Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SG Enable bantu 900 kurang upaya cari kerja setiap tahun

Feb 7, 2024 | 3:13 PM
Kira-kira 500 orang kurang upaya telah berjaya mendapatkan pekerjaan, dengan lebih 80 peratus daripada mereka kekal bekerja untuk sekurang-kurangnya enam bulan. 
Kira-kira 500 orang kurang upaya telah berjaya mendapatkan pekerjaan, dengan lebih 80 peratus daripada mereka kekal bekerja untuk sekurang-kurangnya enam bulan.  - Foto fail

Sekitar 900 pencari kerja yang kurang upaya secara purata telah dibantu setiap tahun, antara 2018 dengan 2022, oleh penempatan kerja dan sokongan pekerjaan SG Enable, kata Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.

Beliau menambah, kira-kira 500 orang kurang upaya telah berjaya mendapatkan pekerjaan, dengan lebih 80 peratus daripada mereka kekal bekerja untuk sekurang-kurangnya enam bulan. 

Menjawab pertanyaan Encik Darryl David (GRC Ang Mo Kio) mengenai data orang kurang upaya yang memohon pekerjaan melalui Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) dalam tempoh lima tahun yang lalu, Cik Gan pada 7 Februari di Parlimen, berkata:

“Agensi Tenaga Kerja Singapura (WGS) dan e2i Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) tidak menjejaki sama ada pencari kerja yang dibantu mempunyai kecacatan.”

Namun begitu, beliau berkata golongan kurang upaya boleh memanfaatkan perkhidmatan memudahkan pencarian pekerjaan yang meluas, seperti perkhidmatan pemadanan kerja dan nasihat kerjaya yang disediakan WGS dan e2i, atau perkhidmatan penempatan dan sokongan kerja tersuai di bawah Program Pintu Terbuka (ODP).

Di bawah ODP, SG Enable bekerjasama dengan rakan penempatan dan sokongan kerja seperti Pusat Sumber Autisme, Golongan Kurang Upaya Intelek Singapura (Minds) dan Persatuan Cacat Anggota (SPD).

Mereka menyediakan jurulatih untuk membantu golongan kurang upaya mencari pekerjaan selain menasihati majikan cara menyesuaikan tugas dan persekitaran kerja kepada keperluan kakitangan kurang upaya.

“Majikan dan rakan kongsi masyarakat, seperti agensi perkhidmatan sosial orang kurang upaya, memainkan peranan penting dalam menyokong daya kerja orang kurang upaya,” kata Cik Gan.

Singapura menetapkan matlamat 40 peratus pada kadar pekerjaan bagi orang kurang upaya di bawah Pelan Induk Pemerkasaan 2030.

Untuk mencapai sasaran itu, Cik Gan berkata pemerintah akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk melengkapkan golongan kurang upaya dengan kemahiran yang membolehkan mereka mengambil peluang pekerjaan dan menyokong majikan yang inklusif melalui geran dan khidmat sokongan. 

“Kami menggalak majikan untuk mendekati SG Enable dan memanfaatkan ODP dan perkhidmatan sokongan pekerjaan lain untuk mengambil, melatih dan mengintegrasikan golongan kurang upaya ke dalam organisasi mereka,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg