Presiden Tharman: Prasarana digital utuh bantu S’pura tangani cabaran AI lebih awal
Presiden Tharman: Prasarana digital utuh bantu S’pura tangani cabaran AI lebih awal
Kecerdasan buatan harus dianggap bawa kelebihan meski wujud cabaran maksimum modal insan, bina keupayaan rakyat
Ekonomi Singapura yang kecil dan bergantung kepada teknologi lebih terdedah kepada gangguan yang dipacu kecerdasan buatan (AI).
Lantas, ia akan berdepan dengan cabaran teknologi AI ini lebih awal daripada negara lain.
Namun, memandangkan negara ini juga memiliki prasarana digital yang kukuh serta rekod prestasi yang terbukti mampu menyesuaikan diri dengan pantas, ini membolehkannya memanfaatkan sepenuhnya AI lebih tangkas berbanding negara lain.
Presiden Tharman Shanmugaratnam tekankan bagaimana Singapura mendakap AI dari sudut cabaran dan kelebihannya dalam satu temu bual di luar sesi Forum Ekonomi Sedunia di Davos, Switzerland, yang disiarkan pada 1 Februari.
Beliau berkata negara-negara harus memikirkan tentang AI bukan sekadar sebagai ancaman daripada teknologi baru, tetapi sebagai cabaran positif.
“Kita melihat AI seperti mana-mana bentuk peningkatan daya penghasilan yang lain – sebagai satu kelebihan.
“Dan cabaran sebenar adalah kita mahu kelebihan itu diagihkan secara saksama kepada seluruh tenaga kerja, dari peringkat atas hingga ke bawah,” jelasnya.
Dalam perbualan bersama pengulas politik dan eksekutif media, Ian Bremmer, pada 20 Januari lalu, beliau berkata cabaran positif yang dimaksudkan ialah tentang bagaimana memaksimumkan modal insan dan membina keupayaan rakyat, demi mencapai kemakmuran menyeluruh.
“Jika kita membina keupayaan rakyat, sesuatu akan membuahkan hasil. Ia akan membuahkan hasil bagi mereka, dan juga bagi seluruh ekonomi anda,” katanya.
Menurutnya, situasi ini akan menjadi cabaran di mana-mana sahaja di dunia dan ia bukan sesuatu yang mudah, kerana ini bermakna melabur dalam lapisan pertengahan tenaga kerja yang besar, iaitu pekerja kolar putih.
Matlamatnya adalah supaya mereka boleh bekerja bersama AI, mencari peranan yang melengkapi AI, atau demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam bidang seperti penjagaan kesihatan.
Sambil berkongsi contoh tentang gerakan nasional SkillsFuture yang diperkenalkan Singapura lebih sedekad lalu bagi usaha menggalak peningkatan kemahiran secara berterusan, Encik Tharman berkata:
“Kami boleh melakukannya dengan baik di Singapura kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada psikologi ekonomi kami.”
Dalam wawancara tersebut, Encik Tharman turut memberi pengamatannya menerusi gambaran lebih besar, di mana beliau mengenal pasti tadbir urus global AI bagi memaksimumkan potensi keuntungan, sambil berjaga-jaga terhadap risiko paling buruknya sebagai bidang di mana dunia paling kurang bersedia.
Antara risiko yang disentuh termasuk kemungkinan berlakunya peperangan nuklear pacuan AI, penyebaran maklumat salah yang tidak terkawal, serta peperangan siber yang dicetuskan individu atau kumpulan berpengaruh, seperti pertubuhan bukan pemerintah (NGO), pihak korporat, atau kumpulan bersenjata, yang mempengaruhi hal ehwal sejagat tetapi bukan sebahagian daripada mana-mana pemerintah.
Beliau menambah perlu ada anjakan minda antara pemain sektor swasta terkemuka dengan pihak pemerintah dalam memikirkan tentang siapa yang bakal memenangi perlumbaan AI.
“Tiada satu-satunya perlumbaan AI. Terdapat beberapa perlumbaan AI,” katanya.
Beliau merujuk pada penyelidikan asas, pelaksanaan AI merentas pelbagai domain daripada penjagaan kesihatan hingga robotik, serta set teknologi siapa yang mendapat sokongan daripada pelbagai negara.
Baginya, adalah tidak mungkin Amerika Syarikat atau China akan memenangi keseluruhan perlumbaan AI, dan perkara itu seharusnya mendorong mereka untuk mencari kerangka kerja untuk bersaing sambil mencari hasil yang membawa pada situasi sama-sama menang dalam bidang seperti penemuan ubat-ubatan.
Encik Tharman turut menarik perhatian bahawa pemimpin Amerika dan China sebelum ini telah bersetuju bahawa manusia, bukannya AI, yang harus mengawal senjata nuklear.
Dalam pertemuan mereka di Korea Selatan pada 30 Oktober 2025, Presiden Amerika, Encik Donald Trump dan Presiden China, Encik Xi Jinping bersetuju, secara prinsip, untuk melanjutkan rundingan mengenai AI.
“Adalah tidak mustahil bagi Amerika dan China untuk mencapai satu bentuk persefahaman, di mana mereka akan terus bersaing sengit dalam bidang ekonomi, termasuk dalam AI, sambil mengamalkan sikap menahan diri dalam bidang-bidang lain, malahan bekerjasama dalam beberapa lapangan kerana ia akan menjadi kepentingan bersama mereka,” kata Encik Tharman lagi.
Walaupun Amerika dan China memainkan peranan kritikal dalam usaha menolak bahaya terburuk AI sambil bersaing dalam aspek terbaiknya, Encik Tharman berkata negara-negara kecil dan sederhana juga merupakan sebahagian daripada permainan ini.
Beliau memberi contoh persidangan mengenai keselamatan AI yang dianjurkan Singapura pada April 2025, yang telah menghimpunkan lebih 100 saintis dari seluruh dunia, termasuk dari kedua-dua kuasa besar tersebut.
“Malangnya, ia bukan lagi satu perkara yang mudah untuk dilakukan antara kedua-dua negara itu, tetapi ia merupakan peranan yang boleh dimainkan oleh negara-negara kecil dan berkecuali seperti Singapura,” katanya lagi.
Encik Tharman menegaskan bukan hanya negara atau syarikat yang menjalankan penyelidikan AI dan membina produk paling berkuasa yang harus menentukan hala tuju bidang ini.
Sebagai contoh, Eropah mempunyai peranan untuk dimainkan memandangkan ia mempunyai pengaruh sebagai pasaran utama bagi AI, jelas beliau.
Dunia pula perlu melihat setiap bentuk kerjasama global tidak semestinya perlu diterajui oleh pemain tunggal atau kuasa besar, tegas Encik Tharman.
“Mereka harus berada di meja rundingan, tetapi kita semua menyumbang dan kita semua bertindak dalam cara tertentu untuk memastikan benteng keselamatan tersedia.
“Kadangkala, negara-negara yang lebih terdedah kepada risiko adalah yang pertama mahu menetapkan benteng keselamatan, dan akhirnya kuasa-kuasa besar turut serta,” katanya lagi.

