Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman Canselor ke-11 NUS

Jan 4, 2024 | 6:39 PM
CANSELOR KE-11: Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri) yang merupakan canselor ke-11 Universiti Nasional Singapura (NUS) menerima NUS Crest daripada pengerusi lembaga  NUS, Encik Hsieh Fu Hua, pada 4 Januari.
CANSELOR KE-11: Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri) yang merupakan canselor ke-11 Universiti Nasional Singapura (NUS) menerima NUS Crest daripada pengerusi lembaga NUS, Encik Hsieh Fu Hua, pada 4 Januari. - Foto ST

Sumbangan Presiden Tharman Shanmugaratnam kepada sistem pendidikan Singapura dan pembelajaran sepanjang hayat warga Singapura disingkap presiden Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Tan Eng Chye, pada 4 Januari.

Encik Tharman merupakan canselor ke-11 NUS.

Sedang Encik Tharman mempunyai “kerjaya yang hebat” sebagai ahli ekonomi, pemimpin politik dan pembuat dasar yang dihormati di peringkat global, NUS berpeluang bekerjasama dengannya ketika beliau merupakan Menteri Pendidikan dari 2003 hingga 2008, kata Profesor Tan.

“Sepanjang penggalnya, dan melalui pelantikan seterusnya di pejabat awam, beliau telah membentuk landskap pendidikan Singapura dengan memperkenalkan pelbagai laluan, dan mengiktiraf pelbagai kemahiran dan bakat untuk mencapai sistem meritokrasi yang lebih luas dan fleksibel,” kata Profesor Tan.

Beliau juga mengenang penglibatan Encik Tharman pada permulaan inisiatif SkillsFuture, yang menyediakan pembelajaran sepanjang hayat dan peluang pembangunan kemahiran untuk warga Singapura.

Encik Tharman mempengerusikan Majlis SkillsFuture apabila ia ditubuhkan pada 2014, semasa beliau berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Profesor Tan menambah bahawa lebih sedekad kemudian, ramai warga Singapura terlibat dalam pembelajaran sepanjang hayat dan rangkaian serta pilihan yang tersedia untuk mereka telah berkembang dengan mendadak.

Sehingga 2024, lebih 39,000 tempat latihan telah diambil di Sekolah Pendidikan Berterusan dan Sepanjang Hayat NUS, kata Profesor Tan.

Lebih 70 tetamu, termasuk isteri Encik Tharman, Cik Jane Ittogi, dan Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohd Maliki Osman, menghadiri acara itu di Pusat Kebudayaan Universiti NUS, lapor The Straits Times.

Jawatan canselor di NUS, mengikut perlembagaannya, disandang oleh Presiden Singapura.

“Pembaharuan pendidikan telah menjadi salah satu keutamaan sepanjang hidup saya dan saya berhasrat terus melibatkan sektor ini dalam pelbagai cara – termasuk dalam pelantikan baru saya sebagai canselor ke-11 NUS,” kata Encik Tharman di Instagram.

“Pada tahun-tahun akan datang, kami berharap menggunakan kebijaksanaan, pengalaman dan sokongan canselor baru kami sedang kami memikirkan semula pendidikan dan membawa perjalanan NUS ke hadapan sebagai universiti global terkemuka, membentuk masa depan,” kata Profesor Tan.

Semasa acara pada 4 Januari itu, lambang NUS, yang terdiri daripada singa, buku dan tiga cincin bercantum, telah disampaikan kepada Encik Tharman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg