Presiden Tharman Shanmugaratnam telah meluluskan Belanjawan 2025 yang luar biasa besarnya, kata beliau dalam satu hantaran Facebook pada 19 Mac.
Pelan perbelanjaan pecah rekod sebanyak $143.1 bilion itu adalah Belanjawan terakhir bagi penggal pemerintah semasa.
Tuan Presiden menambah: “Satu tabiat yang tidak boleh kita hilangkan di Singapura: memandang jauh ke hadapan.
“Jadi walaupun kita menangani masalah hari ini seperti kos sara hidup, kita juga melindungi diri kita daripada masalah masa depan – dan membina peluang untuk rakyat Singapura melakukannya dengan baik, walau apa pun berlaku.”
Malah, katanya, satu-satunya cara untuk kekal optimis ialah bersedia menghadapi perkara yang tidak diingini.
Perkara ini adalah lebih penting sekarang daripada sembarang masa sebelum ini, tambah beliau dalam hantarannya itu.
“Gangguan ekonomi dan geopolitik sekarang mesti dijangka, dalam dunia yang semakin kacau,” katanya.
Tuan Presiden juga memberi amaran bahawa pandemik seterusnya mungkin “datang lebih cepat daripada yang kita harapkan”.
“Para saintis memberi amaran bahawa pada masa akan datang, perkara ini boleh menjadi lebih teruk – penyakit yang merebak dengan lebih mudah dalam kalangan manusia, dan lebih membawa maut, daripada apa yang baru sahaja kita alami,” katanya.
Di samping itu, perubahan iklim menghampiri “titik kritis” berbahaya, yang apabila ia dilintasi, bermakna perubahan menjadi lebih sukar dikawal, seperti cuaca ekstrem, kenaikan paras laut yang lebih besar dan kehilangan biodiversiti yang lebih cepat.
Namun beliau menambah: “Kita tidak perlu terlalu memikirkan perkara ini. Kita pada dasarnya bertuah kerana bersedia.
“Pendekatan keseluruhan Singapura terhadap belanjawan pemerintah selama bertahun-tahun, dan peraturan yang melindungi rizab yang telah dibina, mungkin kelihatan konservatif kepada ramai pemerhati seawal dua dekad yang lalu.
“Ia kini menjadi talian penyelamat bagi masa depan yang semakin tidak selamat di mana-mana.”
Kata-kata beliau menyamai apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan penggulungan bagi perbahasan Belanjawan di Parlimen pada 28 Februari.
Menjawab Anggota Parlimen (AP) yang mempersoalkan perlunya langkah seperti menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Encik Wong berkata:
“Pemerintah ini tidak akan sekali-kali mengambil risiko dengan kehidupan dan masa depan rakyat Singapura.
“Kami berbelanja mengikut kemampuan kami; dan jika terdapat bidang keperluan baru atau tambahan, kami mengumpul hasil untuk memenuhi permintaan baru ini.
“Kami sentiasa memastikan bahawa keperluan kita mencukupi, bukannya mengambil risiko ketinggalan di belakang atau kekurangan.”
Encik Wong menyatakan bahawa keseluruhan sistem global sedang berubah, dengan sistem perdagangan pelbagai hala dilemahkan oleh dasar perlindungan yang semakin meningkat.
Negara-negara juga lebih tertumpu kepada kepentingan pertahanan dan keselamatan mereka sendiri, katanya.
Semua ini akan merugikan ekonomi kecil dan terbuka seperti Singapura, kata Encik Wong.
“Itulah sebabnya kita perlu bersedia bagi persaingan yang lebih sukar, dan melakukan apa yang kita mampu untuk kekal bertahan dan kompetitif,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg