Rakyat Singapura suka kepada gabungan pelbagai pengaruh dalam makanan mereka, dan pergabungan itu berlaku secara semula jadi dalam hidangan kegemaran di negara ini.
Namun, pergabungan pengaruh itu boleh terus dipupuk dalam pelbagai budaya di sini, yang akan memperkukuhkan rasa identiti bersama rakyat Singapura, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam, pada 31 Disember.
Dalam mesej Tahun Barunya, Tuan Presiden berkata keindahan Singapura terletak pada kemampuan rakyatnya untuk belajar dan menghargai budaya satu sama lain, dan beliau menekankan ada yang sudah pun melakukannya, lapor The Straits Times (ST).
Dalam video sepanjang tiga minit yang dirakam di sebuah rumah hijau bandar di Punggol Timur yang dinamakan Kebon Dapor, Tuan Presiden menampilkan bagaimana laksa adalah hidangan yang menggabungkan pelbagai pengaruh seperti masakan Peranakan, Melayu, Cina dan India.
Rakyat Singapura menyukai gabungan pelbagai pengaruh yang menghasilkan variasi hidangan berbeza, seperti laksa Nonya klasik, laksa asam, laksa Siglap dengan rasa ikan yang lebih ketara, dan laksa kari dengan kerang.
Selain makanan, Tuan Presiden turut menekankan sebahagian daripada mereka telah mendapati ia memberi kepuasan untuk meneroka budaya lain.
Contohnya Cik Wong Yong En, 26 tahun, seorang penyanyi yang terlatih dalam muzik klasik Barat tetapi juga seorang penari Odissi yang berlatih secara aktif.
Odissi adalah bentuk tarian kuno yang berasal dari Odisha, sebuah negeri pesisir timur India.
“Beliau sentiasa suka menari, dan seorang rakan memperkenalkannya kepada tarian Odissi India, yang disifatkannya menarik kerana kerumitan dan keanggunan ritma langkah kakinya.” kata Tuan Presiden.
Pada September 2024, Cik Wong merupakan antara sekumpulan penari daripada sekolah tarian Chowk Productions, yang mempersembahkan tarian Odissi kepada Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, ketika beliau berada di Singapura bagi lawatan rasmi.
Contoh lain adalah Cik Nadya Lim, 17 tahun, seorang vokalis dalam ensembel yang mengamalkan Nanyin atau muzik tradisional Cina selatan dengan Siong Leng Musical Association di sini.
Beberapa tahun lalu, Cik Nadya secara kebetulan menemui muzik Nanyin yang terus menarik perhatiannya, dengan nada yang lembut, menenangkan, dan terkawal, lalu mula berlatih dengan persatuan tersebut, ujar Tuan Presiden.
Bagi Kebon Dapor, taman herba bertema kampung itu dimulakan oleh Raja Mohammed Fairuz.
Pensyarah seni bina berusia 46 tahun itu memulakan taman tersebut kerana beliau mahu menanam herba yang digunakan dalam masakan tradisional Melayu, dan untuk membantu lebih ramai orang mengenali masakan dan budaya Melayu.
Tuan Presiden berkata usaha seperti itu, serta banyak usaha lain, akan memberi kesan mendalam dari masa ke masa untuk memperkukuh kepelbagaian budaya Singapura dengan cara yang semula jadi.
“Dengan lebih ramai rakyat Singapura mencuba dan bahkan berusaha untuk menguasai budaya antara satu sama lain, kita akan membangunkan rasa identiti bersama yang lebih yakin. Kita boleh lakukannya,” tambah Tuan Presiden.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg