Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman: S’pura perlu kekal progresif sambil pelihara budaya

Kisah masyarakat Tamil di S’pura papar ketabahan, penyepaduan budaya dan transformasi dalam 60 tahun
Aug 4, 2025 | 5:46 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam
Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata kisah masyarakat Tamil di Singapura, dalam banyak perkara, mencerminkan kisah negara ini sendiri. - Foto TAMIL MURASU

Singapura perlu terus menjadi tempat budaya dapat dipelihara, termasuk budaya masyarakat pelbagai kumpulan etnik lebih kecil, sambil kekal progresif dari segi masyarakat dan menolak sebarang bentuk diskriminasi, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Berucap pada majlis pelancaran, Ensiklopedia Tamil Singapura (EST), pada 2 Ogos, Tuan Presiden Tharman berkata kisah masyarakat Tamil di Singapura, dalam banyak perkara, mencerminkan kisah negara ini sendiri – sebuah kisah tentang ketabahan, penyepaduan pelbagai budaya serta pengubahan masyarakat yang mendalam sepanjang 60 tahun kemerdekaan negara.

EST merupakan sumber dalam talian yang merakam sejarah dan sumbangan masyarakat Tamil di sini sejak 200 tahun lalu, dan merupakan hasil kerjasama antara Pusat Budaya Tamil Singapura (CSTC) dengan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Tuan Presiden menjelaskan bahawa pada zaman awal pembangunan Singapura, para pendatang dari India Selatan telah secara semula jadi membawa bersama tradisi dan amalan sistem kasta. 

Akibatnya, pengasingan dalam interaksi sosial, pekerjaan dan proses menempatkan mereka di sini banyak mencerminkan keadaan di tempat asal mereka.

Sebagai contoh, ensiklopedia tersebut merakamkan bagaimana hampir semua kawasan penempatan masyarakat India di Singapura mempunyai zon khusus Adi-Dravida – iaitu bagi golongan yang berada pada kedudukan paling rendah dalam tatatingkat kasta – seperti kawasan antara Jalan Besar dengan Rochor Canal.

Menurut Tuan Presiden, meskipun sikap terhadap sistem kasta mula berubah pada 1930-an dan 1940-an hasil gerakan pembaharuan seperti Persatuan Reformasi Tamil dan semasa Pendudukan Jepun, perubahan paling besar adalah yang berlaku selepas Singapura mencapai kemerdekaan.

Beliau menjelaskan bahawa sistem pendidikan kebangsaan yang memupuk amalan meritokrasi tanpa mengira latar belakang sosial, perumahan awam yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum, serta pertumbuhan ekonomi yang menyediakan peluang untuk semua, telah menyumbang kepada perubahan masyarakat yang besar.

Ini mengurangkan amalan tradisi berdasarkan kasta serta penghargaan yang lebih besar terhadap nilai keterangkuman. 

Namun, sisa-sisa amalan kasta masih wujud dalam kalangan mereka yang berasal daripada kumpulan sosial lebih tinggi dalam tatatingkat tradisional, dan amalan sedemikian juga kembali muncul dalam kalangan pendatang baru, kata Tuan Presiden.

Selain itu, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membantu mereka yang mewarisi kehidupan sukar sejak zaman nenek moyang mereka, dan tiba di negara ini sebagai buruh kasar dan buruh kontrak, kata Tuan Presiden.

Ensiklopedia itu, yang diterbitkan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), dan ulang tahun ke-30 NLB, boleh diakses dalam bahasa Tamil dan Inggeris, lapor The Straits Times (ST).

Dalam ucapannya, Tuan Presiden turut menghargai sumbangan masyarakat Tamil kepada Singapura, termasuk dalam bidang pendidikan, hak wanita, politik, perubatan, undang-undang, sukan dan seni.

Beliau turut menyorot pengaruh masyarakat Tamil terhadap landskap masakan negara, antaranya, bagaimana mi goreng dicipta dan dipopularkan oleh masyarakat Chulia Muslim dari Madras.

“Tatkala kita menyambut SG60, semoga kita mengingati sumbangan setiap golongan masyarakat kita, daripada golongan buruh yang menjalani kehidupan paling sukar hingga kepada kakitangan awam, pendidik, karyawan dan usahawan, yang kesemuanya menyumbang kepada pembangunan negara yang kita hargai ini,” katanya.

Majlis pelancaran itu dihadiri hampir 600 tetamu, termasuk Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, serta Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash.

Menyusuli pelancaran EST, sebuah pameran bergerak akan mengunjungi empat lokasi di seluruh Singapura dari Ogos 2025 hingga Februari 2026, bagi memaparkan aspek penting warisan Tamil Singapura, antaranya melalui panel interaktif. 

Pameran tersebut akan menyerlahkan fakta yang kurang diketahui mengenai penerbitan, setem pos, sekolah dan papan tanda yang berkaitan dengan masyarakat Tamil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg