Naib Pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap, dipindahkan dari GRC Aljunied ke Tampines selepas perubahan saat akhir oleh ketua parti, Encik Pritam Singh, terhadap pasukan yang akan berdepan dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang baru.
Pasukan PAP, yang juga mengemukakan kertas pencalonan mereka di Sekolah Poi Ching di Tampines pada 23 April bagi GRC Aljunied terdiri daripada calon kali kedua, Cik Chan Hui Yuh, 48 tahun; bersama doktor gigi, Dr Faisal Abdul Aziz, 37 tahun; pengarah syarikat, Encik Adrian Ang, 42 tahun; ketua perunding perancangan bandar, Encik Daniel Liu, 40 tahun; dan penggerak kesatuan, Encik Jagathishwaran Rajo, 37 tahun.
Barisan WP yang dikemas kini di GRC Aljunied diketuai Encik Pritam Singh, 48 tahun, bersama Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, 60 tahun; Encik Gerald Giam, 47 tahun; muka baru, Encik Kenneth Tiong, 36 tahun; dan Encik Fadli Fawzi, 44 tahun, yang telah bertanding di GRC Marine Parade di bawah WP pada 2020.
PAP berusaha merampas GRC Aljunied daripada tangan WP, yang telah menguasai GRC tersebut sejak 2011, lapor The Straits Times.
Di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang, yang dipegang oleh WP sejak 1991, penyandang WP, Anggota Parlimen (AP) Encik Dennis Tan, 54 tahun, seorang peguam maritim, akan berdepan dengan calon baru PAP, peguam Encik Marshall Lim, 38 tahun.
Calon-calon itu muncul sambil tersenyum lebar kepada para penyokong yang menyokong mereka di Sekolah Poi Ching, yang menjadi pusat pencalonan bagi GRC Aljunied, SMC Hougang, GRC Tampines dan SMC Tampines Changkat.
WP tidak mengumumkan keseluruhan calon bagi GRC Aljunied sebelum Hari Penamaan Calon.
Ia hanya mengesahkan bahawa Encik Tiong, seorang pengarah di syarikat pemula teknologi Sensemake AI, akan bertanding di kawasan Serangoon dalam GRC tersebut.
Encik Tiong, yang diperkenalkan sebagai calon dalam satu sidang media pada 18 April, menyatakan jika dipilih, beliau merancang memperjuangkan keselamatan ekonomi yang lebih kukuh serta asas keluarga yang teguh.
Pasukan lima anggota PAP bagi Aljunied diketuai oleh Cik Chan, seorang pengarah pemasaran yang telah mengetuai cawangan PAP Serangoon sejak 2014 dan merupakan satu-satunya anggota yang tinggal daripada pasukan PAP pada 2020.
Empat lagi calon adalah muka baru, namun telah terlibat dalam kerja parti selama sekurang-kurangnya 10 tahun.
Dalam pilihan raya semasa pandemik Covid-19 pada 2020 (GE2020), WP berjaya meningkatkan sokongan hampir 10 peratus dan memenangi GRC Aljunied dengan 59.95 peratus undi.
Sempadan bagi GRC Aljunied hampir tidak berubah dalam pilihan raya kali ini, walaupun tiga daerah mengundi di Tampines West – terdiri daripada 3,834 pengundi – telah dipindahkan ke GRC Tampines yang dipegang PAP.
Sehingga 1 Februari, GRC Aljunied mempunyai 144,032 pengundi berdaftar.
GRC itu merupakan yang pertama dimenangi parti pembangkang sejak sistem GRC diperkenalkan pada 1988 – satu pencapaian penting dalam sejarah politik Singapura.
Pasukan WP yang diketuai ketua parti ketika itu, Encik Low Thia Khiang, memperoleh 54.72 peratus undi pada 2011.
Hougang telah menjadi kubu kuat WP sejak 1991 apabila Encik Low merampas kawasan tersebut daripada PAP dengan 52.82 peratus undi.
Pada 2020, Encik Tan memenangi kerusi tunggal itu dengan 61.2 peratus undi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg