua-dua sektor,” kata Dr Suriani.

Karya-karya beliau ini dipamerkan di sepanjang laluan taman itu.

“Saya juga berharap penjenamaan Potter’s Garden akan menarik perhatian orang ramai kepada seni tembikar dan menghubungkan mereka dengan sejarahnya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Cik Noraziyah sekeluarga menyifatkan kehadiran taman baru ini amat bermakna, terutama dengan dirinya berperanan selaku ibu empat anak yang sedang membesar.

Sebelum ini, beliau berkata kawasan itu tidak mempunyai banyak ruang santai untuk keluarga, selain laluan semula jadi yang terhad dan kurang terjaga.

“Dulu kawasan ini sunyi, lebih banyak kilang dan pokok liar. Sekarang, ia jadi tempat yang selesa dan selamat untuk bawa anak-anak menikmati alam,” kata beliau.

Beliau juga menganggap pembukaan semula taman itu sebagai satu langkah penting dalam menghubungkan generasi muda dengan warisan tempatan.

“Tempat seperti ini menggalakkan anak-anak belajar dari alam, bukan hanya dari buku. Mereka boleh lihat segala flora, fauna dan rekaan seni yang ada. Ini adalah nikmat kehidupan yang kita jarang dapat lihat di kawasan bandar,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg