Terdapat keperluan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pendidikan serta usaha seluruh masyarakat untuk mengiktiraf perubahan perilaku dalam kalangan belia, bagi mengurangkan radikalisasi di Singapura.
Pandangan itu dikongsi presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, berhubung Arahan Sekatan (RO) yang dikenakan terhadap dua warga Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) baru-baru ini.
Seorang daripadanya ialah pelajar Menengah Tiga berusia 14 tahun – individu paling muda dikenakan tindakan di bawah ISA, jelas Jabatan Keselamatan Negeri (ISD) dalam satu kenyataan pada 15 Julai.
Menurut ISD, RO dikeluarkan ke atas pelajar itu pada Jun setelah dia menanam hasrat bertempur di bawah Tentera Bendera Hitam – lambang yang diguna pakai oleh kumpulan ISIS – dan melakukan serangan di Singapura.
Cik Hazlina berkata akses mudah kepada ideologi pelampau dalam talian boleh membawa kepada kesan negatif tanpa interaksi dan campur tangan dunia yang ketara.
Menurutnya, golongan muda menjadi radikal agak membimbangkan kerana ia memberi kesan kepada perpaduan sosial, keselamatan negara, dan kestabilan jangka panjang masyarakat.
“Bagaimanapun, melalui gabungan usaha pendidikan, penglibatan masyarakat menggalak keterangkuman dan campur tangan tepat pada masanya, Singapura boleh berusaha ke arah mengurangkan trend ini dan melindungi fabrik harmoni kita yang berbilang kaum.
“Sebagai contoh, penjagaan selepas sekolah seperti Pusat Jagaan Pelajar PPIS boleh memainkan peranan penting bagi meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa, dan membawa isu dan perbualan kembali kepada keluarga,” ujar Cik Hazlina.
Beliau menegaskan kepentingan perbualan secara kerap antara ibu bapa dengan anak-anak mereka, terutama remaja, untuk mengetahui kedudukan mereka dalam situasi tertentu.
Keluarga yang menghadapi cabaran dalam menangani isu atau melibatkan diri dengan belia, mereka harus mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan seperti sekolah, pusat kaunseling atau tokoh agama yang dipercayai dalam masyarakat.
“Campur tangan awal dan tepat pada masanya adalah kunci untuk membantu mana-mana individu dan masyarakat yang radikal.
“Dengan menggalakkan tindakan ini, kita boleh membantu mewujudkan masyarakat yang lebih berwaspada dan responsif dalam mengenal pasti dan mengurangkan kesan radikalisasi lebih awal,” tambah Cik Hazlina.
“
“... Melalui gabungan usaha pendidikan, penglibatan masyarakat menggalak keterangkuman dan campur tangan tepat pada masanya, Singapura boleh berusaha ke arah mengurangkan trend ini dan melindungi fabrik harmoni kita yang berbilang kaum. Campur tangan awal dan tepat pada masanya adalah kunci untuk membantu mana-mana individu dan masyarakat yang radikal. Dengan menggalakkan tindakan ini, kita boleh membantu mewujudkan masyarakat yang lebih berwaspada dan responsif dalam mengenal pasti dan mengurangkan kesan radikalisasi lebih awal.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg