Singapura telah menambah baik prasarana pengangkutan secara ketara untuk membantu golongan kurang upaya dengan lebih baik.
Prasarana pengangkutan di sini juga memudahkan akses kepada orang ramai, selain membolehkan penglibatan lebih besar dalam masyarakat.
Sehingga Julai, sebanyak 1,700 bas kini mempunyai dua ruang kerusi roda dalam setiap bas, di samping lebih banyak tempat duduk yang memberi keutamaan kepada warga emas dan mereka yang memerlukan, lapor The Straits Times (ST).
Di samping itu, bas awam di sini juga mempunyai khidmat pengumuman audio untuk memaklumkan perhentian bas seterusnya.
Ia bagi manfaat penumpang yang cacat penglihatan, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 16 September.
Terdapat juga “lengan kuning” pada tiang dalam bas yang mempunyai loceng tekan. Warnanya yang terang dapat membantu mereka yang kurang penglihatan.
Kumpulan bas selebihnya akan dilengkapi ciri-ciri tersebut secara berperingkat, sedang bas lama digantikan dengan bas baru.
Sehingga kini, 98 peratus perhentian bas di sini adalah bebas halangan.
Kesemua perhentian bas di sini akan bebas halangan menjelang 2025, kecuali sebilangan kecil daripadanya disebabkan kekangan kerja pembinaan di lokasi.
Penambahbaikan itu adalah sebahagian kemajuan yang dibuat di bawah Pelan Induk Pemerkasaan 2030 (EMP2030), satu peta laluan yang membantu individu kurang upaya (PWD) dan memudahkan mereka menyumbang kepada masyarakat.
Pelan tersebut menggambarkan Singapura yang lebih prihatin dan inklusif menjelang 2030, termasuk usaha mencapai matlamat seperti meningkatkan peluang pekerjaan.
Lintasan pejalan kaki juga mempunyai ciri-ciri inklusiviti yang dipertingkat.
Sehingga Julai, lebih 1,000 lintasan pejalan kaki telah dilengkapi lampu “Green Man Plus” di tiang-tiang trafik, yang memberi sehingga 13 saat tambahan, bergantung pada jarak lintasan, agar orang kurang upaya mempunyai masa yang cukup untuk menyeberang jalan.
Lagi 1,500 lintasan sedemikian akan disediakan menjelang 2027.
Kini, semua bas awam dan kereta api mudah diakses pengguna berkerusi roda, dan semua stesen kereta api dan pusat tukaran bas mempunyai laluan bebas halangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg