Program pembangunan kepimpinan baharu bagi memperkasa kaum wanita menerusi akses lebih luas kepada bimbingan, rangkaian serta peluang kepimpinan bagi meningkatkan mobiliti sosial dan pembangunan kerjaya telah dilancarkan.

Program, PPIS Women LeadHers oleh PPIS, yang dibangunkan dengan kerjasama Maybank Singapura dan firma perunding sejagat, Korn Ferry, bertujuan mengukuhkan mobiliti sosial serta memperluas laluan kepimpinan bagi wanita.

Program tersebut dilancarkan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, di Menara Maybank di Battery Road, pada 16 Julai.

“Menerusi kerjasama ini, PPIS, Maybank dan Korn Ferry menyumbang kekuatan tersendiri iaitu kepercayaan masyarakat, sokongan korporat, kepakaran dalam pembangunan kepimpinan, serta rangkaian industri,” kata Cik Rahayu, ketika berucap di pelancaran tersebut.

Program kerjasama itu akan menyokong wanita dalam fasa penting kehidupan, seperti memasuki alam pekerjaan, peralihan di pertengahan kerjaya atau kembali bekerja selepas berehat untuk menjalankan tanggungjawab penjagaan keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam, berkata program selama sembilan bulan itu akan menyediakan bimbingan berstruktur, pendedahan kepada kepimpinan peringkat eksekutif serta peluang membina rangkaian profesional.

Bermula Oktober, program itu dijangka memanfaatkan 50 peserta berusia antara 24 dengan 35 tahun.

Mereka akan digandingkan dengan 17 mentor yang terdiri daripada usahawan, pemimpin masyarakat, pemimpin sektor awam atau golongan karyawan kanan, termasuk wanita yang telah membina kerjaya dengan latar belakang tidak konvensional.

Menurut Cik Rahayu, walaupun terdapat peningkatan pada penyertaan wanita, wanita Melayu/Islam masih terhambat dalam pembangunan kerjaya mereka atas sebab kekurangan akses kepada rangkaian profesional.

Berdasarkan laporan Tenaga Kerja di Singapura 2025 oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kadar penyertaan wanita berusia 25 hingga 64 tahun dalam tenaga pekerja di Singapura meningkat daripada 74.1 peratus pada 2015, kepada 80.5 peratus pada 2025.

Dengan program itu, Cik Rahayu berharap peserta dapat mempertingkatkan modal sosial dengan penyediaan rangkaian, maklumat dan hubungan, yang juga memainkan peranan penting dalam pembangunan kerjaya, selain pembangunan kemahiran.

Program tersebut dibangunkan susulan dapatan daripada kajian PPIS tentang pembangunan kerjaya wanita.

“Kami tidak menganggap bahawa wanita kurang memiliki cita-cita atau keupayaan. Kajian kami menunjukkan ramai yang sememangnya mempunyai kedua-duanya.

“Sebaliknya, mereka sering kekurangan akses kepada mentor, rangkaian profesional, pendedahan di tempat kerja dan peluang untuk pembangunan,” kata Cik Aidaroyani.

Acara pelancaran tersebut turut disusuli satu perbincangan panel bersama Cik Rahayu, Naib Presiden PPIS, Cik Liyana Sinwan; Ketua Eksekutif Audit Maybank, Cik Farhan Samsudin; dan Rakan Kongsi Kanan Klien Korn Ferry, Cik Lee Yen Chin.

Semasa perbincangan itu, panel juga berkongsi tentang kepentingan untuk majikan dan rakan kongsi industri menyokong pekerja wanita agar dapat membina sebuah masyarakat yang lebih terangkum.

“Pembinaan masyarakat yang terangkum adalah satu usaha yang berterusan kerana ia memerlukan komitmen berpanjangan dan tanggungjawab bersama yang tidak dapat digalas pemerintah sahaja.

“Badan masyarakat memainkan peranan penting dengan membawa bersama kepercayaan, pemahaman keperluan masyarakat di peringkat akar umbi, serta keupayaan untuk mendekati masyarakat,” tambah Cik Rahayu.

Permohonan bagi menyertai program itu dibuka hingga 31 Julai.

Mereka yang berminat untuk menjadi mentor boleh menghantar permohonan menerusi pautan https://tinyurl.com/wlmentor26, manakala mereka yang berminat menjadi peserta boleh berbuat demikian menerusi https://tinyurl.com/wlmentee26.