Membantu wanita mencapai potensi penuh di tempat kerja bukan sekadar menetapkan kuota, tetapi dengan mengiktiraf sepenuhnya kebolehan mereka, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Berucap semasa Sidang Puncak Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) bagi Kesaksamaan Jantina pada 5 September, beliau menyeru para majikan supaya lebih fleksibel dengan aturan kekeluargaan dan meningkatkan perwakilan wanita di peringkat pengurusan kanan.
Sidang puncak yang berlangsung di One Farrer Hotel ini adalah yang pertama dianjurkan oleh SCWO sejak dilancarkan pada 2024, bertujuan menerajui perbincangan untuk menangani isu-isu sistemik dan peribadi berkaitan kesaksamaan gender.
Tuan Presiden turut memuji prestasi Singapura di peringkat antarabangsa dalam hal kesaksamaan jantina. Singapura menduduki tempat kelapan dalam Laporan Pembangunan Insan bagi Ketidaksamaan Jantina oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta satu-satunya negara Asia-Pasifik dalam senarai 10 negara paling adil.
Beliau menambah bahawa jurang gaji yang disesuaikan berdasarkan jantina di Singapura adalah sekitar 6 peratus, lebih rendah berbanding Amerika Syarikat dan Canada.
“Kita mesti menjadikan tempat kerja lebih mesra keluarga dan terus meningkatkan perwakilan wanita di peringkat pengurusan kanan. Apa yang majikan boleh, dan harus lakukan, adalah memberi perhatian kepada kepelbagaian kebolehan wanita,” kata beliau.
Tuan Presiden juga menambah bahawa majikan perlu memberi peluang kepada pekerja wanita dalam bidang-bidang di luar kebiasaan seperti perkilangan maju, teknologi, kewangan kuantitatif serta penempatan di luar negara.
Acara tersebut dihadiri kira-kira 400 peserta, di mana pakar membincangkan hambatan terhadap kesaksamaan jantina di Singapura dan serata Asia dalam pelbagai bidang seperti penuaan, penjagaan dan jurang gaji jantina.
Topik mengenai tanggungjawab wanita dalam rumah tangga dibangkitkan oleh mantan Presiden Halimah Yacob yang memberikan ucapan penutup.
“Penjagaan telah menjadi isu utama kerana wanita masih perlu memenuhi keperluan penjagaan di rumah, walaupun mereka bekerja, dan ini menjejaskan kemajuan mereka di tempat kerja,” kata beliau.
Puan Halimah turut menekankan kepentingan menghormati pilihan wanita, sama ada mereka ingin menjadi suri rumah atau menceburi bidang kerjaya.
Berkaitan isu pengiktirafan penjagaan rumah dengan bayaran, Pengarah Eksekutif Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE), Cik Corinna Lim, mencadangkan bahawa penjaga tidak perlu dibayar secara langsung sebagai permulaan. Sebaliknya, cuti bergaji boleh diberikan untuk menjaga warga emas selain daripada cuti ibu bapa yang sedia ada.
Puan Halimah menegaskan: “Isu penjagaan bukan hanya isu wanita. Ini adalah isu masyarakat, dan kita hanya akan menemui penyelesaian yang berkekalan apabila terdapat anjakan minda dan perubahan sikap.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg