Seorang remaja lelaki bekerja dengan dua gadis, yang berpura-pura menawarkan seks untuk mendapatkan wang tunai, dan memeras ugut mangsa untuk menyerahkan $450 selepas lelaki berkenaan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat sedemikian.
Secara berasingan, dia juga menipu mangsa kedua $200 selepas memperdaya mangsa untuk membeli sepasang Apple AirPods palsu.
Remaja lelaki itu, kini 18 tahun, dan dua remaja perempuan itu tidak boleh dinamakan kerana mereka di bawah 18 tahun semasa melakukan kesalahan itu, menurut The Straits Times.
Pada 10 Januari, remaja lelaki itu diperintahkan menjalani probesyen selama 18 bulan selepas dia mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan termasuk tipu dan peras ugut.
Sebagai sebahagian hukumannya, dia perlu berada di rumah dari 10 malam hingga 6 pagi setiap hari dan melakukan 60 jam khidmat masyarakat.
Ibunya juga diikat jamin $5,000 bagi memastikan dia berkelakuan baik.
Pada Mac 2023, remaja lelaki dan dua gadis itu merancang memperdaya seorang pelanggan agar mempercayai bahawa gadis-gadis itu akan menyediakan khidmat seksual dengan bayaran wang walaupun mereka tidak berniat berbuat demikian.
Timbalan Pendakwa Raya David Menon berkata: “Sebaliknya, (remaja lelaki itu) akan menggunakan akaun Telegramnya untuk bertukar-tukar mesej dengan bakal pelanggan.
“Sebaik sahaja pelanggan telah dikenal pasti, (ketiga-tiga mereka) akan bertemu pelanggan itu, menerima bayaran dan kemudian melarikan diri dengan wang itu.”
Semasa salah satu pertukaran mesej ini, seorang lelaki telah menghantar ketiga-tiga remaja itu gambar alat sulitnya.
Mereka kemudian mengajaknya ke blok flat di Toa Payoh pada awal pagi 1 April 2023.
Kedua-dua gadis itu bertemu lelaki itu di lokasi dan memberitahunya bahawa mereka akan mengedarkan gambar itu jika mereka tidak menerima wang tunai daripadanya.
Akibat berasa takut, lelaki itu mengosongkan dompetnya, menyerahkan $450 dan melarikan diri.
Daripada jumlah tersebut, budak lelaki itu menerima $50 manakala remaja perempuan itu menyimpan $200 seorang.
Dalam kes yang tidak berkaitan, budak lelaki itu menipu seorang lelaki lain untuk mempercayai bahawa dia menjual Apple AirPods tulen dalam talian.
Pada atau sekitar 16 September 2023, budak lelaki itu menyerahkan lelaki itu sepasang produk palsu dan menerima $200 sebagai bayaran.
Kedua-dua gadis itu, yang kesalahan mereka turut melibatkan insiden lain, telah dihadapkan di mahkamah sebelum ini.
Lelaki yang mendapatkan khidmat seksual daripada gadis berusia 17 tahun itu dijatuhi hukuman penjara sembilan minggu, dua bulan kemudian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg