Seorang remaja berusia 19 tahun dijatuhi hukuman probesen 21 bulan pada Selasa lalu selepas mengaku bersalah berhubung kes penipuan pelanggan bank.
Dia telah membenarkan penipu menggunakan akaun banknya untuk menerima $85,220 yang dicuri daripada pelanggan bank OCBC. Dia juga telah merekrut rakan-rakannya untuk melakukan kesalahan yang sama.
Wang tunai berjumlah $186,693 yang diambil daripada mangsa penipuan lain telah dimasukkan ke dalam akaun bank dua rakan, manakala akaun ketiga digunakan untuk penipuan pekerjaan.
Pesalah, yang berusia 17 tahun semasa melakukan kesalahan, dijatuhi hukuman probesen 21 bulan pada Selasa lalu selepas mengaku bersalah atas pelbagai kesalahan. Ini termasuk kesalahan berurusan dengan hasil tindakan jenayah dan memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa.
Sebagai sebahagian daripada probesennya, dia mesti duduk di rumah dari 10 malam hingga 6 pagi setiap hari dan melakukan 100 jam khidmat masyarakat.
Ibu bapanya juga diikat jamin $5,000 bagi memastikan dia menuruti arahan diberikan. Dia tidak boleh dinamakan kerana berusia bawah 18 tahun apabila dia melakukan kesalahan.
Remaja itu bukan anggota kumpulan yang membantu sindiket luar negara mendapatkan akaun bank yang digunakan untuk menerima sekitar $600,000 menerusi pelbagai bentuk tipu helah, termasuk penipuan pancingan data yang melibatkan pelanggan OCBC dari Disember 2021 hingga Januari 2022.
Namun, dia berkawan dengan seorang anggota kumpulan itu dan telah membantu mereka dalam kegiatan jenayah mereka.
Kes beberapa anggota kumpulan yang dikaitkan dengan penipuan yang menyasarkan pelanggan OCBC itu telah ditangani di mahkamah.
Mereka termasuk Leong Jun Xian, ketika itu berusia 20 tahun, Brayden Cheng Ming Yan, ketika itu berusia 19 tahun, dan seorang lelaki berusia 20 tahun yang tidak boleh dinamakan kerana berusia di bawah 18 tahun ketika melakukan kesalahan.
Pada 28 Disember 2021, remaja itu menerima panggilan daripada lelaki tersebut, yang bertanya jika akaun banknya boleh digunakan untuk menerima dan mengeluarkan $30,000.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Encik Jason Chua berkata: “Apabila (remaja) mendengar tentang permintaan ini, dia meragui sama ada ia ‘selamat’ untuk menerima wang dengan akaunnya dan (lelaki itu) memberitahu bahawa wang yang dipindahkan... adalah selamat.
“Remaja itu kemudian menjawab bahawa dia hanya akan membantu... sekali dan tidak mahu terlibat dalam sebarang kegiatan haram”, kata DPP.
Sebanyak $85,220 yang diambil daripada pelanggan OCBC telah dipindahkan ke dalam akaun bank remaja itu dan kemudian dikeluarkan.
Dalam satu wawancara bersama polis pada Januari 2022, remaja itu mendakwa dia telah meletakkan wang tunai sekitar $51,090 dalam beg plastik putih dan kononnya diletakkan di belakang jamban di pusat penjaja Haig Road.
Pegawai polis kemudian mendapati pesalah telah berbohong setelah melihat rakaman kamera .
Dia akhirnya mengakui dia telah memberikan maklumat palsu kepada polis untuk melindungi kumpulan penipuan itu.
Secara keseluruhan, kumpulan itu menyediakan sekurang-kurangnya 16 akaun bank kepada sindiket luar negara antara Disember 2021 dengan Februari 2022, dengan menerima hampir $600,000.
Antara 8 Disember 2021 dan 19 Januari 2022, polis menerima 768 laporan daripada pemegang akaun bank OCBC yang menjadi mangsa penipuan memancing data.
Jumlah kerugian dianggarkan sekitar $12.8 juta. Sejak itu, OCBC telah membuat bayaran muhibah penuh kepada semua pemegang akaun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg