Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrasekolah kecil bakal lebih mudah manfaatkan geran pemerintah
Kriteria geran baharu bagi sertai rangkaian prasekolah yang tawar yuran lebih rendah akan dilonggar
Prasekolah kecil bakal lebih mudah manfaatkan geran pemerintah
Pengendali prasekolah kecil mungkin lebih mudah mendapat geran baharu untuk menyertai rangkaian prasekolah yang menawarkan yuran lebih rendah kepada keluarga.
Kriteria geran itu akan dilonggarkan berbanding syarat yang diperlukan bagi skim Pengendali Rakan Kongsi (POP) yang disokong pemerintah.
Langkah ini membolehkan lebih ramai pengendali kecil memenuhi syarat kelayakan, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.
Maklumat lanjut akan diumumkan menjelang akhir 2026.
Dalam temu bual dengan The Straits Times (ST), Encik Goh mengakui bahawa terdapat pusat prasekolah kecil yang sangat komited terhadap tugas mereka dan mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada masa ini, prasekolah mesti dimiliki pengendali yang bersaiz tertentu untuk layak menyertai skim POP.
Skim itu menetapkan bahawa pengendali perlu mematuhi had yuran yang ditetapkan serta memenuhi piawaian kualiti.
Encik Goh berkata saiz prasekolah ialah satu kriteria yang akan dilonggarkan supaya pengendali yang lebih kecil boleh dipertimbangkan untuk geran tersebut.
Langkah itu diambil ketika Singapura bersedia mengembangkan rangkaian prasekolah yang disokong pemerintah supaya yuran lebih rendah dapat dinikmati lebih banyak keluarga.
Menjelang 2030, yuran penjagaan kanak-kanak sepanjang hari di pusat-pusat itu akan turun kepada $150 sebulan, manakala yuran penjagaan bayi kepada $300 sebulan.
Namun, sesetengah prasekolah swasta bimbang mereka akan bergelut untuk bersaing dengan yuran yang lebih rendah itu.
Selepas pengumuman di Rapat Hari Kebangsaan (NDR), Encik Goh bertemu pengendali prasekolah yang menyuarakan kebimbangan tentang kesan perubahan tersebut terhadap mereka.
Sesetengah pengendali yang gagal dalam permohonan sebelum ini berharap geran transformasi itu, yang pertama kali diumumkan oleh Encik Goh pada 28 Ogos, dapat memberi mereka peluang sekali lagi untuk menyertai rangkaian POP.
Rangkaian itu kini terdiri daripada 380 pusat prasekolah yang dikendalikan 33 pengendali.
Pengendali itu dilantik untuk tempoh lima tahun dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2030.
Pengendali yang memenuhi syarat dan berminat untuk menyertai rangkaian itu akan diberikan bantuan, kata Encik Goh.
Beliau menambah bahawa persaingan yang lebih sengit dalam sektor itu akhirnya akan memberi manfaat kepada kanak-kanak.
Persaingan yang meningkat akan mendorong prasekolah untuk “lebih berinovasi dan mencipta nilai tawaran yang lebih kukuh”, kata Encik Goh.
Beliau diwawancara pada 23 Oktober lalu di bangunan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengenai satu tahun setengah pertamanya dalam politik.
“Sektor ini tidak akan menjadi lebih seragam...Apabila kami menambah persaingan, saya jangka ia akan menjadi lebih pelbagai, lebih berwarna-warni dan lebih menarik untuk anak-anak kita,” kata beliau.
Pendidikan awal kanak-kanak antara isu yang jadi keprihatinannya dan ini sebahagiannya dibentuk oleh pengalamannya sebagai bapa kepada tiga anak.
Encik Goh, 43 tahun, pernah membangkitkan topik itu dalam sesi minum teh atau temu duga ketika dipertimbangkan untuk menceburi politik.
Pada 2017, keluarganya sukar mendapatkan tempat prasekolah untuk anak lelakinya yang berusia tiga tahun.
“Saya sukar mencari prasekolah, dan yurannya tidak murah, justeru pengalaman saya tentang landskap prasekolah dibentuk sedikit sebanyak oleh hal itu,” kata Encik Goh, mantan brigedier jeneral yang berkhidmat lebih dua dekad dalam tentera.
Beliau antara beberapa anggota politik yang dinaikkan pangkat dalam rombakan Kabinet terbaharu pada Julai.
Sebelum itu, Encik Goh berkhidmat sebagai Menteri Negara di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan MSF.
Sejak menyertai MSF, beliau semakin menghargai kemajuan yang telah dicapai sektor prasekolah selama bertahun-tahun, walaupun beliau berpendapat lebih banyak yang boleh dilakukan.
Matlamatnya ialah memastikan prasekolah berhampiran rumah penduduk, mampu dimiliki dan berkualiti, kata Encik Goh.
Beliau mengetuai jawatankuasa penasihat antarabangsa baharu yang ditubuhkan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) pada September 2026.