Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam: Kemantapan semak, imbang kian kritikal dalam sistem politik

Dec 31, 2025 | 6:08 PM
pritam singh, WP, amanat tahun baru
Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung, Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh. - Foto ST

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh berkata pentingnya semak dan imbang yang mantap kian kritikal pada masa ini.

Dalam Amanat Tahun Barunya pada 31 Disember, Ketua Pembangkang itu berkata sistem politik yang seimbang bukanlah satu kemewahan, malah satu keperluan untuk negara yang stabil dan berdaya tahan.

“Kami percaya keselamatan sebenar wujud dalam masyarakat yang mempercayai rakyatnya dengan maklumat yang sahih dan dialog yang jujur.

“Kami akan terus menyeru perlindungan institusi, seperti Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk setiap kementerian dan Akta Kebebasan Maklumat, bagi memastikan tadbir urus negara kita kekal telus dan bertanggungjawab kepada rakyat,” kata Encik Pritam.

Beliau turut memberi jaminan partinya akan terus mempertahankan hak pekerja dan semua rakyat Singapura.

Dalam era gangguan yang belum pernah terjadi sebelum ini, Encik Pritam berkata “pemerintah bukan sahaja mesti cekap tetapi juga adil”.

Beliau memetik bagaimana kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) telah mengubah tempat kerja dan ini boleh membawa peluang dan risiko kehilangan kerja buat ramai kakitangan.

“Pekerja dan keluarga di Singapura berdepan dengan isu kos sara hidup Singapura, keadaan pekerjaan yang tidak terjamin dan realiti sosial yang memerlukan dasar penuh empati.

“Tiada kampung halaman untuk rakyat Singapura pulang bersara atau memperlahankan rentak kehidupan,” tambahnya.

Dalam amanatnya juga, Encik Pritam mengimbau kembali rekod Parlimen partinya pada 2025, susulan pembukaan Parlimen ke-15 pada September.

Ini termasuk persoalan antara lain berkaitan ekonomi, pendidikan, sokongan sosial, prasekolah dan perumahan, yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen (AP) WP.

“Sebagai Ketua Pembangkang, saya menekankan bahawa mempersoalkan pemerintah merupakan ciri penting sistem kita yang direka untuk memastikan keputusan yang lebih baik untuk semua.

“Ini termasuk menyeru ketelusan susulan rentetan gangguan kereta api yang menjejas begitu ramai penumpang,” katanya.

Mengimbau kembali Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Encik Pritam berkata ia adalah “detik penentu bagi demokrasi kita” kerana ia mengukuhkan kepentingan kepelbagaian politik.

Ia juga mengukuhkan keperluan pembangkang dalam menawarkan idea berbeza dan bertindak menjalankan pemeriksaan secara membina terhadap pemerintah bagi membawa negara ke hadapan, katanya.

Menurutnya, walaupun WP mengekalkan kemenangannya di GRC Aljunied, GRC Sengkang dan Hougang, Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah meraih kemenangan ketara di kawasan lain.

“Fakta ini sahaja menjelaskan betapa sukarnya politik pembangkang di Singapura dan akan terus (menjadi sukar) pada masa hadapan,” ujar Encik Pritam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg