Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOH gesa insurans kesihatan swasta semak struktur polisi terlalu murah hati

Sep 24, 2025 | 6:27 PM
parlimen, insurans kesihatan, semak semula polisi
Data menunjukkan bahawa kemungkinan seorang pesakit dengan perlindungan tambahan hospital swasta membuat tuntutan adalah 1.4 kali ganda berbanding pesakit tanpa perlindungan tambahan. - Foto fail

Insurans kesihatan swasta kini berada dalam keadaan yang tidak mampu dikekalkan akibat persaingan berlebihan yang tersasar, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Pengendali insurans, hospital swasta dan penyedia perkhidmatan kesihatan telah terjerat dalam keadaan ini, mengakibatkan bil hospital swasta meningkat, premium insurans naik, serta lebih banyak tindakan kawalan terhadap proses tuntutan diperkenalkan.

Bagi memulakan usaha meleraikan masalah, Kementerian Kesihatan (MOH) telah menggesa sektor insurans supaya menyemak semula struktur polisi mereka yang terlalu murah hati.

Ini termasuk tambahan pilihan dalam polisi asas yang mengurangkan jumlah bayaran yang perlu dibiayai sendiri oleh pemegang polisi.

“Syarikat insurans perlu mencari keseimbangan antara memberi jaminan dengan perlindungan, serta menggalakkan penggunaan dan perkhidmatan yang berhemah,” kata Cik Rahayu di Parlimen pada 24 September.

Beliau menegaskan keadaan sekarang bukan disebabkan pakatan sulit atau amalan antipersaingan, yang lazimnya menghasilkan keuntungan luar biasa kepada pemain pasaran sehingga menjejas pengguna.

Sebaliknya, syarikat insurans di bawah Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP), sama ada mengalami kerugian atau hanya mendapat pulangan modal bagi portfolio kesihatan mereka.

IP ialah pelan insurans perubatan swasta yang ditawarkan oleh tujuh pengendali insurans swasta di Singapura dalam memberi perlindungan tambahan di samping skim nasional MediShield Hayat.

MediShield Hayat menanggung perbelanjaan untuk rawatan di hospital serta beberapa rawatan pesakit luar tertentu seperti radioterapi bagi barah dan dialisis buah pinggang.

Menurut Cik Rahayu, faktor utama yang menyumbang kepada masalah yang dihadapi industri insurans kesihatan swasta ialah struktur insurans yang ditawarkan. 

Pengendali menawarkan perlindungan dan manfaat yang terlalu murah hati melalui IP dan perlindungan tambahan mereka, hampir menanggung keseluruhan bil dengan kadar bayaran bersama yang sangat sedikit.

Namun, disebabkan pengendali insurans menanggung hampir keseluruhan bil, terdapat kecenderungan bagi pemilik insurans untuk membuat tuntutan berlebihan dan menjalani rawatan yang tidak diperlukan.

Terdapat data yang menyokong perkara itu, jelas Cik Rahayu.

Kemungkinan seorang pesakit dengan perlindungan tambahan hospital swasta membuat tuntutan adalah 1.4 kali ganda berbanding pesakit tanpa perlindungan tambahan dan jumlah tuntutan juga, secara purata, kira-kira 1.4 kali ganda lebih tinggi.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan lima Anggota Parlimen (AP) mengenai keadaan semasa sektor insurans kesihatan swasta, lapor The Straits Times (ST).

Ini termasuk soalan sama ada undang-undang sedia ada yang menghalang pencatutan dan amalan antipersaingan dalam kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan dan pengendali insurans swasta sudah mencukupi. 

Encik Yip Hon Weng (SMC Yio Chu Kang) merujuk kepada “perubahan satu hala oleh pengendali IP” baru-baru ini dan bertanya sama ada pemerintah akan mempertimbangkan undang-undang khusus bagi insurans kesihatan untuk melindungi pemegang polisi.

Baru-baru ini, pengendali IP, Great Eastern, telah menggantung sementara pemberian sijil prakebenaran bagi pemegang polisi IP yang dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth, mulai 17 Jun.

Prakebenaran ialah proses kelulusan awal sebelum pemegang polisi dimasukkan ke hospital, yang menilai dan meluluskan perlindungan insurans bagi kos perubatan mengikut pelan dan manfaat polisi masing-masing.

Sebagai respons, Cik Rahayu berkata peraturan tidak akan meleraikan masalah ini, sebaliknya, boleh memburukkan lagi keadaan.

“Jika kita mengehadkan amalan pengurusan tuntutan oleh pengendali insurans, kita mungkin akan menyaksikan kenaikan premium lebih tinggi.

“Dan jika kita mengehadkan kenaikan premium, produk insurans akan menjadi tidak mampan, yang akan menjejaskan pemegang polisi,” kata Cik Rahayu lagi.

Oleh itu, usaha meleraikan masalah ini perlu dilakukan secara berperingkat dan memerlukan setiap pihak berkepentingan memainkan peranan masing-masing, dengan MOH menyelaras proses tersebut.

Terdapat juga undang-undang dan saluran penyelesaian pertikaian sedia ada, seperti Akta Persaingan, bagi menghalang pakatan sulit dan amalan antipersaingan.

Selain itu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) juga akan mengambil tindakan terhadap pengendali insurans jika mereka gagal membayar tuntutan mengikut terma dan syarat polisi, atau mengamalkan prosedur tuntutan yang tidak adil.

“Syarikat insurans perlu mencari keseimbangan antara memberi jaminan dengan perlindungan, serta menggalakkan penggunaan dan perkhidmatan yang berhemah.”
– Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg