Pemerintah bertekad memastikan Singapura menjadi masyarakat untuk membina keluarga, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“Untuk semua ibu bapa muda di luar sana, percayalah bahawa kami bersama anda di sini untuk menyokong anda,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Sengkang pada 16 Mac – lawatan pertama beliau ke sana sejak menggalas jawatan tertinggi dalam pemerintah.
Selepas mengangkat sumpah pada Mei 2024, Encik Wong telah memulakan siri lawatan ke pelbagai kawasan di seluruh Singapura untuk bertemu dengan sebanyak mungkin rakyat Singapura.
Di Sengkang pada 16 Mac, beliau diiringi penasihat pertubuhan akar umbi GRC Sengkang – Dr Lam Pin Min, Profesor Madya Elmie Nekmat dan Cik Theodora Lai – serta Cik Bernadette Giam semasa hadir ke acara masyarakat di Anchorvale yang ditujukan kepada keluarga muda.
Semasa acara itu, Encik Wong menekankan langkah sokongan untuk ibu bapa dengan anak kecil yang diumumkan melalui Belanjawan 2025, lapor The Straits Times (ST).
“Kami faham tekanan kos adalah satu keprihatinan. Justeru, kami agihkan lebih banyak baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC). Malah pakej SG60 juga memperuntuk sebahagian baucar untuk membantu semua warga Singapura yang dewasa,” katanya dalam ucapan ringkas di pusat beli-belah Anchorvale Village.
Keluarga dengan anak kecil berusia 12 tahun dan ke bawah akan menerima $500 masing-masing dalam bentuk kredit LifeSG manakala keluarga besar dengan tiga anak atau lebih akan mendapat lebih banyak bantuan, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.
Antara sokongan yang diperuntuk di bawah Skim Keluarga Besar termasuk geran lebih tinggi iaitu $10,000 untuk menampung perbelanjaan prasekolah dan penjagaan kesihatan anak ketiga dan seterusnya; serta $1,000 dalam bentuk kredit LifeSG setiap tahun untuk anak ketiga dan selanjutnya semasa mereka berusia satu hingga enam tahun.
Encik Wong berkata: “Saya tahu bukan senang menjadi ibu bapa muda dan untuk membesarkan anak di Singapura. Anda mempunyai banyak perkara yang perlu dibimbangkan. Namun kami akan berusaha memudahkan perjalanan anda.”
“Justeru, tidak kira sama ada berhubung perkara prasekolah, tekanan kos, pendidikan atau perumahan, kami akan lakukan segala yang kami mampu untuk membantu anda,” kata Encik Wong lagi.
Lawatan Perdana Menteri ke Sengkang bermula sekitar 10 pagi di Kelab Masyarakat Anchorvale, di mana penduduk Sengkang West menyertai pelbagai permainan dan kegiatan sukan. Encik Wong juga mencuba permainan ‘pickleball’ dan futsal sebelum berinteraksi dengan penduduk yang hadir.
Di Anchorvale Village, Encik Wong melawat pelbagai gerai dengan kegiatan yang bertujuan mengeratkan keluarga. Beliau juga meluangkan masa untuk bertegur sapa dan bergambar dengan pengunjung dan peniaga di Pusat Penjaja Anchorvale Village.
Dalam ucapannya pada 16 Mac, Encik Wong berkata 2025 adalah tahun yang istimewa kerana ia merupakan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura dan menandakan fasa baru dalam pembinaan negara.
Namun, beliau memberi amaran mengenai perubahan besar yang berlaku di seluruh dunia.
Pergolakan dunia sentiasa berbahaya, kata Encik Wong dan keadaan ini akan menjadi semakin bergolak dan bermasalah.
“Setiap hari, kita melihat sesuatu yang semakin membimbangkan. Semua kejadian yang kita lihat di sekeliling kita mengingatkan kita... tiada siapa yang akan datang menyelamatkan kita,” ujar Encik Wong.
“Kita hanya boleh bergantung pada diri sendiri, rakyat Singapura, untuk mempertahankan negara, menggalak kepentingan kita dan memastikan negara kita ini terus berkembang, jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.”
Menambah, Encik Wong melahirkan harapan agar semua warga dapat maju bersama dengan semangat perpaduan, dan menghadapi cabaran masa depan dalam sekitaran yang tidak menentu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg