Pemandu teksi, khususnya mereka yang menawarkan operasi rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia, dan juga pekerja platform, telah menyaksikan peningkatan dalam pendapatan mereka.
Ini menyusuli tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap kegiatan haram, kata Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng.
Ia termasuk isu warga asing yang melakukan pekerjaan penghantaran secara haram di sini.
Bercakap dengan media selepas satu sesi mendekati pekerja platform di Kelab Masyarakat Fernvale pada 26 Ogos, Encik Ng berkata pemandu teksi yang mengendalikan khidmat rentas sempadan telah melaporkan pendapatan mereka naik sehingga 30 peratus.
Sementara itu, pekerja platform pula menyatakan pendapatan mereka meningkat sehingga 15 peratus.
Ini memberi manfaat khususnya kepada pemandu kenderaan premium dan lebih besar, yang beroperasi di lokasi seperti Gardens by the Bay dan Lapangan Terbang Changi.
Pada Julai, satu kumpulan kerja terdiri daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Grab Singapore telah dibentuk untuk bekerjasama dengan NTUC dan persatuan berkaitan dengannya bagi menangani isu yang menjejas pekerja platform.
Ia termasuk isu warga asing yang melakukan pekerjaan penghantaran secara haram di Singapura.
Sejak itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil, termasuk penangkapan tiga warga asing yang bertugas sebagai pekerja platform atau menjalankan pengiriman secara haram pada Ogos.
Dalam pada itu, MOM pada 20 Ogos berkata orang awam tidak lama lagi akan lebih mudah melaporkan pekerja asing yang melakukan kerja penghantaran secara haram di sini melalui satu ‘tab’ khusus di laman web mereka.
Operasi penguatkuasaan terhadap pemandu yang menawarkan khidmat rentas sempadan secara haram juga telah dijalankan, dengan lebih 70 kenderaan disita dan siasatan sedang dijalankan.
Encik Ng berkata:
“Ini bermakna terdapat kesan pencegahan. Kegiatan haram yang mana pemandu atau pekerja asing beroperasi di Singapura telah berkurangan, namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diusahakan.
“Ramai pemandu dan pekerja platform masih mahukan sistem insentif dan harga yang lebih telus.
“Ini adalah tugas yang mana persatuan kami akan bekerjasama dengan syarikat seperti Grab dan foodpanda, untuk memastikan terdapat peluang dan hasil yang adil untuk kedua-dua perniagaan dan juga kesatuan.”
Lebih 60 pekerja penghantaran platform, pemandu kereta sewa privet (PHV) dan pemandu teksi menyertai sesi bersama Encik Ng itu, bagi berkongsi keprihatinan mereka mengenai isu yang dihadapi dalam pekerjaan seharian.
Antara mereka ialah Encik Mohammad Shaffiee Abdullah, seorang pekerja penghantaran platform berusia 45 tahun, yang antara lain, berkata beliau dapat rasakan kesan positif hasil tindakan penguatkuasaan yang telah diambil bagi mengekang masalah warga asing melakukan kerja penghantaran secara haram di sini.
“Kalau dibandingkan masa dulu, ada banyak sangat masa lapang tanpa ‘order’ (tempahan penumpang). Terbuang masa saya di luarlah. Di luar waktu sibuk dulu, kadangkala dalam satu jam cuma dapat dua tugas saja.
“Selepas penguatkuasaan dilakukan, tugas saya bertambah. Dalam satu jam, saya boleh dapat ‘order’ dua kali ganda,” kata beliau.
Bagi pekerja penghantaran platform, Encik Muhammad Khairil Sapuan, 33 tahun, beliau mahukan ketelusan dalam cara syarikat platform mengira harga tugas yang diberi.
Beliau berkata “penting untuk menunjukkan bagaimana harga sekian diperolehi syarikat platform, sama ada ia dikira berdasarkan jarak, pesanan atau perkara lain”.
Encik Ng berkata semua syarikat platform harus memberikan maklumat jelas mengenai komponen pendapatan supaya pekerja boleh membuat keputusan wajar mengenai waktu kerja dan potensi pendapatan mereka.
“NTUC akan bekerjasama dengan persatuan yang berkaitan… untuk berbincang tentang isu-isu utama bersama syarikat platform agar kedua-dua syarikat dan pekerja meraih manfaat dengan mata pencarian lebih mampan, dan kebajikan serta prospek kerja lebih baik,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg