Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo angkat sumpah sebagai Presiden kelapan Indonesia

PM Wong ucap tahniah, harap kedua negara dapat luas kerjasama bagi tingkat daya tahan, kongsi kemakmuran
Oct 20, 2024 | 9:19 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu Presiden baru Indonesia, Encik Prabowo Subianto pada 20 Oktober di Jakarta, Indonesia.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu Presiden baru Indonesia, Encik Prabowo Subianto pada 20 Oktober di Jakarta, Indonesia. - Foto MDDI

Encik Prabowo Subianto telah mengangkat sumpah sebagai Presiden kelapan Indonesia pada 20 Oktober dalam majlis yang dihadiri pemimpin dan wakil dari luar negara.

Upacara itu turut ditonton secara langsung dalam talian dan menerusi televisyen oleh jutaan rakyat Indonesia.

Perasmian mantan menteri pertahanan itu berjalan lancar dan harapan tinggi bahawa peralihan itu akan membawa satu lagi tempoh kestabilan politik untuk ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, dan terus meningkatkan kedudukan Nusantara di persada dunia.

Berpakaian tradisional Jawa berwarna biru, Encik Prabowo, yang menjangkau usia 73 tahun pada 17 Oktober, melafazkan sumpah jawatannya di Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) pada sebelah pagi.

“Demi Tuhan, saya bersumpah akan menjalankan tugas saya sebagai Presiden Republik Indonesia dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya, dengan menjunjung tinggi perlembagaan, undang-undang dan peraturan republik,” katanya.

Beliau kemudian memeluk Encik Jokowi, 63 tahun, dan kedua-dua lelaki bertukar tempat duduk di hadapan dewan diiringi tepukan gemuruh oleh para hadirin.

Encik Prabowo, yang merupakan mantan menteri pertahanan Indonesia, mengambil alih jawatan Encik Jokowi, manakala anak Encik Jokowi, Encik Gibran Rakabuming Raka, 37 tahun, telah dilantik sebagai Naib Presiden Indonesia.

Dalam pertemuannya dengan beliau di Istana Merdeka setelah menghadiri majlis mengangkat sumpah, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata Singapura berharap untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dengan Indonesia sedang negara itu memulakan fasa baru dalam pembangunannya di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA), semasa pertemuan itu, Encik Wong telah mengucapkan tahniah kepada Encik Prabowo atas mandat kuat yang diraihnya dan pelantikannya sebagai Presiden kelapan Indonesia.

Kededua pemimpin turut membincangkan cabaran yang dihadapi bersama dan bagaimana Singapura serta Indonesia dapat bertindak bersama untuk merangsang daya ketahanan di samping berkongsi kemakmuran.

Encik Wong turut mengutuskan surat tahniah kepada Encik Prabowo dan sepucuk surat perpisahan kepada mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Dalam surat tahniahnya kepada Encik Prabowo, Encik Wong berkata Singapura dan Indonesia mempunyai kepentingan yang sama dalam menjaga keamanan dan kemakmuran serantau, dan mempromosikan perintah berasaskan peraturan.

“Mandat kuat yang anda terima daripada rakyat Indonesia mencerminkan kepercayaan mereka terhadap kepimpinan dan visi anda untuk sebuah negara yang aman dan makmur.

“Indonesia yang yakin dan berkembang maju menjadikan Asean yang padu dan bersemangat serta membuka banyak peluang untuk kerjasama yang lebih erat antara negara kita.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda untuk mengembangkan kerjasama antara Singapura dan Indonesia,” kata Encik Wong.

Antara tetamu yang turut hadir pada majlis angkat sumpah pada 20 Oktober itu termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Australia merangkap Menteri Pertahanan, Encik Richard Marles.

Tetamu lain termasuk Perdana Menteri Korea Selatan, Encik Han Duck-soo dan Naib Presiden China Encik Han Zheng. Delegasi dari Amerika Syarikat diketuai oleh Duta Besar Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Linda Thomas-Greenfield.

Dalam ucapan perasmian selepas majlis angkat sumpah di MPR di Jakarta, Encik Prabowo berkata beliau dan Naib Presidennya Encik Gibran akan berkhidmat kepada semua rakyat Indonesia.

“Dengan penuh rasa tanggungjawab dan dengan segenap kekuatan jiwa dan raga, kami akan memikul kepimpinan Indonesia... dengan mengutamakan kepentingan seluruh rakyat Indonesia termasuk mereka yang tidak mengundi kami,” katanya.

Encik Prabowo dipilih pada 14 Februari setelah meraih lebih 58 peratus undian.

Ia adalah percubaan ketiganya untuk menjadi Presiden, selepas bertanding menentang Encik Jokowi pada 2014 dan 2019.

Beliau menewaskan dua calon lain, mantan gabenor Jawa Tengah Encik Ganjar Pranowo dan mantan gabenor Jakarta Encik Anies Baswedan yang turut hadir di majlis angkat sumpah itu.

Upacara itu turut dihadiri mantan presiden Indonesia, Encik Susilo Bambang Yudhoyono. 

Mantan Presiden dan Pengerusi Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Cik Megawati Sukarnoputri menghantar eksekutif parti dan anak perempuannya Puan Maharani sebagai wakilnya, kerana tidak dapat hadir akibat selesema.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg