Presiden Tharman Shanmugaratnam akan membuat lawatan rasmi ke Italy dan Estonia dari 24 hingga 26 Jun 2024, masing-masing atas jemputan Presiden Italy, Encik Sergio Mattarella, dan Presiden Estonia, Encik Alar Karis.
Satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 19 Jun berkata, Tuan Presiden akan membuat lawatan rasminya ke Italy pada 24 Jun.
Beliau akan menerima sambutan istiadat dan akan bertemu Presiden Mattarella dan Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni.
Tuan Presiden akan dijamu dalam satu majlis makan tengah hari rasmi oleh Presiden Mattarella.
Kenyataan itu menambah bahawa semasa lawatan rasmi ke Estonia pada 25 dan 26 Jun, Tuan Presiden akan menerima sambutan istiadat dan akan bertemu dengan Presiden Karis, Perdana Menteri Estonia, Cik Kaja Kallas, dan Presiden Riigikogu (Parlimen Estonia) Encik Lauri Hussar.
“Presiden Tharman akan dijamu dalam satu jamuan rasmi oleh Presiden Karis.
“Beliau juga akan bertemu dengan perusahaan Estonia yang terlibat dalam inisiatif kemampanan,” kata kenyataan itu.
Tuan Presiden akan diiringi oleh Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam; Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar dan merangkap Pendidikan) Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan; serta Anggota Parlimen (AP) Encik Sitoh Yih Pin dan Encik Mohamed Sharael Mohd Taha.
Beliau juga akan diiringi oleh para pegawai Pejabat Presiden, MFA dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Sebelum lawatan rasminya itu, Tuan Presiden akan mengadakan lawatan kerja di Rom, Italy bagi satu Pleno Kumpulan 30 (G30) yang dihoskan oleh Banca d’Italia, dan akan mempengerusikan bersama mesyuarat Suruhanjaya Global mengenai Ekonomi Air (GCEW) dari 20 hingga 23 Jun.
Tuan Presiden juga akan mengadakan pertemuan peribadi dengan Paus Francis pada 22 Jun.
Semasa dalam transit di Helsinki pada 25 Jun, Tuan Presiden akan dijamu dalam satu majlis sarapan pagi oleh Presiden Finland, Encik Alexander Stubb.
Semasa ketiadaan Tuan Presiden, Pengerusi Majlis Penasihat Presiden, Encik Eddie Teo, dan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, masing-masing akan menjalankan fungsi jawatan Presiden dari 20 hingga 25 Jun dan 26 hingga 27 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg