Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prinsip baru dibangun, pastikan pendapatan adil, telus bagi pekerja platform

NTUC, persatuan kerja platform juga pastikan struktur insentif tidak jejas kesihatan, keselamatan pekerja
Sep 11, 2025 | 1:00 PM
ntuc, pekerja platform
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan persatuan kerja platform yang berkaitan dengannya serta syarikat platform telah membangunkan bersama satu set prinsip dalam menetapkan dan menyemak skim pembayaran dan insentif yang adil serta telus untuk pekerja platform. - Foto fail

Satu set prinsip yang akan membimbing syarikat platform dalam menetapkan dan menyemak skim pembayaran dan insentif yang adil dan telus untuk pekerja platform telah dibangunkan dalam usaha memperkukuh perlindungan bagi golongan tersebut.

Ia dibangunkan bersama oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan persatuan kerja platform yang berkaitan dengannya bersama syarikat platform sebagai respons kepada saranan yang dikemukakan oleh Kumpulan Tiga Pihak Pekerja Platform pada 11 September.

Kumpulan tiga pihak itu – terdiri daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pengangkutan (MOT), Grab Singapore dan NTUC – telah mengemukakan 10 saranan demi melindungi mata pencarian, keselamatan dan kesejahteraan pekerja platform.

Ini termasuk bagi syarikat platform dan persatuan kerja platform bekerjasama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja platform, serta skim pembayaran dan insentif yang lebih adil untuk mereka.

Selain memastikan pendapatan adil dan telus, prinsip itu turut meliputi dua bidang lain – menggalak syarikat platform mendekati persatuan kerja platform apabila terdapat perubahan struktur kepada skim insentif yang boleh menjejas pendapatan pekerja dan memastikan struktur insentif mereka tidak menjejas kesihatan dan keselamatan pekerja.

NTUC dalam kenyataannya pada 11 September berkata prinsip tersebut dibangunkan bagi menangani cabaran yang dihadapi pekerja platform, “termasuk keinginan bagi ketelusan lebih luas dalam komponen pendapatan dan skim insentif yang membawa kepada waktu kerja yang panjang”.

“Prinsip tersebut akan membimbing syarikat platform apabila menetapkan dan menyemak pembayaran dan insentif mereka, serta membimbing dan menyokong perbincangan dua hala untuk mempertingkat keadaan kerja bagi pekerja platform,” kata NTUC.

Prinsip tersebut tidak mempunyai kuasa undang-undang dan juga bukan tataamalan.

Namun, apabila sebuah persatuan kerja platform secara rasmi diiktiraf syarikat platform, proses hubungan perindustrian di bawah Akta Pekerja Platform akan dipatuhi, tambahnya.

Mengulas lanjut semasa sidang media mengenai saranan oleh Kumpulan Tiga Pihak Pekerja Platform pada 11 September, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata syarikat platform, termasuk Grab dan persatuan kerja platform telah menerima prinsip yang dibangunkan itu.

“Ini menetapkan garis dasar bagi kami memperincikan semua perjanjian kolektif berbeza yang telah dilaksanakan untuk menjaga kebajikan pekerja, sama ada isu kadar asas (pendapatan), isu ketelusan pendapatan, skim insentif dan semua perkara yang dibincangkan.

“Ini akan terbentuk dalam pusingan kerja seterusnya yang perlu kita lakukan secara dua hala dengan syarikat platform demi memastikan kedua-dua pihak berpuas hati dengan perjanjian dan hasil yang dirundingkan,” kata beliau.

Pengarah Urusan Operasi Kumpulan, Grab, Encik Yee Wee Tang, berkata pihaknya sedang meneliti cara menjelaskan pendapatan pekerja platform dengan lebih baik melalui aplikasi pemandu, dan akan secara proaktif mendekati persatuan kerja platform mengenai perubahan besar kepada skim insentif.

Grab juga akan memastikan skim insentifnya tidak menggalak pekerja bekerja berlebihan.

“Kami akan terus memantau waktu kerja dalam talian rakan pekerja kami dan menyesuaikan program insentif kami jika perlu.

“Lebih penting, kami juga akan melabur dalam ciri produktiviti untuk menyokong pekerja platform mencapai matlamat pendapatan mereka dengan lebih cepat,” kata beliau.

Sementara itu, foodpanda dalam kenyataannya berkata mereka mengiktiraf pampasan yang adil dan selamat untuk pekerja, dengan struktur pembayaran mereka dikongsi secara awam di laman pandarider mereka.

Selain itu, ia menambah bahawa semua maklumat terkini, termasuk insentif atau perubahan kepada pembayaran, disampaikan dengan jelas merentasi pelbagai saluran.

“Kami kekal komited dalam menegakkan prinsip ini sambil mengekalkan fleksibiliti dan kemampanan operasi,” kata foodpanda.

Selain membangunkan set prinsip bagi isu berkaitan pembayaran dan insentif, Kumpulan Tiga Pihak Pekerja Platform juga telah menyarankan bagi syarikat platform dan persatuan kerja platform bekerjasama untuk mengenal pasti maklumat utama demi menangani keprihatinan pekerja mengenai ketidaktentuan pendapatan.

Antara lain, syarikat platform penghantaran makanan yang mendapatkan pekerja daripada sumber luar juga disarankan memberikan kejelasan dan jaminan kepada pekerja platform mengenai amalan penyumberan luar mereka.

SEKILAS SARANAN OLEH KUMPULAN TIGA PIHAK PEKERJA PLATFORM

1. Hukuman lebih tegas, penguatkuasaan diperkukuh

– Salah guna akaun platform – pekerja platform boleh disekat daripada bekerja untuk semua syarikat platform bagi sekurang-kurangnya 24 bulan, contohnya, jika dia didapati subahat dengan warga asing untuk kerja secara haram guna akaun miliknya

– Hukuman lebih berat – denda akan dinaikkan untuk cegah khidmat pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) yang haram

– Hentikan pemadanan perjalanan yang dilakukan secara haram – kerjasama dengan platform dalam talian untuk padam aplikasi, saluran, dan iklan khidmat P2P tiada lesen; bolehkan pemerintah sekat, padamkan kandungan sedemikian pada platform yang enggan kerjasama

– Pemeriksaan dipertingkat – lakukan verifikasi identiti pekerja secara kerap, rambang

2. Pertingkat kesedaran

– Tingkat kesedaran awam – didik pengguna tentang risiko, bahaya khidmat P2P yang disedia secara haram, tidak berlesen

– Saluran laporan khusus – 1) laman oneMotoring LTA untuk lapor kereta asing yang tawar khidmat sewa privet secara haram; 2) laman ‘Report an Infringement’ MOM untuk lapor warga asing lakukan kerja penghantaran platform secara haram

3. Tugas lebih adil, selamat dengan kerjasama syarikat platform, persatuan kerja

– Amalan kerja adil – tetapkan prinsip seluruh industri mengenai bayaran dan insentif

– Ketelusan dan dialog – kenal pasti maklumat utama untuk tangani isu keprihatinan tentang ketidaktentuan gaji, adakan perbincangan kerap

– Kesihatan dan keselamatan – galak pekerja utamakan keselamatan, kesejahteraan semasa bekerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg