Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman rasmi pameran rai 50 tahun hubungan S’pura-Mexico

Sekitar 80 objek dari koleksi nasional S’pura turut tampil dalam pameran yang sorot laluan dagangan kolonial antara Acapulco dengan Manila dari 1565-1815
Dec 5, 2025 | 3:17 PM
President, Tharman Shanmugaratnam, mexico, singapore
Presiden Tharman Shanmugaratnam merasmikan pameran bersejarah yang meneroka hubungan antara Asia Tenggara dengan Amerika Latin di Mexico City, Mexico, pada 3 Disember. - Foto ST

MEXICO CITY: Sebuah pameran mercu tanda yang meneroka hubungan antara Asia Tenggara dengan Amerika Latin dibuka di Mexico City pada 4 Disember.

Ia dirasmikan semasa lawatan negara bersejarah oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Berdasarkan dua pameran pada 2023 oleh Muzium Tamadun Asia (ACM) dan Galeri Nasional Singapura (NGS) di Singapura, Somos Pacifico, atau We Are The Pacific: A World Born Of The Tropics, menyusun semula cara dunia dilihat dari sudut pandang geografi dan sejarah.

Pameran itu menampilkan lebih 300 objek – termasuk sekitar 80 daripada koleksi nasional Singapura – yang menyorot laluan perdagangan kolonial antara Acapulco di Mexico dengan Manila di Filipina dari 1565 hingga 1815, sebagai asas kepada pembentukan dunia moden.

Ketika Singapura dan Mexico meraikan 50 tahun hubungan diplomatik, para kurator turut menegaskan hubungan antara Asia dengan benua Amerika sebagai satu hubungan kontemporari yang terus berkembang melalui beberapa persamaan dalam seni moden, lapor The Straits Times (ST).

Pameran pelbagai bentuk di Colegio de San Ildefonso, tempat lahir gerakan pelukis mural Mexico yang terkenal di pusat bandar lama itu, merupakan pameran dari Singapura yang paling jauh pernah dipamerkan.

Duta Mexico ke Singapura, Encik Agustin Garcia-Lopez Loaeza, yang lantang menyokong pameran itu, berkata dalam sesi pratonton media (dalam bahasa Sepanyol):

“Kita semua terbentuk hasil daripada perdagangan Acapulco-Manila. Ia menjadi sebahagian penting daripada identiti kita.”

Berikutan pengumuman bahawa Singapura akan membuka kedutaan di Mexico pada 2026, beliau menambah:

“Saya sentiasa percaya diplomasi, khususnya bagi Mexico, hanya berkesan apabila budaya menjadi sebahagian daripadanya.”

Sebahagian besar pameran itu berasaskan pameran ACM pada 2023 oleh pengarahnya, Encik Clement Onn, bertajuk Manila Galleon: From Asia To The Americas, yang menyorot kesan berpanjangan perdagangan kolonial rentas Pasifik yang membentuk gelombang pertama globalisasi.

Para kurator turut menekankan peranan autonomi dua pelabuhan – Acapulco dan Manila – yang secara nominal berada di bawah kawalan empayar Sepanyol, namun memainkan peranan besar dalam perdagangan yang membawa perak (serta nanas, coklat dan cili) ke Asia sebagai pertukaran dengan rempah, sutera dan tembikar.

Pameran itu menumpukan pada hasil penyatuan budaya, dipamerkan melalui objek menarik seperti syiling perak Mexico/Sepanyol yang ditandakan semula oleh pedagang Cina. 

NGS pula menyambung naratif itu ke abad ke-20 dan ke-21 melalui karya seni yang dipamerkan dalam pameran terkenalnya pada 2023, Tropical: Stories From Southeast Asia And Latin America.

Kurator, Cik Teo Hui Min dan Cik Cheng Jia Yun, mengambil peluang memperkenalkan artis Asia Tenggara kepada lebih ramai orang, terutamanya menonjolkan siri Pago Pago karya artis Malaysia, Encik Latiff Mohidin.

Siri Pago Pago oleh artis Malaysia, Encik Latiff Mohidin, di pameran Somos Pacifico.
Siri Pago Pago oleh artis Malaysia, Encik Latiff Mohidin, di pameran Somos Pacifico. - Foto ST

Sepanjang hayatnya, Encik Latiff telah banyak mengembara untuk memahami ‘semangat’ Asia Tenggara, namun pada masa yang sama sangat mengagumi aliran moden Mexico.

Rombongan besar dari Singapura termasuk Tuan Presiden dan isterinya, Puan Jane Ittogi; serta Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo; Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan; Anggota Parlimen (AP), Encik Ang Wei Neng dan Cik Mariam Jaafar; serta wakil politik dan perniagaan lain turut hadir bagi menyaksikan inisiatif penting itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg