Kaum wanita bukan sahaja memerlukan peluang untuk maju dalam kerjaya mereka, bahkan mereka turut memerlukan sokongan dan kepercayaan untuk memimpin serta mempengaruhi proses dalam membuat keputusan.

Demikian dinyatakan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, pada 24 Oktober, semasa melancarkan kohort pertama program PPIS ‘Women LeadHers’ – program pembangunan kepimpinan yang direka untuk menyokong wanita berumur 24 hingga 35 tahun dalam mengejar aspirasi kerjaya dan kepimpinan mereka.

Encik Zaqy turut menekankan keperluan agar lebih ramai wanita Melayu/Islam melangkah ke peranan kepimpinan.

Kohort pertama program sembilan bulan itu, anjuran PPIS bersama Maybank Singapore dan Korn Ferry, melibatkan 50 peserta.

Dilancarkan pada 16 Julai 2026, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tiga tahun untuk membangunkan barisan pemimpin wanita yang mampan di Singapura.

Program itu bertujuan menangani halangan seperti tanggungjawab kewangan dan penjagaan keluarga, serta akses terhad kepada mentor, rangkaian karyawan dan pendedahan kepimpinan.

Sepanjang program, peserta akan mengikuti tiga bengkel pembangunan kepimpinan yang memberi tumpuan kepada kesedaran diri, penentuan hala tuju dan pembinaan hubungan.

Mereka juga akan menyertai sesi bimbingan bersama mentor, melaksanakan tugasan peribadi serta menjalankan projek kepimpinan masyarakat secara berkumpulan.

“Ukuran sebenar kepimpinan bukan sekadar sejauh mana kita pergi, tetapi berapa ramai orang lain yang kita bantu untuk turut maju,” katanya.

Encik Zaqy menekankan bahawa bimbingan sahaja tidak mencukupi.

Wanita juga memerlukan penaja profesional yang mengiktiraf potensi mereka, mencalonkan mereka bagi peluang baharu dan meletakkan kepercayaan ke atas mereka dengan tanggungjawab sebenar.

Menurutnya, kemajuan wanita Melayu/Islam dalam bidang seperti perniagaan, undang-undang, penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan awam dan kepimpinan masyarakat wajar dirai.

Beliau turut berkata tanggungjawab menjaga keluarga, perubahan haluan kerjaya atau mengambil cuti kerjaya tidak seharusnya membataskan cita-cita wanita.

Majikan, keluarga dan masyarakat perlu bersama-sama mewujudkan persekitaran yang menyokong aspirasi mereka.

Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum, pula menegaskan bahawa kehadiran wanita di meja perbincangan hanyalah permulaan.

“Pengaruh sebenar datang apabila suara seseorang wanita bukan sekadar didengari, tetapi dihormati... apabila pertimbangannya membentuk keputusan,” ujar beliau.

Menurutnya, kejayaan program itu bukan hanya diukur berdasarkan kemahiran yang diperoleh peserta, malah juga keupayaan mereka memikul tanggungjawab lebih besar, mempengaruhi keputusan dan membentuk masa depan sendiri.

Kedua-dua pemimpin turut menggesa peserta memanfaatkan peluang untuk menimba ilmu dan membina keyakinan, kemudian membuka jalan bagi wanita lain pula.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti