Dalam lawatan hujung minggu pertama sejak Parti Pekerja (WP) mengumumkan selesainya siasatan disiplin terhadap ketuanya, Encik Pritam Singh, para Anggota Parlimen (AP) WP dan anggota WP dilihat beramah mesra dengan penduduk di Fengshan Centre bersama Encik Pritam pada pagi 12 April.

Berseragam biru, kumpulan yang terdiri daripada sekitar 40 orang itu berpecah di sekitar pusat penjaja dan pasar yang sibuk di GRC East Coast, sambil bersalaman dengan penduduk yang sedang bersarapan dan berbelanja.

Spekulasi mengenai Encik Pritam semakin memuncak sejak parti itu mengumumkan pada 4 April bahawa panel disiplin telah selesai menjalankan siasatannya.

Panel tersebut ditubuhkan bagi meneliti sama ada beliau telah melanggar Perlembagaan WP selepas disabitkan kesalahan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).

Panel tersebut, yang terdiri daripada AP GRC Sengkang – Cik He Ting Ru dan Profesor Madya Jamus Lim – serta mantan AP Hougang, Encik Png Eng Huat, perlu membentangkan laporan akhir serta usulan mereka kepada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti pada April.

Ketiga-tiga ahli panel tersebut tidak kelihatan pada lawatan 12 April.

Semasa lawatan tersebut, Encik Pritam enggan mengulas kepada The Straits Times (ST) mengenai proses disiplin berkenaan.

Pengerusi parti, Cik Sylvia Lim, memberitahu ST bahawa parti akan memberi perkembangan terkini apabila maklumat tersedia. 

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai langkah parti yang seterusnya.

Antara AP WP lain yang turut hadir ialah Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Dennis Tan, Cik Eileen Chong, Encik Fadli Fawzi, Encik Gerald Giam dan Encik Kenneth Tiong.

Hasil dapatan siasatan tersebut dijangka memberi kesan kepada masa depan politik Encik Pritam.

Dapatan serta usulan tersebut kemungkinan besar akan dibawa ke CEC parti – iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti – untuk undian, berdasarkan prosiding disiplin sebelum ini.

Pada 2021, selepas AP GRC Sengkang ketika itu, Cik Raeesah Khan, berbohong di Parlimen mengenai anekdot berkaitan layanan polis terhadap seorang mangsa serangan seksual, CEC telah mengundi untuk menyingkirkan beliau sekiranya beliau tidak meletak jawatan.

Manakala pada 2012, CEC telah mengundi untuk memecat AP Hougang ketika itu, Encik Yaw Shin Leong, selepas beliau gagal menjawab soalan parti mengenai dakwaan salah laku peribadi.

Panel disiplin yang meneliti kes Encik Pritam telah ditubuhkan oleh CEC pada Januari – sebulan selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadap ketua WP itu kerana berbohong kepada COP.

Mahkamah mendapati bahawa Encik Pritam telah membimbing Cik Raeesah untuk terus berbohong di Parlimen.

Ia turut mendapati Encik Pritam telah berbohong kepada COP mengenai arahannya kepada Cik Raeesah untuk berterus-terang.

Apabila penubuhan panel disiplin itu diumumkan pada 3 Januari, WP berkata CEC telah menetapkan agar proses disiplin tersebut diselesaikan dalam masa tiga bulan bagi mengelakkan sebarang kelewatan.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, parti tersebut mengundang para anggotanya bagi mengutarakan pandangan mereka mengenai perkara itu.

Meskipun WP tidak mendedahkan terma rujukan bagi panel disiplin itu, ahli parti yang hadir dalam sesi maklum balas berkata panel tersebut bertanya sama ada Encik Pritam telah melanggar Fasal 30 Perlembagaan parti.

Di bawah fasal tersebut, ahli parti yang dicalonkan sebagai calon pilihan raya mestilah “mematuhi disiplin parti dalam keputusan dasar utama, serta bersikap jujur dan telus dalam semua urusan dengan parti dan rakyat Singapura”.