Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prihatin nasib pekerja, sedia dengar rintihan, terbuka terima maklum balas

Penghargaan dan sanjungan bagi PM Lee mencurah daripada pemimpin kesatuan dan tokoh sektor pekerja
May 1, 2024 | 7:25 PM
Bakti dan sumbangan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, kepada gerakan pekerja dan para pekerja begitu luas, namun para pemimpin kesatuan turut mengenang sentuhan peribadi beliau yang mencerminkan keprihatinannya yang tulus.
Bakti dan sumbangan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, kepada gerakan pekerja dan para pekerja begitu luas, namun para pemimpin kesatuan turut mengenang sentuhan peribadi beliau yang mencerminkan keprihatinannya yang tulus. - Foto MCI

Peka akan keperluan golongan pekerja dan terbuka kepada maklum balas yang jujur.

Demikian antara ciri keperibadian Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang digambarkan para pemimpin kesatuan yang ditemui Berita Minggu (BM) sedang mereka mengimbau kenangan manis berinteraksi dengan Encik Lee serta bagaimana pemimpin itu sering memperjuangkan kepentingan pekerja.

Kesan Encik Lee ke atas gerakan pekerja jelas terasa sewaktu Rapat Hari Pekerja sedang kira-kira 1,700 pemimpin kesatuan pekerja, rakan kerjasama tiga pihak dan tetamu berhimpun melaungkan sorakan mahupun memberi tepukan gemuruh sehingga bergema Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, tatkala Encik Lee menyampaikan ucaptama Hari Pekerja beliau yang terakhir sebagai Perdana Menteri pada 1 Mei.

Naib Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, berkata beliau akan mengingati Encik Lee sebagai pemimpin yang sentiasa inginkan maklum balas jujur walaupun ia suatu yang sukar didengar.

Naib Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, mengingati Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sebagai seorang pemimpin yang sentiasa inginkan maklum balas jujur.
Naib Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, mengingati Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sebagai seorang pemimpin yang sentiasa inginkan maklum balas jujur. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Menukil satu peristiwa, Encik Samad berkata Encik Lee pernah bertanya anggota kesatuan pekerja tentang keadaan di tempat kerja, dan jawapan yang diberi kepada beliau adalah keadaannya “biasa” dan baik-baik sahaja.

Respons tersebut kemudian mendapat teguran daripada Encik Lee yang sebaliknya berkata beliau inginkan maklum balas lebih terperinci yang menggariskan cabaran yang dihadapi pekerja.

“Kami (anggota kesatuan) tak boleh memberi gambaran tempat kerja itu aman... begitulah betapa prihatinnya PM Lee. Beliau nak tahu apakah masalah dan cabaran yang dihadapi, dan bagaimana pemerintah serta kesatuan pekerja boleh bekerjasama bagi memastikan cabaran tersebut dapat diatasi,” ujarnya.

Seiring itu, Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja ST Engineering (STESU), Encik Sazali Zainal, berkongsi pandangan serupa bahawa Encik Lee bukanlah seorang yang mahukan maklum balas yang manis di luar.

“Beliau mahu mendengar keadaan sebenar. Disebabkan itulah setiap kali beliau berinteraksi dengan kami, beliau mahu ia dilakukan secara terbuka dan inginkan kami berbincang secara jujur dalam menyampaikan apa yang kami lihat dan dengar daripada masyarakat dan pekerja,” ujarnya.

Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja ST Engineering (STESU), Encik Sazali Zainal hargai keperibadian Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang hanya ingin mendengar kebenaran.
Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja ST Engineering (STESU), Encik Sazali Zainal hargai keperibadian Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang hanya ingin mendengar kebenaran. - Foto KELLY HUI

Bahkan, ketika Singapura dilanda pandemik Covid-19, Encik Lee amat prihatin dengan nasib kakitangan dalam sektor penerbangan yang terjejas dan sentiasa bertanya bagaimana pemerintah boleh membantu golongan pekerja tersebut kekal dalam industri itu, tambah Encik Sazali.

Selain melahirkan penghargaan kepada sumbangan besar Encik Lee untuk menaik taraf kedudukan pekerja di Singapura, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata beliau sangat menghargai keperibadian Encik Lee yang sentiasa sedia mendengar walaupun terdapat perbezaan pendapat.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, menghargai keperibadian Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang sentiasa sedia mendengar.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, menghargai keperibadian Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang sentiasa sedia mendengar. - Foto BM oleh KHALID BABA

Encik Zaqy menambah:

“Perdana Menteri begitu sensitif dan mengambil berat mengenai hal dan isu berkaitan bukan sahaja pekerja bergaji rendah malah pekerja Melayu kita yang mungkin terjejas oleh trend terkini dalam perkembangan ekonomi Singapura.

“Kita juga perlu menjamin peluang bagi mereka dan memastikan bagaimana mereka harus meningkatkan kemahiran. Disebabkan itulah Perdana Menteri juga telah memberi sokongan kepada Mendaki dan M³, terutama sekali untuk membantu pekerja kita dan juga pendidikan anak-anak Melayu kita.”

Menyentuh tentang ucaptama Encik Lee pada Rapat Hari Pekerja, presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Dr Robert Yap, tersentuh tatkala mendengar tentang pembangunan kerjasama tiga pihak.

“Apa yang kita ingin pastikan adalah kita akan dapat terus memegang (dasar) tersebut dan membawanya ke masa depan,” ujarnya.

Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Dr Robert Yap, berkata kerjasama sama tiga pihak perlu dikekalkan.
Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Dr Robert Yap, berkata kerjasama sama tiga pihak perlu dikekalkan. - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Beliau menambah beliau yakin kepimpinan yang bakal diterajui Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan terus mendukung ‘formula’ kerjasama tiga pihak di Singapura yang penting demi memastikan kestabilan supaya majikan dapat berkembang maju dan menggajikan lebih ramai pekerja mahupun membayar gaji yang lebih tinggi.

SENSITIF DAN PRIHATIN TENTANG PEKERJA GAJI RENDAH

“Perdana Menteri begitu sensitif dan mengambil berat mengenai hal dan isu berkaitan bukan sahaja pekerja bergaji rendah malah pekerja Melayu kita yang mungkin terjejas oleh trend terkini dalam perkembangan ekonomi Singapura... Disebabkan itulah Perdana Menteri juga telah memberi sokongan kepada Mendaki dan M³, terutama sekali untuk membantu pekerja kita dan juga pendidikan anak-anak Melayu kita.”
Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia).
MAHU TAHU CABARAN SEBENAR YANG DIHADAPI

“Kami (anggota kesatuan) tak boleh memberi gambaran tempat kerja itu aman... begitulah betapa prihatinnya PM Lee. Beliau nak tahu apakah masalah dan cabaran yang dihadapi, dan bagaimana pemerintah serta kesatuan pekerja boleh bekerjasama bagi memastikan cabaran tersebut dapat diatasi.”
Encik Abdul Samad Abdul Wahab, Naib Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
INGIN BINCANG SECARA TERBUKA DAN JUJUR

“Beliau mahu mendengar keadaan sebenar. Disebabkan itulah setiap kali beliau berinteraksi dengan kami, beliau mahu ia dilakukan secara terbuka dan inginkan kami berbincang secara jujur dalam menyampaikan apa yang kami lihat dan dengar daripada masyarakat dan pekerja.” 
 Encik Sazali Zainal, Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja, ST Engineering (STESU).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg