Topik diikuti
Pergi ke BHkuPPIS lancar kohort pertama ‘Women LeadHers’: Buka peluang, sokong aspirasi kepimpinan wanita
PPIS lancar kohort pertama ‘Women LeadHers’: Buka peluang, sokong aspirasi kepimpinan wanita
Zaqy: Kemajuan wanita Melayu/Islam dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, penjagaan kesihatan, pendidikan wajar diraikan
PPIS lancar kohort pertama ‘Women LeadHers’: Buka peluang, sokong aspirasi kepimpinan wanita
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata bahawa kaum wanita bukan sahaja memerlukan peluang untuk maju dalam kerjaya mereka, tetapi juga sokongan dan kepercayaan untuk memimpin serta mempengaruhi proses membuat keputusan.
Beliau membuat kenyataan tersebut semasa pelancaran kohort pertama program PPIS ‘Women LeadHers’ – program pembangunan kepimpinan yang direka untuk menyokong wanita berumur 24 hingga 35 tahun dalam mengejar aspirasi kerjaya dan kepimpinan mereka – pada 24 Oktober, sambil menekankan keperluan agar lebih ramai wanita Melayu/Islam melangkah ke peranan kepimpinan.
Kohort pertama program sembilan bulan itu, anjuran PPIS bersama Maybank Singapore dan Korn Ferry, melibatkan 50 peserta.
Dilancarkan pada 16 Julai 2026, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tiga tahun untuk membangunkan barisan pemimpin wanita yang mampan di Singapura.
Program itu bertujuan menangani halangan seperti tanggungjawab kewangan dan penjagaan keluarga, serta akses terhad kepada mentor, rangkaian profesional dan pendedahan kepimpinan.
Sepanjang program, peserta akan mengikuti tiga bengkel pembangunan kepimpinan yang memberi tumpuan kepada kesedaran diri, penentuan hala tuju dan pembinaan hubungan.
Mereka juga akan menyertai sesi bimbingan bersama mentor, melaksanakan tugasan peribadi serta menjalankan projek kepimpinan masyarakat secara berkumpulan.
“Ukuran sebenar kepimpinan bukan sekadar sejauh mana kita pergi, tetapi berapa ramai orang lain yang kita bantu untuk turut maju,” katanya.
Encik Zaqy menekankan bahawa bimbingan sahaja tidak mencukupi.
Wanita juga memerlukan penaja profesional yang mengiktiraf potensi mereka, mencalonkan mereka bagi peluang baharu dan meletakkan kepercayaan ke atas mereka dengan tanggungjawab sebenar.
Beliau berkata kemajuan wanita Melayu/Islam dalam bidang seperti perniagaan, undang-undang, penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan awam dan kepimpinan masyarakat wajar diraikan.
Beliau turut berkata tanggungjawab menjaga keluarga, perubahan haluan kerjaya atau mengambil cuti kerjaya tidak seharusnya membataskan cita-cita wanita.
Majikan, keluarga dan masyarakat perlu bersama-sama mewujudkan persekitaran yang menyokong aspirasi mereka.
Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum, pula menegaskan bahawa kehadiran wanita di meja perbincangan hanyalah permulaan.
“Pengaruh sebenar datang apabila suara seseorang wanita bukan sekadar didengari, tetapi dihormati... apabila pertimbangannya membentuk keputusan,” katanya.
Beliau berkata kejayaan program itu bukan hanya diukur berdasarkan kemahiran yang diperoleh peserta, tetapi juga keupayaan mereka memikul tanggungjawab lebih besar, mempengaruhi keputusan dan membentuk masa depan sendiri.
Kedua-dua pemimpin turut menggesa peserta memanfaatkan peluang untuk menimba ilmu dan membina keyakinan, kemudian membuka jalan bagi wanita lain pula.