Parti Pekerja (WP) mahu mempersiapkan diri untuk menggantikan pemerintah jika Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengalami “kerosakan besar”, kata Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh.
“Kami mahu berada dalam kedudukan di mana kami boleh berkata: ‘Kami bersedia kerana kami mempunyai pengalaman bertahun-tahun’,” tambahnya.
Beliau menganggap ini sebagai “insurans yang baik untuk Singapura” dan berkata walaupun tidak mengharapkan dirinya atau rakan-rakannya berada dalam kedudukan itu, mereka mahu memastikan parti mereka bersedia, lapor The Straits Times (ST).
Encik Pritam, yang membuat penampilan pertama dalam podcast politik Malaysia, Keluar Sekejap, menjawab soalan daripada mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin, mengenai kemungkinan Singapura tanpa PAP.
Podcast itu dihoskan oleh Encik Khairy dan mantan ketua penerangan Umno, Encik Shahril Hamdan.
Dalam sesi hampir dua jam yang dimuat naik ke YouTube pada 24 Jun, Encik Pritam turut berkata beliau tidak berminat untuk menjadi Perdana Menteri Singapura.
“Peranan saya adalah untuk menjadikan kewujudan pembangkang sesuatu yang biasa di Singapura,” katanya.
Beliau berharap dapat menarik lebih ramai individu berfikiran sama untuk mencapai sistem demokrasi Parlimen yang “berfungsi dan berkesan”.
Kenyataan beliau – yang dirakam semasa bercuti bersama keluarga di Malaysia – dibuat kira-kira dua bulan selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang berlangsung pada 3 Mei lalu.
Dalam pilihan raya itu, WP mengekalkan 10 kerusi di Aljunied, Hougang dan Sengkang, serta memperoleh dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) di GRC Jalan Kayu dan Tampines.
Dalam podcast itu, Encik Pritam menegaskan peranan WP sebagai semak dan imbang kepada pemerintah, mengikut kehendak pengundi Singapura hari ini.
Beliau menjawab komen Encik Khairy yang menyatakan strategi WP dalam pilihan raya menunjukkan “kurangnya cita-cita”, seperti tidak bertanding di luar “kubu kuat” GRC Aljunied yang dimenangi sejak 2011.
Encik Khairy juga bertanya jika parti itu harus mengubah matlamat jangka sederhana Encik Pritam yang ditetapkan pada 2019 untuk bertanding dan memenangi satu pertiga kerusi di Parlimen.
Encik Pritam berkata beliau perlu memahami apa yang diinginkan rakyat Singapura dan bagaimana mereka bertindak balas terhadap bahasa yang mencerminkan cita-cita politik.
“Saya mesti memahami denyut nadi rakyat... Jika bahasa itu tidak seiring dengan pemahaman umum mereka tentang apa yang mereka mahu daripada politik, maka cita-cita itu boleh menjadi ‘hukuman mati’ untuk mana-mana ahli politik di Singapura,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa strategi parti ditentukan oleh kepekaannya terhadap kehendak rakyat.
Jika rakyat mahukan sesuatu yang berbeza, parti harus peka kerana “politik yang berisiko tidak berfungsi dengan baik di Singapura”.
WP telah melakukan “perubahan strategi menyeluruh” berbanding GE2020, terutama di GRC Tampines dan Punggol serta SMC Jalan Kayu, di mana mereka mengemukakan kes yang kukuh walaupun kalah tipis.
Encik Pritam turut menegaskan bahawa sebahagian besar kerja parti dilakukan untuk membawa suara rakyat yang tidak didengari ke Parlimen, bukan untuk menyampaikan visi yang berbeza secara radikal mengenai Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg