Ketua Pembangkang yang juga ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, membuat permohonan pada 26 Ogos bagi memindahkan perbicaraan akan datang beliau ke Mahkamah Tinggi, sambil memetik kes mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran.
Encik Pritam, 48 tahun, menghadapi dua tuduhan berbohong kepada sebuah jawatankuasa parlimen yang dibentuk pada November 2021 untuk meneliti kontroversi pembohongan yang melibatkan mantan Anggota Parlimen (AP) daripada partinya, Cik Raeesah Khan.
Satu perbicaraan selama 16 hari di Mahkamah Negara telah dijadualkan berlangsung antara 14 Oktober dengan 13 November.
Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan dijadualkan mempengerusikan perbicaraan itu.
Pada 26 Ogos, peguam Encik Pritam, Encik Andre Jumabhoy, membuat hujahan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Hoo Sheau Peng dalam usaha memindahkan kes anak guamnya itu kepada Mahkamah Tinggi, lapor The Straits Times.
Beliau berhujah adalah “wajar untuk tujuan keadilan” bagi kes anak guamnya didengar oleh Mahkamah Tinggi.
Encik Jumabhoy merujuk kepada kes Iswaran, yang perbicaraannya dipindahkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi atas permohonan pihak pendakwa.
Iswaran, 62 tahun, menghadapi 35 tuduhan berhubung urusannya dengan hartawan hotel dan hartanah Ong Beng Seng, dan pengarah urusan Lum Chang Holdings, David Lum.
Dua tuduhan itu adalah bagi rasuah melibatkan sekitar $166,000.
Lagi 32 tuduhan adalah kerana memperoleh barangan bernilai lebih $237,000 sebagai penjawat awam, manakala satu adalah kerana menghalang perjalanan keadilan.
Menurut Encik Jumabhoy, perkara utama yang dipertimbangkan pihak pendakwa dalam meminta hakim Mahkamah Tinggi mendengar kes Iswaran ialah dia didakwa di bawah seksyen yang berkait dengan kumpulan individu tertentu.
Oleh itu, keputusan dalam kes tersebut akan memberi kesan kepada orang lain.
“Kami berpendapat hujahan yang sama terpakai untuk kami,” kata Encik Jumabhoy.
Peguam itu berhujah bahawa Akta Parlimen (Hak Istimewa, Imuniti dan Kuasa) melangkaui Encik Pritam dan terpakai kepada sekumpulan orang tertentu, iaitu AP, dan kes itu “lebih memberi kesan daripada kes Iswaran”.
Encik Jumabhoy menyatakan bahawa ini adalah pendakwaan pertama seumpamanya dan hakim Mahkamah Tinggi adalah lebih baik untuk mendengar perkara itu, walaupun beliau menekankan bahawa ini bukan satu kritikan terhadap Mahkamah Negara.
Memberi respons, Timbalan Peguam Negara Ang Cheng Hock berkata dua kes itu tidak boleh dibandingkan.
Encik Ang berkata terdapat kepentingan awam yang kukuh bagi kes Iswaran kerana beliau menghadapi pelbagai tuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang menjadikan ia kesalahan bagi penjawat awam memperoleh barangan, sama ada secara percuma atau tanpa bayaran penuh, daripada sesiapa pun yang ada kaitan dengan tanggungjawab rasminya.
Peguam kanan itu menyatakan undang-undang itu mempunyai penggunaan yang luas, kepada kumpulan yang terdiri daripada penjawat awam rendah dan setiausaha tetap kepada hakim Mahkamah Agung.
Encik Ang berkata sebab pihak pendakwa meminta kes Iswaran dipindahkan adalah kerana potensi kesan daripada tafsiran peruntukan itu.
Pertimbangan ini tidak terpakai kepada kes Encik Pritam, kata Encik Ang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg