Parti Pekerja (WP) telah menjelaskan pendiriannya semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bahawa ia menolak sebarang percubaan campur tangan asing dan mencampuradukkan kaum dan agama dengan politik, kata Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh.
Bagaimanapun, beliau mengakui kenyataan WP mengenai guru agama warga Singapura, Encik Noor Deros, yang berpangkalan di Malaysia, semasa GE2025 mungkin boleh dinyatakan dengan lebih jelas.
“Kami telah menyatakan pandangan kami agak jelas mengenai campur tangan asing. Saya difahamkan menteri mengatakan bahawa... kenyataan mengenai Noor Deros mungkin boleh lebih jelas. Saya menerimanya.
“Saya rasa kita boleh membuat perkara tertentu dengan sangat jelas,” kata Encik Pritam, yang juga Setiausaha Agung WP.
Beliau berkata demikian dalam responsnya kepada kenyataan menteri pada 14 Oktober di Parlimen, yang disampaikan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.
Encik Shanmugam menimbulkan keprihatinan terhadap WP kerana kelewatan kenyataan parti itu dan kandungan kenyataan tidak jelas mengenai Encik Noor Deros.
Menurut Encik Shanmugam, WP tidak secara mutlak menolak seruan Encik Noor Deros kepada masyarakat Melayu/Islam supaya mengundi mengikut garis kaum dan agama, serta tidak menolak sokongan Encik Noor Deros terhadap calonnya di Tampines, Encik Faisal Manap.
Dalam responsnya, Encik Pritam berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan Encik Shanmugam bahawa WP “mengambil masa terlalu lama” untuk mengeluarkan kenyataannya, atau bahawa WP “tidak mengambil serius isu ini”.
Mengenai isu kelewatan kenyataan WP, beliau berkata parti itu mengeluarkan kenyataannya semalaman selepas Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengeluarkan kenyataannya pada 10 malam 25 April, dan WP juga telah bercakap kepada media pada 11.30 pagi 26 April.
“(Kenyataan itu) agak jelas dalam pemahaman saya, apabila perkara itu menjadi tajuk utama di rapat pilihan raya Tampines, saya rasa ia sangat jelas bahawa pendirian kami mengenai pencampuran kaum atau agama dalam politik.
“Jika seseorang datang, dan berkata ‘Saya dari kaum tertentu, dan Parti Pekerja harus menyokong kami kerana kami mengambil hujah politik identiti tertentu ke hadapan’, kami akan menolaknya sebagaimana yang kami perlu,” kata Encik Pritam.
Menurutnya, beliau tidak tahu siapa Encik Noor Deros sebelum pilihan raya, dan “kesan Streisand” adalah salah satu faktor yang dipertimbangkan oleh WP dalam menangani komen Encik Noor Deros.
“Kesan Streisand” merujuk kepada fenomena terdapat percubaan menyekat atau menyembunyikan maklumat mempunyai akibat yang tidak diingini dan menarik lebih banyak perhatian orang ramai kepadanya
Semasa jawapannya kepada Encik Shanmugam, Encik Pritam mengulangi kenyataan beliau semasa wawancara dengan media pada 26 April, sehari selepas MHA dan ELD mengeluarkan kenyataan mereka.
Beliau mengulangi: “Arena politik kita adalah untuk rakyat kita.
“Kami telah meyakinkan rakyat Singapura tentang saranan nilai kami, dan kami menggesa semua rakyat Singapura, tanpa mengira kaum, bahasa atau agama, untuk menilai kami berdasarkan manifesto dan cadangan kami serta apa yang kami lakukan di Parlimen untuk semua rakyat Singapura, bukan masyarakat tertentu sahaja.
“Saya rasa sekiranya kita mengambil haluan itu, kita akan menyaksikan pempolitikan ruang awam yang tidak perlu dan kita tidak mahu itu berlaku.
“Itu tidak sihat untuk Singapura dan itu tidak sihat untuk masyarakat minoriti juga.”
“
“Kami telah menyatakan pandangan kami agak jelas mengenai campur tangan asing. Saya difahamkan menteri mengatakan bahawa... kenyataan mengenai Noor Deros mungkin boleh lebih jelas. Saya menerimanya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg