Dengan senyuman terukir di bibir ketika mengendalikan sebuah bengkel kraf tangan kulit, sukar dibayangkan wajah itulah juga yang menyembunyikan kegetiran hidup tatkala anaknya, Cik Nuruljannah Mohammad Razib, terlibat dalam satu nahas motosikal.
Kemalangan itu mengakibatkan kecederaan otak traumatik serta keretakan tengkorak buat Cik Nuruljannah, kini 28 tahun, selain kecederaan pada tulang belakang, tangan dan wajah.
Pada 11 Februari 2019 – tarikh kemalangan tersebut berlaku – membawa Encik Mohammad Razib Samsudin, kini 56 tahun, kepada masa yang terasanya amat gelap dan sukar.
Demi memberi perhatian sepenuhnya kepada puteri mereka, Encik Razib dan isterinya, Cik Anisah Salim, 56 tahun, guru sambilan di sekolah rendah, berhempas-pulas menjaga dan memelihara anak mereka dengan segenap tenaga.
Menyusuli nahas itu, Encik Razib meluangkan kebanyakan masanya di Hospital Besar Changi (CGH), dan terpaksa mengecilkan skala syarikatnya – BELeatherLab, sebuah studio pertukangan kraf tangan kulit yang dimilikinya – dan bekerja secara sambilan.
Kekalutan perasaannya itu terumbang-ambing lagi ketika berhadapan dengan keadaan arwah ibunya, Cik Hamidah Abdul Razak, yang menghidap barah hati tahap empat, yang memerlukan beliau untuk menghilir mudik antara Hospital Besar Sengkang (SKH) dengan CGH.
Allahyarhamha Hamidah meninggal dunia pada Oktober 2019.
Namun baginya, kehidupan tetap berjalan terus.
“Saya perlu menghadapinya. Saya mesti menjadi tunjang kekuatan untuk keluarga,” kata Encik Razib, kepada Berita Harian (BH).
Antara 2020 dengan 2022, selepas Cik Nuruljannah dibenarkan keluar hospital, kehidupan mereka di rumah berada di ambang kesukaran kerana hampir setiap bulan Cik Nuruljannah perlu dihantar ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) akibat komplikasi seperti demam dan sawan.
Tatkala keraguan mula menyelubungi dirinya — mempertikaikan kekuatan mental dan fizikalnya — tekanan yang semakin memuncak sebagai ketua keluarga membuatnya berasa sugul.
Siang dan malamnya menjadi tidak tenang, sehinggakan beliau sering gelisah.
“Kadangkala saya akan berasa sesak nafas dan berpeluh sewaktu tidur,” katanya.
Sebelum tragedi itu, Encik Razib sering meluangkan masa bersama anaknya melalui kegiatan sukan.
Puterinya juga gemar menziarahi studio ayahnya di Sims Drive selepas selesai bertugas di Balai Bomba Paya Lebar.
Namun, susulan kejadian tersebut, separuh dunianya seolah-olah musnah.
Pada 2023, atas nasihat isterinya, beliau mendapatkan bantuan profesional daripada doktor di CGH kerana mengesyaki dirinya mungkin mengalami kemurungan.
“Memang ada masanya saya mengalami tekanan sehingga patah seribu jiwa saya. Tapi, keadaan saya kini lebih baik.
“Saya sudah berhenti mengambil ubat sejak tahun lalu (2024). Sekarang saya hanya mahu pulih dengan cara tersendiri,” ujar Encik Razib.
Cuma pada matanya masih terbayang dan masih belum terhapus bekas-bekas luka lama, parut kesedihan dan rawan.
Malah hingga kini, perasaan itu masih perit setiap kali diminta menceritakan kembali detik-detik kejadian nahas pada 2019, jelasnya.
Bagaimana beliau menemukan kekuatan untuk terus bertahan?
“Carilah kekuatan rohani dan kembali kepada Tuhan.
“Saya juga mula bereksperimen dengan kulit sebagai medium untuk meluahkan emosi,” katanya.
Lantaran itu, kerja kraf tangan kulit menjadi satu proses ‘penyembuhan’ buat dirinya.
Sebelum ini, Encik Razib bekerja sepenuh masa di studionya. Minatnya terhadap kraf tangan kulit bermula sebagai hobi apabila beliau menghadiri bengkel kraf tangan kulit pada 2015.
Tidak lama selepas itu, beliau menubuhkan studio kecil di rumah dan mendaftarkannya sebagai BELeatherLab.
Pada 2016, beliau berpindah ke studio di Sims Drive, sebelum terpaksa mengecilkan operasi pada 2019 dan akhirnya menutup studio tersebut pada 2021.
Kini, beliau berkhidmat di Rumah Peralihan Pertapis (PHH) selepas dipelawa ketua rumah berkenaan, Encik Usmanhasidik Bakar, untuk beroperasi di sana pada akhir 2024.
Encik Razib telah mengubah konsep perniagaannya ke arah tujuan sosial dengan bekerjasama dengan rumah peralihan itu untuk meningkatkan kemahiran penghuni di sana dalam menghasilkan kraf tangan kulit.
Usaha itu bermula pada pertengahan 2023 apabila Encik Razib menghubungi Rumah Peralihan Pertapis untuk memperkenalkan seni kraf tangan kulit kepada kakitangannya.
Menjelang Oktober 2024, beliau sudah pun menjalankan bengkel untuk penghuni di rumah tersebut, di samping diberikan sebuah studio untuk bekerja.
“Di Rumah Peralihan Pertapis, penghuni dibimbing melalui program berstruktur yang membantu mereka membina keyakinan diri, memperoleh kemahiran pekerjaan dan kembali berhubung secara bermakna dengan masyarakat.
“BELeatherLab memainkan peranan besar dalam memberikan peluang kepada penghuni untuk bekerja dengan tangan mereka, mencipta dan melihat hasil usaha sendiri.
“Bagi ramai di antara mereka, inilah langkah pertama untuk kembali percaya pada diri sendiri,” kata Encik Usmanhasidik.
Selain mengisi harinya dengan membimbing para penghuni tersebut, Encik Razib juga sering merancang projek kraf tangan kulit baru sebagai cara untuk terus menyibukkan mindanya agar tidak kembali mengenang hari-hari getir itu.
“Akhirnya, inilah cara saya menyalurkan emosi dengan membantu para penghuni di sini. Setiap orang menghadapi kesusahan, sama seperti saya… cuma dengan cara mereka sendiri.
“Paling penting, para penghuni belajar membina kemahiran untuk berdisiplin dan fokus agar mereka tidak mudah terpesong daripada jalan pemulihan,” katanya.
Tanggungjawab dan dedikasinya kepada penghuni di rumah tersebut menguatkan lagi proses ‘penyembuhannya’ dan memberinya motivasi untuk menjalani kehidupan dengan pengertian baru.
“Apabila para penghuni datang berkongsi kisah mereka dan masih mengingati nasihat saya setelah mereka keluar dari rumah pemulihan ini, itulah satu kepuasan dalam hidup saya,” kata Encik Razib.
Baru-baru ini, The Straits Times melaporkan golongan rentan, termasuk belia kurang bernasib baik dan penjaga, menjadi tumpuan pada 25 September apabila para Anggota Parlimen (AP) menyeru agar Singapura terus memperkukuh sokongan terhadap mereka yang berada di pinggiran masyarakat ketika Singapura melangkah ke hadapan.
Hari keempat perbahasan Ucapan Presiden menyaksikan seramai 21 AP berucap, dengan kebanyakan mereka menekankan tema memastikan tiada sesiapa yang tercicir ketika negara menulis bab seterusnya dalam perjalanan pembangunannya.
AP GRC Pasir Ris-Changi, Cik Valerie Lee, menggesa AP agar mengingati semangat ‘Kita dahulu’ bermaksud mereka di pinggiran – yang mungkin bermasalah dalam senyap dan tidak tergambar dalam perangkaan – adalah sama pentingnya dengan mereka yang diberi perhatian.
AP GRC Bishan-Toa Payoh, Cik Elysa Chen, pula mencadangkan agar ditubuhkan sebuah hab penjagaan nasional yang berfungsi sebagai ruang digital dan fizikal bagi penjaga untuk mendapatkan maklumat serta menempah khidmat penjagaan sementara.
Usaha itu juga dapat membantu agensi mengenal pasti jurang dan memberi tindak balas dengan lebih berkesan.
Bagi Encik Razib, selain bertugas sepenuh masa di Rumah Pemulihan Pertapis, beliau turut bekerja sambilan dua hingga tiga kali seminggu di kolam renang di Tampines dan Pasir Ris bagi membuat caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
“Dengan bayaran pampasan insurans akibat Covid-19 yang menjejas kebanyakan perniagaan serta kemalangan yang menimpa Nuruljannah, saya perlu mengurus dan mengimbangi kewangan untuk keluarga dan perniagaan kecil saya.
“Antara 2019 dengan 2023, keadaan kewangan saya terjejas. Caruman CPF saya pada masa itu agak minimum, tetapi memandangkan saya telah bekerja dengan agensi pemerintah dan syarikat swasta, keadaannya tidak terlalu teruk.
“Dari Oktober 2024 hingga kini, saya mula bekerja sambilan untuk mengekalkan akaun CPF yang sihat,” kata Encik Razib, yang turut menerima bayaran bulanan daripada Geran Penjagaan di Rumah (HCG) melalui Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).
Dalam menjaga Cik Nuruljannah, anggaran perbelanjaan bulanan mencecah antara $4,000 dengan $7,000.
Ia termasuk gaji dan levi bagi dua pembantu rumah hijrahan – seorang penjaga dan seorang lagi pembantu domestik yang membantu pengasuh tersebut — selain keperluan harian seperti susu, vitamin, ubat-ubatan, peralatan seperti tiub makanan, tilam serta penyelenggaraan bagi kerusi roda khas.
Encik Razib turut melahirkan harapannya kepada para pengasuh lain agar tidak berputus asa.
“Hadapilah cabaran, hadapi realitinya.
“Keadaan Nuruljannah kini semakin baik dan dia tidak perlu ke hospital sekerap dahulu. Saya faham dia mungkin tidak lagi mampu bermain tenis, mendaki atau berlari seperti dulu.
“Tapi setiap pergerakan kecil Nuruljannah, sama ada dengan sengaja atau tidak, sudah cukup memberi saya erti dan tujuan untuk terus hidup.
“Jika dia dapat pulih sepenuhnya, ataupun sekurang-kurangnya tahap kesedarannya dapat meningkat sedikit dan mampu memberi respons – menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’... bagi saya, itu sudah cukup baik,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg