Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden Tharman cuba buat putu mayam sempena Deepavali
Presiden Tharman cuba buat putu mayam sempena Deepavali
Presiden Tharman Shanmugaratnam cuba membuat hidangan klasik sempena Deepavali, iaitu idiyappam, atau lebih dikenali sebagai putu mayam di Singapura dan Malaysia, menerusi sebuah video yang dikongsi di media sosial beliau pada 7 November.
Dalam video itu, beliau juga menikmati hidangan tersebut bersama isterinya, Puan Jane Ittogi; Pengarah Pembangunan Fakulti dan Kepimpinan di Institut Pembangunan Awal Kanak-Kanak Nasional (NIEC), Dr Shaireen Selamat; serta pelakon, pelawak dan pengacara televisyen, Dharmadasa D Dharamahsena, atau nama pentasnya, Das DD.
Menikmati hidangan klasik Deepavali sempena perayaan itu merupakan satu kemestian, kata Tuan Presiden.
Merujuk kepada hidangan putu mayam tersebut, beliau berkata:
“Percayalah, tidak kira sama ada anda memanggilnya putu mayam atau idiyappam, rasanya lebih enak apabila dimakan menggunakan jari... dan bersama teman.”
Sambil menikmati hidangan itu, Tuan Presiden menjelaskan bahawa hidangan tersebut boleh dinikmati dengan dua cara berbeza, iaitu dengan lauk atau dengan gula dan kelapa parut.
“Satu daripadanya, iaitu versi yang saya dan isteri saya gemari, ialah untuk menjamunya dengan lauk sambar (sejenis kari sayur yang mengandungi lentil) dan sothi (sejenis lauk berasaskan santan), serta pelbagai lauk lain yang memberikannya rasa klasik dan masam masakan India Selatan.
“Satu lagi ialah versi manis, dengan dihidangkan bersama gula melaka atau gula merah serta kelapa parut. Itulah versi yang dinikmati Das dan Shaireen,” ujar beliau.
Dalam video itu, Das DD turut berkongsi tentang keistimewaan menetap di Singapura, yang membolehkan penduduknya menikmati hidangan daripada pelbagai masyarakat di sini.
Di akhir video itu, mereka berempat turut menyampaikan ucapan selamat menyambut Deepavali dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil.