Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrasekolah Islam tersepit antara kos meningkat dengan yuran mampu bayar
Kos operasi Kidya Childcare naik 10-18% setiap tahun; tidak mahu pindah beban kewangan kepada ibu bapa
Bagi pengasas dan pengetua Kidya Childcare, Cik Nur Azwani Abdullah, mengendalikan sebuah prasekolah Islam bukan sekadar perniagaan tetapi satu amanah untuk menyediakan pendidikan awal kepada generasi seterusnya.
Namun, usaha mengekalkan pendidikan itu pada kadar yang mampu dibayar keluarga semakin mencabar apabila kos operasi Kidya Childcare meningkat antara 10 hingga 18 peratus setiap tahun, sedangkan yuran hanya dinaikkan sekitar dua peratus.
“Ia memberi tekanan kewangan untuk menguruskan kos sebegini kerana kami ingin melakukan yang terbaik bagi mengimbangi antara kelangsungan perniagaan serta menjadikannya sebagai ‘ibadah’ untuk menyediakan penjagaan anak ketika ibu bapa bekerja serta mendidik dan membina asas generasi masa depan kita,” kongsi Cik Azwani, kepada Berita Minggu (BM) baru-baru ini.
Sejak ditubuhkan pada 2021, Kidya Childcare kini mempunyai dua cawangan di Telok Kurau dan Bukit Batok Crescent, dan sentiasa berusaha memastikan yuran sekolah tidak membebankan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah.
Malah, bagi penyesuaian yuran terbaru, Cik Azwani, 36 tahun, hanya menaikkan kadar yuran sebanyak dua peratus.
Namun, langkah itu semakin sukar dipertahankan apabila kos operasi terus meningkat.
Menurut beliau, kos melibatkan bayaran sewa premis, bil, utiliti, bahan mentah untuk makanan kanak-kanak, serta pelaburan latihan guru meningkat sebanyak 10 hingga 18 peratus setiap tahun.
“Kenaikan yuran sekolah kami hanya sekitar dua peratus sahaja, namun kos tetap kami melonjak sebanyak 10 hingga 18 peratus setahun.
“Ini pastinya akan memberi tekanan besar pada kewangan kami dalam jangka masa panjang.
“Matematiknya mudah sahaja, kos tetap yang meningkat bermaksud yuran sekolah juga perlu dinaikkan,” ujar beliau.
Cik Azwani akur bahawa sekiranya kos ini terus meningkat, beliau akhirnya tidak mempunyai pilihan lain selain memindahkan beban kewangan tersebut kepada ibu bapa – satu keputusan yang cuba dielakkannya.
“Tekanan yang kami hadapi sebagai pengendali akhirnya akan dipindahkan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut.
“Dan kos yang meningkat ini apabila dipindahkan kepada ibu bapa, tidak akan membantu dalam keadaan ekonomi mencabar yang sedang dihadapi oleh ibu bapa,” katanya.
Satu lagi penyumbang utama kepada peningkatan kos ialah pelaburan dalam pembangunan modal insan.
Cik Azwani bersyukur kerana kadar pengambilan pekerja baru di pusatnya rendah selama ini.
Namun, apabila beliau menghantar guru-gurunya mengikuti kursus dan latihan peningkatan kemahiran, ia secara langsung memberi kesan kepada kos operasi.
Menurut beliau, peningkatan kemahiran guru juga wajar disusuli ganjaran yang lebih baik apabila mereka mampu memberikan sumbangan lebih besar kepada pembelajaran kanak-kanak.
“Alhamdulillah, kadar pertukaran kakitangan kami sangat rendah selama bertahun-tahun.
“Namun, apabila kami menghantar mereka menjalani latihan dan kursus untuk meningkatkan kemahiran, adalah wajar bagi guru untuk mengharapkan ganjaran dan kebajikan yang lebih baik setelah mereka dapat memberikan sumbangan yang lebih besar kepada organisasi dan pembelajaran kanak-kanak kita.
“Faktor ini akhirnya meningkatkan lagi kos tetap kami,” jelas beliau.
Sebagai pengendali kecil, Kidya Childcare juga berdepan dengan jalan buntu apabila cuba memohon dana bantuan atau menyertai skim rasmi pemerintah seperti Skim Rakan Pengendali (POP).
Menurut Cik Azwani, proses melayakkan diri bagi skim tersebut boleh menjadi sukar bagi pengendali kecil seperti mereka, manakala kumpulan sasaran ibu bapa dan murid mereka juga jauh lebih kecil berbanding prasekolah arus perdana.
Beliau akur terdapat bantuan seperti Geran Prasekolah Mendaki-MUIS (MMPG), namun berharap maklumat mengenainya dapat disebarkan dengan lebih meluas kepada ibu bapa.
Geran Prasekolah MMPG membantu keluarga berpendapatan rendah mengurangkan kos prasekolah melalui padanan simpanan dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA).
Bagi setiap $1 yang disimpan ibu bapa, Mendaki akan memadankan jumlah itu hingga $30 sebulan atau $360 setahun.
Bagi Cik Azwani, isu terbesar yang dihadapi oleh prasekolah Islam swasta hari ini bukanlah kekurangan minat daripada masyarakat, tetapi kemampuan keluarga untuk membayar yuran.
“Kami tiada masalah menarik minat ibu bapa tetapi kami menghadapi masalah untuk menjadikannya mampu dibayar oleh mereka,” ujar beliau, merujuk kepada hakikat bahawa ramai ibu bapa mahukan pendidikan awal Islam tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut disebabkan kekangan belanjawan keluarga.
Dengan jurang yuran yang semakin melebar berbanding prasekolah awam yang disokong subsidi pemerintah, Cik Azwani bimbang sekiranya tiada sokongan kewangan yang lebih menyeluruh, pendidikan awal Islam akhirnya menjadi satu “kemewahan” yang hanya mampu diakses golongan berkemampuan.
Beliau berkata keadaan itu turut boleh memberi kesan kepada keluarga yang mahu menyediakan kanak-kanak mereka untuk melanjutkan pendidikan ke madrasah apabila memasuki Darjah Satu.
“Pada akhirnya, terdapat peratusan tertentu kanak-kanak bersama kami yang ingin memasuki madrasah sebaik sahaja mereka melangkah ke Darjah Satu.
“Dan kami sememangnya membantu menyediakan asas pembelajaran untuk mereka ke arah laluan tersebut,” tambahnya.
