Pritam pindah tempat duduk di Parlimen selepas dilucut jawatan Ketua Pembangkang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam pindah tempat duduk di Parlimen selepas dilucut jawatan Ketua Pembangkang

Feb 3, 2026 | 2:38 PM

Pritam pindah tempat duduk di Parlimen selepas dilucut jawatan Ketua Pembangkang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pritam, pindah, tempat, duduk
Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (dua dari kanan), kini duduk di sebelah kiri Timbalan Speaker Parlimen, Encik Xie Yao Quan. - Foto MDDI

Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, tidak akan duduk bertentangan di depan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyusuli pelucutan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang (LO).

Susunan tempat duduk terkini yang dimuat naik di laman web Parlimen pada 3 Februari menunjukkan bahawa Timbalan Speaker Parlimen, Encik Christopher de Souza, kini akan mengambil alih tempat duduk bertentangan Encik Wong.

Encik de Souza akan diapit dua Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), iaitu Encik Xie Yao Quan dan Encik Vikram Nair, yang masing-masing merupakan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC).

Manakala, Encik Pritam akan duduk di sebelah kiri Encik Xie, yang juga merupakan Timbalan Speaker Parlimen, serta bertentangan dengan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

Susunan tempat duduk dikemas kini sekitar 10.30 pagi pada 3 Februari, sebelum Parlimen bersidang.

Apabila Parlimen bersidang pada tengah hari, Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, berkata beliau telah menerima surat daripada Encik Wong yang mengesahkan secara rasmi bahawa pelantikan Encik Pritam sebagai LO telah berakhir pada 15 Januari.

Encik Wong telah melucutkan Encik Pritam daripada jawatan LO pada 15 Januari, sehari selepas Parlimen mengundi untuk menyatakan ketidaksesuaian Ketua WP itu memegang jawatan tersebut.

Encik Pritam sebelum ini disabitkan dua tuduhan berbohong di bawah sumpah mengikut Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa) pada Februari 2025, berkaitan pembohongan bekas AP WP, Cik Raeesah Khan, di Parlimen pada 2021.

Encik Pritam didenda maksimum $7,000 bagi setiap tuduhan, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Tinggi semasa rayuan Encik Pritam pada Disember 2025.

Pada 14 Januari, Parlimen meluluskan satu usul yang dibentangkan Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, yang menyatakan bahawa tingkah laku Encik Pritam dan sabitan mahkamahnya menunjukkan bahawa dia tidak memenuhi keperluan dan piawaian sebagai LO.

Encik Pritam merupakan LO pertama yang dilantik secara rasmi di Singapura.

Pada 2020, Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, membuat pelantikan tersebut selepas WP memenangi 10 kerusi pada Pilihan Raya Umum (GE) pada tahun tersebut.

Semasa berucap di Dewan pada September 2020, Encik Lee berkata LO akan mengambil tempat duduk di bangku depan bertentangan dengan Perdana Menteri bagi mencabar pemerintah dan membantu pemerintah melaksanakan peranannya dengan lebih baik.

Menyusuli GE2025, Encik Wong telah melantik semula Encik Pritam sebagai LO.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg